07 June, 2013

MENYINGKAP PERKASA NGO YANG SANGAT DITAKUTI

Malaysiakini - 14/9/2010
Meskipun pemimpin Umno dan BN menjauhkan diri mereka daripada kumpulan pendesak Melayu - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), namun akhbar Utusan Malaysia terus menyokongnya.

Dalam edisinya hari ini, akhbar milik Umno itu menyiarkan satu halaman penuh artikel-artikel yang mempertahankan NGO itu termasuk memuatkan bancian yang kononnya menunjukkan kebanyakan orang Melayu menyokong PERKASA.

NONEDalam reaksi kepada tindakan Utusan Malaysia itu, ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar - seorang daripada pengkritik hebat PERKASA - melancarkan serangan secara berselindung di akaun Twitter.

Khairy menulis bahawa beliau “berpendapat akhbar tertentu itu perlu diingatkan siapa pemiliknya”.

“Saya penyokong pembaharuan supaya akhbar lebih bebas dan bertanggungjawab tetapi dalam paradigma hari ini, saya tidak boleh menerima bentuk editorial akhbar tertentu,” tulisnya.

Meskipun Khairy tidak menyebut sebarang nama, tetapi kenyataannya jelas ditujukan kepada Utusan.

Ketua pemuda Umno itu juga telah berulang-kali menegaskan bahawa Umno tidak bersekongkol dengan PERKASA dalam apa bentuk sekalipun.

Sejak seminggu lalu, beberapa pemimpin kanan Umno termasuk setiausaha agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, naib presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ahli majlis tertinggi, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mula menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap PERKASA.

Mereka mendakwa pandangan melampau PERKASA berhubung hak dan dan keistimewaan Melayu akan meminggirkan sokongan bukan Melayu pada pilihan raya umum akan datang.

Utusan melalui beberapa artikelnya telah menyokong PERKASA dan rencana pengarangnya pada Ahad lalu menggesa Umno supaya memikirkan semula hubungan dengan NGO itu.