06 June, 2011

Berkahwin lebih baik dari Bergundik

SALIH (tengah) bersama empat isterinya dari kiri, Samihah, Norlizah, Norraha dan Norfara Wahida, menunjukkan pasport di KLIA, semalam.
SEPANG: Pengacara dan pelawak, Salih Yaacob, 48, yang berkahwin kali keempat minggu lalu, berlepas ke Beijing, China, semalam, bersama semua isterinya untuk bercuti.

“Alhamdulillah, ini adalah rezeki kami sekeluarga lebih-lebih lagi selepas bernikah kali keempat. Ia juga peluang kepada kami bercuti dan berkumpul beramai-ramai dalam satu keluarga besar,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Salih berkata, percutian enam hari itu peluang dinantinya kerana jarang dapat berkumpul bersama berikutan beliau sekeluarga mempunyai masa lapang terhad.

“Sukar untuk merancang percutian beramai-ramai dengan semua isteri saya kerana ada yang sibuk bekerja dan belajar serta tidak dapat memohon cuti bersama,” katanya.

Percutian bersama keluarga itu turut disertai empat isterinya iaitu, Norlizah Mamat, 46, Norraha Hamat, 42, Norfara Wahida Sulaiman, 32, dan isteri keempat yang baru dinikahi, Samihah Sheikh Ali, 25. Hanya tujuh daripada 11 anaknya menyertai percutian berkenaan berikutan urusan kerja dan belajar.(Sumber Berita Harian online)