29 May, 2011

Proses pemutihan Ketua UMNO Bahagian Merbok

Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Merbok yang diadakan pada 28 Mei cuba mempertontonkan perpaduan sudah berlaku dalam UMNO Bahagian untuk menawan kembali Merbok dalam PRU13 yang akan datang.

Kehadiran mantan-mantan wakil rakyat seperti bekas YB Tanjung Dawai, Rosnah Majid, Arzmi Hamid, Badri Yunus dalam mesyuarat tersebut adalah usaha-usaha pemutihan Ketua Bahagian,Tajul Urus Mat Zain yang selama ini mentadbir Bahagian Merbok dengan penuh kehitaman dan dendam kesumat.

Malah seminggu sebelum mesyuarat ini bekas Ahli Parlimen Merbok, Daim Zainudin telah dijemput oleh Ketua Bahagian untuk berjumpa ahli-ahli jawatankuasa Bahagian Merbok dan Datuk Ketua Bahagian telah mengambil kesempatan ini untuk memohon ampun dan maaf kepada Daim dari hujung rambut sehingga hujung kaki kerana keceluparan beliau mengherdik dan menghamun Daim belasan tahun dahulu semasa beliau menjadi Ketua Pemuda.

Satu lagi Inisiatif perpaduan yang konon Merbok sudah berpadu ialah apabila tidak ada pertandingan wakil UMNO Bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO Malaysia atau lebih dikenali dengan G7.

Apapun perpaduan mestilah dibuktikan zahir dan batin bukan satu cakap-cakap atau retorik politik kosong dan lakunan.

Apabila memohon maaf lafazlah “maaf zahir dan batin” banyak kita yang memohon maaf zahir sahaja tetapi batin tidak diterjemahkan malah mengaum pekungnya, di hadapan bersalaman dan berdakapan sampai terpercik air liur tetapi di belakang menghimpun kelompok-kelompok kecil mencerca sesama rakan dalam parti.

Sejauh mana perpaduan akan terbukti, tunggulah semasa pemilihan calun pilihanraya kelak, apakah kita jamin tidak akan sabotaj kawan jikalau nama kita tidak terpilih sebagai calun kelak?

Tunggu dan lihat. "Wait and see, I tak jadi calun You mati....".