31 July, 2011

"Rakyat Kedah minta BN ambil alih semula Kedah" Datuk Bashah

Keputusan yang sentiasa menghantui mereka yang kalah.
GUAR CHEMPEDAK - UMNO Kedah bertekad untuk memenangi kesemua 15 kerusi Parlimen di Kedah demi membantu Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengekalkan pemerintahan Kerajaan Pusat di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, UMNO dan BN Kedah turut berjanji memenangi sekurang-kurangnya 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah daripada jumlah keseluruhan 36 kerusi bagi membolehkan mereka mengubah nasib rakyat Kedah.

Bagaimanapun, beliau mengakui sasaran parti itu hanya dapat dicapai sekiranya semua pimpinan parti komponen bersatu-padu dan menjadikan keperluan rakyat sebagai salah satu agenda perjuangan utama parti.

“Saya terima banyak maklum balas rakyat yang meminta BN mengambil alih semula pentadbiran Kerajaan Negeri daripada Pakatan Rakyat (PR).

“Justeru, pemimpin BN perlu mengetepikan persengketaan dalam parti dan mula menitikberatkan kepentingan rakyat sekiranya kita mahu memenuhi hasrat rakyat yang mahukan BN ambil alih semula Kedah,” katanya.

Ahmad Bashah berkata, pemimpin BN juga perlu mengikis sikap ‘hanya turun padang bila PRU menjelang tiba’ dan wajib mendekati rakyat sepanjang masa bagi membolehkan mereka merasai ‘sentuhan peribadi’ yang ditunjukkan pemimpin parti itu.

“Sekiranya sikap sebegini diambil remeh, bagaimana rakyat hendak meletakkan kepercayaan kepada kita untuk menjaga kepentingan mereka?

“Selain itu, pemimpin yang tidak terpilih menjadi wakil rakyat nanti perlu sentiasa menyokong pemimpin yang dipilih. Utamakan kepentingan parti dan saya yakin rakyat akan semakin yakin dengan keupayaan kita,” katanya.

Ahmad Bashah turut meminta rakyat Kedah menilai kembali dan membuat keputusan yang tepat pada pilihan raya akan datang.

“Perubahan yang dibuat perlu bermakna dan saya minta rakyat Kedah buat pilihan yang terbaik demi pembangunan negeri ini,” katanya.

20 July, 2011

Merbok telah kenal pasti 8 calun "winnable candidate" untuk PRU13

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyatakan proses simulasi pilihan raya atau pilihanraya olok-olok telah berjalan lancar di semua bahagian Umno berjalan.

Pilihanraya olok-olok ini melalui proses di mana bahagian-bahagian telah memilih, mengenal pasti nama-nama pengundi, nama-nama calon dan jawatankuasa pilihan raya.

Hasil dari pilhanraya olok-olok itu Merbok telah mengenal pasti 8 budak hitam yang berkalibar menjadi “winnable candidate”.

Kelapan-lapan budak hitam ini telah mula berjalan berkempen di kalangan ahli UMNO bahawa mereka memang layak dan berkelulusan peringkat tinggi dan mempunyai banyak wang untuk menjadi calun.

Sama-sama lah kita tunggu budak-budak hitam ini sampai ke rumah kita untuk masuk bakul angkat sendiri.

17 July, 2011

PAS kena 'bully' dengan DAP. Apa sudah jadi?

KUALA LUMPUR 16 Julai - Pas yang diserang DAP berhubung keputusan kerajaan negeri Kedah melarang operasi terhadap 13 jenis pusat hiburan sepanjang Ramadan nanti, menegur sikap sekutunya itu terutama Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, sepatutnya selaku pemimpin tertinggi DAP, Karpal tidak boleh mudah melatah dan menggunakan saluran media bagi mencari penyelesaian dalam isu-isu sensitif terutama, jika ia melibatkan agama.

"Karpal tidak seharusnya terikut-ikut dengan rentak kepimpinan bawahan DAP yang gemar menggunakan media secara terbuka dalam mencari jalan penyelesaian terhadap pelbagai isu sensitif, membabitkan orang Islam dan bukan Islam.

"Tindakan sebegini hanya mengeruhkan suasana. Sepatutnya Karpal mendapatkan penjelasan daripada pucuk pimpinan Pas terlebih dahulu, sebagaimana kami lakukan jika ia membabitkan isu di bawah kepimpinan DAP," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kata dua dibuat Karpal semalam supaya Pas khususnya kerajaan negeri Kedah menarik balik larangan operasi pusat hiburan yang dikeluarkan kerajaan negeri itu mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997.

Dalam pada itu, Mustafa menyangkal tuduhan pelbagai pihak kononnya kerajaan negeri Kedah di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, membelakangkan kepimpinan Pas Pusat ketika memutuskan larangan tersebut.

Katanya, kepimpinan Pas pusat tidak semestinya sepanjang masa mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri, apatah lagi jika keputusan larangan tersebut dibuat berdasarkan kuasa prerogatif (hak istimewa) kerajaan negeri Kedah itu sendiri.(sumber UM)

15 July, 2011

Ingat! Bulan Ramadan bukan bulan bergencok, beronggeng atau beryakyeh di Kedah

ALOR SETAR - Penguatkuasaan peraturan dan undang-undang pusat hiburan yang dilaksanakan sepanjang Ramadan di Kedah adalah tertakluk pada enakmen 1997, dan bukannya polisi baru yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR).

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, ia juga di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri, kerana arahan itu diperkenankan oleh Sultan Kedah, selaku Ketua Agama Islam dan dikuatkuasakan melalui Majlis Agama Islam Negeri Kedah.

“Arahan itu kemudian dikuatkuasakan ke pejabat-pejabat daerah seluruh negeri. Kerajaan Negeri sebagai pentadbir hanya melaksana undang-undang sedia ada, dan mahu ia dikuatkuasakan semula tahun ini, kerana sebelum ini ia seolah terlepas pandang oleh pihak tertentu,” katanya, ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, semalam.

Azizan berkata, enakmen itu terpakai sejak Barisan Nasional (BN) mentadbir Kedah, cuma tidak dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Dari dahulu lagi dalam bulan Ramadan, tidak ada aktiviti hiburan. Malah diadakan beberapa peraturan untuk bukan Islam mematuhinya. Saya mahupun Kerajaan Negeri tidak boleh campur tangan dalam hal itu sebab ia bawah bidang kuasa Sultan Kedah,” katanya.

Menurutnya, bandar Alor Setar sebelum ini dianggap sebagai Bandar Diraja, dan tidak dibenarkan sebarang aktiviti hiburan berlangsung pada Ramadan sebagai menghormati kemuliaan bulan itu.

“Majlis Agama Islam Negeri Kedah sudah membuat teguran dan pegawai-pegawai daerah bermesyuarat dan memutuskan untuk melaksanakan semula apa yang termaktub dalam enakmen 1997,” katanya.

Azizan tidak menolak kemungkinan peraturan itu menimbulkan kekeliruan banyak pihak, dan pihaknya telah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membuat kajian semula berhubung skop hiburan.

“Mesyuarat Exco Mei lalu, telah bersetuju meluluskan cadangan daripada pegawai daerah mengenai penutupan pusat hiburan di Kedah sepanjang Ramadan. Semua pegawai pelesenan daerah diarahkan menguatkuasakan peraturan itu dengan kerjasama PBT dan polis,” katanya.

Namun, katanya, terdapat pengecualian untuk pertunjukan berkaitan keagamaan dan kepercayaan sesuatu kaum dengan syarat tidak menimbulkan kekacauan, selain mendapat sokongan daripada pegawai pelesenan.

“Permohonan itu pula perlu dikemukakan pada Kerajaan Negeri untuk dipertimbangkan. Contohnya bulan Ogos kaum Cina mahu meraikan Perayaan Bulan Hantu, jadi mereka perlu mohon secara bertulis untuk pertimbangan,” katanya.

Azizan berkata, kategori hiburan yang tidak boleh beroperasi sepanjang Ramadan ialah lesen untuk pertunjukan pancaragam, persembahan nyanyian di hotel, restoran dan bar, warung kopi, karaoke dan disko.

“Pusat snuker dan kafe siber pula kita mungkin semak semula kerana ia bukan bentuk hiburan tetapi diletakkan bawah kategori hiburan. Minta PBT perjelaskan secara terperinci apakah yang dimaksudkan dengan hiburan,” katanya.

Kelmarin, beberapa pengusaha pusat hiburan Cina tidak berpuas hati dengan tindakan Kerajaan Negeri tidak membenarkan lesen hiburan diperbaharui sepanjang Ramadan, dan mahukan penjelasan kerana mendakwa menanggung kerugian jika premis terpaksa ditutup selama sebulan. (sumber -SH)

Awas! Lendir putih dalam minuman berjenama

SEDIM – Penduduk, Jaafar Sidik yang tinggal di Kampung Sedim kecewa dengan sebuah syarikat pengeluaran minuman kerana didakwa tidak bertanggungjawab terhadap barangan dijual di pasaran.

Menurutnya, bulan lalu ketika berada di Perlis, dia berkunjung ke sebuah kedai runcit dan kemudiannya menegur pemilik kedai bahawa terdapat lendir dan selaput putih dalam minuman itu.

Dari pemeriksaan dibuat, minuman itu masih belum dibuka manakala sebotol minuman jenama sama diisi dengan kuantiti air yang kurang.

:Dia dan pemilik kedai kemudiannya meminta penjelasan dari pembekal, tetapi pihak itu hanya mahu menggantikan minuman itu dengan botol yang lain tanpa memikirkan implikasi akan dihadapi pengguna.

“Pengusaha kedai runcit itu kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Padang Besar pada 9 Jun lalu.

“Dari label yang terlekat pada minuman itu, tarikh luputnya adalah September 2011. Kelemahan syarikat minuman ini memasarkan produk minumannya ke pasaran seperti ini tidak seharusnya berlaku,” katanya.

Pengerusi Persatuan Pengguna Parlimen Kulim Bandar Baharu, Mohd Zailan Hashim berkata, masalah itu seharusnya dimaklumkan kepada Tribunal Pengguna supaya tindakan undang-undang dapat diambil.

Katanya, banyak kecuaian berpunca dari pengusaha mendatang masalah kepada pengguna.

“Pengguna perlu tahu hak dan undang-undang yang boleh melindungi mereka. Kita harus bersikap positif untuk memastikan kecuaian seumpama ini tidak berulang.

“Pengguna harus berani tampil ke hadapan untuk membuat laporan terhadap masalah yang boleh mendatangkan kerugian kepada pengguna,” katanya.(sumber SH)

08 July, 2011

Jangan pakai sensual whitening cream kalau tak mau anak dalam kandungan cacat

KUALA LUMPUR 8 Julai – Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli atau menggunakan “Sensual Whitening Cream” berikutan pengesanan racun berjadual dalam produk penjagaan kulit itu.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi kementerian berkenaan, Datuk Eisah A. Rahman berkata, produk tersebut dikesan mengandungi bahan logam berat merkuri yang dilarang dalam produk kosmetik yang boleh mendatangkan mudarat kepada pengguna.

"Syarikat Sensere Marketing Sdn Bhd, yang mengeluarkan produk itu diarah menghentikan penjualan dan pembekalan produk itu dengan serta merta dan menarik balik semua stok dalam pasaran dalam tempoh 72 jam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Eisah berkata, pengguna produk itu boleh menyebabkan ruam dan rasa gatal pada bahagian kulit dan pada masa sama boleh merosakkan otak, sistem saraf dan buah pinggang.

Beliau juga berkata, wanita mengandung yang menggunakan produk itu mungkin tidak mengalami simptom keracunan raksa (merkuri), tetapi boleh menyebabkan keracunan teruk kepada fetus mengakibatkan kerosakan otak dan kecacatan kepada bayi dalam kandungan. – Bernama

03 July, 2011

Salleh Yaakob, sama rata - sama rasa.

Pelawak Salih Yaccob akan muncul dengan program terbarunya, Salih Yaccob Show, I Follow. tag line 'I Follow' yang diambil daripada slot Sinar Pagi dalam Sinar FM.

Salih Yaccob Show, I Follow dijangka dapat menarik rating yang tinggi kerana peminat-peminat Sinar Pagi juga akan follow Salleh Yaakob sehingga ke program TVnya.

Apapun ramai juga lelaki yang akan follow Salleh Yaakob mengikuti petua-petua pengurusan empat isteri.

Sedap mata memandang sedap lagi bahu yang memikul. Bukan senang untuk berlaku adil supaya sama rata sama rasa.

24 June, 2011

Siapa YB yang turun melawat kawasan?

KAMPUNG BUJANG – Tindakan seorang lelaki yang sedang mengait buah manggis di rumahnya tidak berkesudahan apabila tersilap langkah ketika terpijak dahan reput menyebabkan dia terjatuh sehingga menemui ajal.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.00 pagi semalam apabila Khalid Shaari, 58, dari Kampung Bujang memanjat pokok manggis dan tidak menyedari terdapat dahan reput menyebabkan dia jatuh bersama dahan terbabit.

Anak kedua mangsa, Nor Nadirah Khalid, 19, berkata, dia hanya mengetahui kejadian berkenaan setelah dimaklumkan keluarga semasa sedang bekerja di Sungai Petani.

“Sebelum kejadian, ayah ada mengajak emak untuk keluar beli ayam, tetapi ditolak menyebabkannya dia keluar sendirian.

“Tiada sebarang kejadian pelik berlaku sehingga dia balik, tetapi sebelum memanjat pokok berkenaan, arwah ada menjelaskan dia mahu minum air dan terus pergi,” katanya.

Menurutnya, maksud arwah mahu terus pergi menjelaskan dia mahu terus panjat pokok manggis selepas minum air, namun kata-kata itu adalah petanda bahawa ayahnya akan pergi buat selama-lamanya.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian mendapati, galah dan bakul milik mangsa yang digunakan untuk mengait manggis masih terdapat di atas pokok berkenaan.

Difahamkan, hasil perkongsian hidup arwah dengan isteri, Siti Zainab Bakar, 43, dikurniakan lima anak berusia antara lapan hingga 22 tahun. (sinar)

08 June, 2011

Kerana isteri dingin di ranjang suami ke seberang

Dr Rohaya Mohamed
KUALA LUMPUR: Seorang isteri mesti patuh dan melayan suami seperti ‘pelacur kelas pertama’ bagi memastikan pasangan mereka tidak terjebak dalam pelbagai gejala tidak sihat, termasuk mencari hiburan di luar, keganasan rumah tangga dan pembuangan bayi.

Malah, kegagalan isteri melayan kehendak seks suami adalah antara punca utama kegagalan rumah tangga apabila pasangan mereka sebaliknya beralih kepada teman wanita, perempuan simpanan serta pelacur bagi mendapatkan kepuasan itu. Peringatan itu disuarakan Naib Presiden Kelab Isteri Taat yang baru ditubuhkan di negara ini, Dr Rohaya Mohamed.

“Tanggungjawab isteri bukan saja untuk memasak, mengemas rumah dan menjadi ibu malah turut membabitkan aspek seksual. Lelaki berkahwin dengan wanita yang menyamai atau jauh lebih bagus daripada pelacur (di ranjang), sudah pasti tidak akan curang.

“Nafsu lelaki jauh lebih besar daripada wanita dan tidak boleh diketepikan. Daripada membiarkan mereka bergelumang dengan dosa, seorang isteri itu harus melakukan apa saja bagi memenuhi keinginan nafsu suami.

“Justeru, tanggungjawab kami adalah untuk membantu isteri menjadi lebih taat kepada suami. Seorang isteri hanya perlu memenuhi empat syarat untuk masuk syurga – menunaikan solat wajib, berpuasa ketika Ramadan, melindungi maruah dirinya serta taatkan suami,” katanya selepas majlis pelancaran kelab berkenaan di Kelab Golf Perangsang Templer dekat sini, semalam.

Kelab Isteri Taat mempunyai 1,000 ahli di seluruh dunia termasuk 800 orang di negara ini. Ia ditubuhkan Global Ikhwan Sdn Bhd yang sebelum ini dikaitkan dengan kumpulan al-Arqam. Kelab pertama dilancarkan di Jordan pada 1 Mei lalu, cawangan Malaysia semalam dan diikuti kelab di Jakarta, Indonesia pada 19 Jun depan.

Organisasi syarikat itu juga merancang untuk menubuhkan cawangan kelab sama di Eropah termasuk London dan Rome pada masa depan.

Rohaya berkata, penubuhan kelab itu terbuka kepada semua golongan isteri tanpa mengira kaum dan agama serta menawarkan latihan dan khidmat nasihat termasuk pendidikan seks supaya golongan isteri dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada suami masing-masing. -Berita Harian

07 June, 2011

Hayatilah dengan penuh mendalam Kata-Kata Aluan Ketua UMNO Bahagian Merbok

“Saya ingin menyeru kepada semua ahli-ahliUMNO Bahagian Merbok agar merapatkan barisan dan menghapuskan sikap iri hati, mengadu domba, dengki-mendengki dan cantas-mencantas sesama kita. Di antara kita ibarat carik-carik bulu ayam, bertaut jua akhirnya”.

Itu lah kata-kata aluan Ketua UMNO Bahagian Merbok yang tercatat dalam buku Persidangan UMNO Bahagian Merbok 2011 yang diedarkan kepada setiap perwakilan cawangan pada 28hb Mei 2011 di MRSM Merbok.

Kelazimannnya peratus yang membaca Kata-Kata Aluan di dalam buku tersebut amat sedikit sekali malah ada perwakilan yang langsung tidak buka beg yang diberi hanya digantung di tiang seri rumah sehingga tiba mesyuarat tahun hadapan atau menjadi sarang lelabah beranak-pinak.

Jika majoriti perwakilan tidak membacanya kerana sikap iri hati, mengadu domba, dengki-mendengki dan cantas-mencantas tidak berlaku di kalangan mereka sebaliknya berleluasa di peringkat kepimpinan atasan bahagian.

Maka ini bermakna mesej yang dibawa oleh Ketua Bahagian Merbok ini  yang sebenarnya ditujukan pada diri beliau sendiri.

Ada pada siapakah sikap iri hati, mengadu domba, dengki-mendengki dan cantas-mencantas ini?

“Ibarat carik-carik bulu ayam, bertaut jua akhirnya” apa kah bulu ayam sudah bertaut sejak berakhirnya pertandingan bahagian tempohari sehingga hari ini? Atau bulu ayam itu sudah koyak rabak, hancur bochai? apabila usaha-usaha untuk masyarakat oleh Datuk Arzmi Hamid sentiasa dipandang serong dengan penuh dendam dan curiga?

Inilah retorik politik yang cakap tidak serupa bikin. Depan lain belakang lain. Telunjuk lurus kelingking berkait.

UMNO hanya menang bersorak tetapi kampung tergadai

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyeru, semua Badan Perhubungan UMNO Negeri agar dapat mengesan 661,000 ahli yang belum mendaftar sebagai pemilih walaupun mereka layak mengundi.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Jeli baru-baru ini.

Setengah juta lebih ahli yang tidak mendaftar pemilih ini bukanlah satu angka yang sedikit dan jika dipermantapkan ia bakal menjadi satu gelombang yang kuat untuk menawan semula negeri-negeri yang UMNO kecundang.

Seringkali mereka yang mendaftar ahli UMNO keliru dengan pendaftaran mereka sebagai pemilih. Mereka berangkapan apabila telah mendaftar sebagai ahli UMNO ianya otomatik mendaftar sebagai pemilih.

Apabila terlalu sibuk bertanding di dalam UMNO mereka langsung terlupa bahawa yang sebenarnya mengundi di dalam pilihanraya itu lebih penting dari mengundi dalam pertandingan UMNO.

Akibatnya berkuasa di dalam UMNO tetapi kalah di dalam pilihanraya. Menang bersorak kampung tergadai.

06 June, 2011

Berkahwin lebih baik dari Bergundik

SALIH (tengah) bersama empat isterinya dari kiri, Samihah, Norlizah, Norraha dan Norfara Wahida, menunjukkan pasport di KLIA, semalam.
SEPANG: Pengacara dan pelawak, Salih Yaacob, 48, yang berkahwin kali keempat minggu lalu, berlepas ke Beijing, China, semalam, bersama semua isterinya untuk bercuti.

“Alhamdulillah, ini adalah rezeki kami sekeluarga lebih-lebih lagi selepas bernikah kali keempat. Ia juga peluang kepada kami bercuti dan berkumpul beramai-ramai dalam satu keluarga besar,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Salih berkata, percutian enam hari itu peluang dinantinya kerana jarang dapat berkumpul bersama berikutan beliau sekeluarga mempunyai masa lapang terhad.

“Sukar untuk merancang percutian beramai-ramai dengan semua isteri saya kerana ada yang sibuk bekerja dan belajar serta tidak dapat memohon cuti bersama,” katanya.

Percutian bersama keluarga itu turut disertai empat isterinya iaitu, Norlizah Mamat, 46, Norraha Hamat, 42, Norfara Wahida Sulaiman, 32, dan isteri keempat yang baru dinikahi, Samihah Sheikh Ali, 25. Hanya tujuh daripada 11 anaknya menyertai percutian berkenaan berikutan urusan kerja dan belajar.(Sumber Berita Harian online)

04 June, 2011

Pelancong lebih kenal Langkawi dari Negeri Kedah

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir menyatakan berdasarkan maklumat Kementerian Pelancongan didapati terdapat penurunan kedatangan pelancong ke negeri Kedah sebanyak 700,000 daripada 1.7 juta pada tahun 2009 manakala hanya 1juta pada tahun lalu.

Pelancong yang melawat Pulau Langkawi tidak langsung datang ke tanah besar Negeri Kedah Darul Aman kerana Kerajaan Negeri tidak mengambil inisiatif untuk mempromosikan tanah besar.

Pelancong luar yang datang ke Langkawi tidak tahu pun wujudnya Alor Setar dan mereka lebih banyak berbelanja di Langkawi daripada tanah besar.

Inilah kelemahan Kerajaan Kedah yang tidak bijak mengambil kesempatan untuk mempromosikan Negeri Kedah.

Tidak hairanlah jika Alor Setar digelar sebagai "dead city".

03 June, 2011

Merbok markas dadah

TUMPAS... Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim (tiga, kiri) menunjukkan sepucuk pistol jenis Smith & Wesson yang dirampas dalam serbuan di Merbok, Sungai Petani sambil diperhatikan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Supt Baharom Othman (dua, kiri), Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah DSP Zainuddin Saad (kiri) dan pegawai-pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Alor Setar, Khamis. - Foto BERNAMA
ALOR SETAR: Polis Kedah mencapai kejayaan besar tahun ini apabila merampas 119.26 kilogram ganja bernilai RM411,000 dan menahan dua lelaki di Merbok, Sungai Petani, Isnin lepas.

Ketua Polis Negeri Datuk Ahmad Ibrahim berkata dalam kes pertama, seorang buruh berusia 47 tahun ditahan pada kira-kira 5.30 petang dan menemui tiga ketulan ganja mampat seberat 3.15 kg bernilai RM11,000 pada motosikal suspek.

"Lelaki itu cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap oleh angota Jabatan Sisatan Jenayah Narkotik Negeri," katanya pada sidang media, di sini, Khamis.

Katanya siasatan awal mendapati suspek pernah ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Bahaya 1952 pada tahun 2008 dan ujian air kencing juga mendapati suspek positif ganja.

Ekoran tangkapan lelaki tersebut, katanya polis menyerbu sebuah rumah di Ladang Sunga Batu, Merbok, pada kira-kira pukul 6.15 petang pada hari yang sama dan merampas 114 ketulan mampat ganja seberat 116.11kg bernilai hampir RM400,000.

Katanya dalam serbuan itu, polis menahan seorang pekebun berusia 45 tahun serta merampas sepucuk pistol jenis Smith & Wesson bersama 84 butir peluru hidup 9mm dan sepasang gari dalam bilik tidur suspek kedua tersebut.

Susulan tangkapan itu, Ahmad berkata polis turut merampas dan menyita harta suspek yang dipercayai dibeli hasil penjualan dadah termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, empat motosikal serta barangan elektrik.

Katanya semua barang yang disita itu bernilai RM172,800 dan polis masih mengesan harta lain milik suspek.

Kedua-dua suspek yang merupakan sahabat itu direman sehingga Isnin ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalahan mengedar dadah dan boleh dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan.

"Suspek kedua juga turut disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki pistol dan peluru yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan enam sebatan," katanya.

Katanya suspek kedua tidak mempunyai rekod jenayah lampau tetapi hasil ujian air kencing didapati positif dadah jenis ganja. - BERNAMA

Berita di atas seharusnya adalah satu yang mengemparkan  wakil rakyat Tanjung Dawai dan Ahli Parlimen Merbok, Rashid Din malah Penyelaras Parlimen Merbok kerana ia berlaku di dalam kawasan mereka.

Jangan mereka asyik mengejar kuasa sehingga anak muda hisap ganja pun mereka tidak ambil peduli.

01 June, 2011

UMNO Merbok berikrar tidak akan menuntut DUN Bukit Selambau

Di dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Merbok yang diadakan pada 28 Mei 2011 di Dewan MRSM Merbok, Ketua UMNO Bahagian Datuk Tajul Urus Mat Zain di dalam ucapannya, beliau telah berikrar bahawa UMNO Bahagian Merbok tidak akan menuntut kerusi Dewan Negeri Bukit Selambau kerana itu adalah hak MIC.

Itulah pengorbanan UMNO terhadap rakan dalam komponen BN yang seharusnya MIC sedar bahawa suara-suara kaum India tidak pernah dipinggir.

Apa yang mendukacitakan wakil penyelaras DUN Bukit Selambau S.Krisnan langusung tidak hadir walaupun dijemput pada mesyuarat perwakilan tersebut.

30 May, 2011

Ahli Majlis MPSPK akan mogok

Nampaknya isu perobohan 16 buah gerai di jalan Kelab Cinta Sayang oleh Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) masih tidak sejuk lagi.

Ini berikutan ugutan 17 orang ahli majlis MPSPK akan melancarkan boikot dan mogok dari menghadiri sebarang majlis MPSPK sehinggalah YDP bersama Setiausaha MPSPK digugurkan.

Mereka nampaknya akan menjadi juara rakyat kerana sanggup mengorbankan eluan mesyuarat demi penjaja Melayu ditepi jalan.

29 May, 2011

Proses pemutihan Ketua UMNO Bahagian Merbok

Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Merbok yang diadakan pada 28 Mei cuba mempertontonkan perpaduan sudah berlaku dalam UMNO Bahagian untuk menawan kembali Merbok dalam PRU13 yang akan datang.

Kehadiran mantan-mantan wakil rakyat seperti bekas YB Tanjung Dawai, Rosnah Majid, Arzmi Hamid, Badri Yunus dalam mesyuarat tersebut adalah usaha-usaha pemutihan Ketua Bahagian,Tajul Urus Mat Zain yang selama ini mentadbir Bahagian Merbok dengan penuh kehitaman dan dendam kesumat.

Malah seminggu sebelum mesyuarat ini bekas Ahli Parlimen Merbok, Daim Zainudin telah dijemput oleh Ketua Bahagian untuk berjumpa ahli-ahli jawatankuasa Bahagian Merbok dan Datuk Ketua Bahagian telah mengambil kesempatan ini untuk memohon ampun dan maaf kepada Daim dari hujung rambut sehingga hujung kaki kerana keceluparan beliau mengherdik dan menghamun Daim belasan tahun dahulu semasa beliau menjadi Ketua Pemuda.

Satu lagi Inisiatif perpaduan yang konon Merbok sudah berpadu ialah apabila tidak ada pertandingan wakil UMNO Bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO Malaysia atau lebih dikenali dengan G7.

Apapun perpaduan mestilah dibuktikan zahir dan batin bukan satu cakap-cakap atau retorik politik kosong dan lakunan.

Apabila memohon maaf lafazlah “maaf zahir dan batin” banyak kita yang memohon maaf zahir sahaja tetapi batin tidak diterjemahkan malah mengaum pekungnya, di hadapan bersalaman dan berdakapan sampai terpercik air liur tetapi di belakang menghimpun kelompok-kelompok kecil mencerca sesama rakan dalam parti.

Sejauh mana perpaduan akan terbukti, tunggulah semasa pemilihan calun pilihanraya kelak, apakah kita jamin tidak akan sabotaj kawan jikalau nama kita tidak terpilih sebagai calun kelak?

Tunggu dan lihat. "Wait and see, I tak jadi calun You mati....".

27 May, 2011

Rashid Din, Ahli Parlimen Merbok tak peduli rakyat penjaja tepi jalan walaupun berlaku di hadapan rumahnya

Gerai-gerai sedang diroboh Pic : Panggongopera.blogspot
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri disaran menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membincangkan isu peniaga tepi jalan yang berleluasa di seluruh Kedah selain meneliti proses ke arah pemutihan masalah itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, S Manikumar berkata, penubuhan jawatankuasa khas itu penting kerana isu peniaga tepi jalan tidak pernah dibincangkan secara terperinci di setiap mesyuarat pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah, sedangkan terdapat pelbagai aduan dan tindakan penguatkuasaan dijalankan ke atas mereka.

:Menurutnya, keperluan Kerajaan Negeri untuk meneliti permasalahan peniaga tepi jalan penting memandangkan kegagalan menangani isu tersebut dengan bijak akan menyebabkan nama baik Kerajaan Negeri terjejas walaupun sebarang tindakan dilakukan berlandaskan peraturan.

“Sebagaimana masalah penjaja yang berniaga di atas rizab jalan di kawasan saya (Bukit Selambau) baru-baru ini, saya mengakui mereka berniaga tanpa mematuhi semua peraturan perniagaan sebagaimana disyaratkan PBT, bagaimanapun tindakan penguatkuasaan terhadap mereka akan menyebabkan kehilangan sumber pendapatan kerana sudah lama bertapak di sesuatu tempat.

“Sekiranya tindakan penguatkuasaan awal diambil terhadap mereka, peniaga terbabit kemungkinan tidak berniaga di situ. Bagaimanapun, setelah tindakan tidak diambil dalam tempoh masa lama, peniaga terbabit sudah bergantung pendapatan dengan berniaga di tempat itu.

“Justeru, penelitian sewajarnya isu ini perlu dilakukan terhadap kedua-dua pihak memandangkan ada pro dan kontra dalam soal kewajaran tindakan penguatkuasaan PBT diambil ke atas mereka,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian.

Manikumar berkata, satu proses pengumpulan data peniaga tepi jalan perlu dilakukan PBT setiap daerah untuk memastikan jumlah peniaga dan lokasi perniagaan mereka dikenal pasti bagi membolehkan urusan ‘pemutihan’ peniaga terbabit dapat dijalankan.

“Urusan ‘pemutihan’ yang dimaksudkan bukan membasmi peniaga-peniaga terbabit, sebaliknya Kerajaan Negeri menggunakan kesempatan ini untuk membantu mereka dengan menyediakan prasarana dan tapak berniaga baru yang lebih selamat dan terjamin.

“Di pihak Kerajaan Negeri, isu peniaga tepi jalan ini perlu diletakkan di bawah satu komponen khas untuk memantau dan meneliti permasalahan dialami kedua-dua pihak iaitu peniaga dan PBT bagi mengelakkan masalah berbangkit timbul di kemudian hari,” katanya.

Manikumar menegaskan cadangan yang dikemukakannya bukan untuk menghalalkan tindakan peniaga tepi jalan yang kebanyakannya berniaga tidak memenuhi syarat diperlukan, sebaliknya bertujuan memberi perlindungan kepada mereka.

“Dari sudut penguatkuasaan, sememangnya tindakan mereka salah. Tetapi kita perlu akui kegagalan kita melaksanakan tindakan penguatkuasaan awal terhadap mereka menyebabkan mereka terus bergantung harap terhadap sumber pendapatan diperoleh daripada berniaga di situ.

“Justeru, masalah ini perlu diperhalusi dengan kerjasama kedua-dua pihak termasuk Kerajaan Negeri demi kesejahteraan rakyat Kedah,” katanya.

25 May, 2011

Ustaz Khazim : Jangan kaduk naik junjung

Secret Recipe nafi guna gelatin babi

MT siarkan di bawah kenyataan Secret Recipe menafikan produk mereka mengandungi DNA Babi sebagai mengimbangi berita sebelum ini.

Apapun mana-mana juga bakery harus mengelakkan terus dari mengguna produk 'whole egg powder' dan 'whole milk powder' keluaran Puratos. Bahan ini banyak digunakan dalam cream caramel.

SHAH ALAM – Secret Recipe menafikan khabar angin mengatakan produk keluaran syarikatnya mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi dalam dua bahan yang digunakan untuk ramuan kek keluaran mereka.

Eksekutif Halal Secret Recipe, Wan Zawani Wan Ahmad berkata, pihaknya kesal berlaku hebahan dalam beberapa blog yang memberitahu kedua-dua bahan yang dikenal pasti mengandungi gelatin babi.

“Kami amat kesal kejadian begini boleh berlaku walhal perkara ini langsung tidak terjadi di syarikat kami kerana kami sepenuhnya menggunakan bahan-bahan ramuan yang halal serta mendapat persijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Jika terdapat sebarang kemusykilan berhubung perkara ini, anda boleh berhubung terus dengan pihak kami di talian 03-78034891 dan berhubung dengan saya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Semalam, mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia mendedahkan penemuan mengejutkan iaitu asid deoksiribonukleik (DNA) babi di dalam bahan ramuan Whole Egg Powder dan Whole Milk Powder yang digunakan syarikat Puratos Malaysia Sdn. Bhd.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pula turut mendakwa bahan itu kini digunakan rangkaian kedai pembuat kek terkenal dalam produk mereka yang sebahagian besar pelanggan adalah masyarakat Islam.

Sementara itu, laman web milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyebut, mesyuarat yang diadakan pada 12 Mei lalu memutuskan permohonan Puratos Malaysia Sdn Bhd adalah tidak berjaya berikutan penemuan DNA babi berkenaan.

Zawani berkata, syarikatnya tidak pernah menggunakan bahan keluaran syarikat Puratos Malaysia Sdn. Bhd, sebaliknya menggunakan beberapa bahan diambil dari rangkaian syarikat sama yang beroperasi di Belgium.


“Kesemua bahan diambil di Belgium terlebih dahulu mendapat perakuan halal daripada Jakim. Malah, kita tidak ada kena mengena atau mengambil bahan ramuan dengan syarikat Puratos Malaysia Sdn. Bhd,” katanya.