14 June, 2013

KUIN HARUS DINAIKAN KE TARAF UNIVERSITI PENUH

ALOR SETAR 11 Jun - Kerajaan negeri perlu melakukan penjenamaan semula terhadap Kolej Universiti Insaniah (Kuin) bagi memastikan kelangsungannya termasuk menjadi institusi pengajian tinggi terkemuka dunia.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Shamsul Bahar Abd. Rani berkata, Kuin seperti awal penubuhannya harus memberikan penumpuan dalam bidang tertentu agar penjenamaan baharu itu dapat dijanakan dengan berkesan.

Katanya, kolej universiti itu mempunyai kekuatan tersendiri menerusi penawaran khusus dalam bidang tertentu termasuk pembangunan penyelidikan.

''Kuin tidak perlu menawarkan khusus yang terlalu banyak, sebaliknya memberikan tumpuan dalam bidang tertentu yang mana apabila orang bercakap tentang Kuin, akan terbayangkan perkara itu dan inilah kekuatan Kuin. 

''Tidak perlu terlalu banyak kursus kerana ini akan membantutkan penjenamaan semulanya,'' katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau menambah, Kuin merupakan imej dan reputasi pendidikan di Kedah yang bukan sahaja perlu dipertahankan, malah diangkat menjadi universiti tersohor dunia.

Katanya, GPMS juga mencadangkan agar pengurusan Kuin memberikan keutamaan kepada rakyat Kedah untuk mengisi jawatan utama, selain pensyarah dan pentadbir.

''Mereka yang berstatus pakar yang berasal dari Kedah juga perlu diberi peluang untuk berkhidmat dan memberikan idea kepada pembangunan Kuin. GPMS yakin ramai dalam kalangan profesional yang berada di luar Kedah sedia membantu memajukan Kuin,'' katanya.

Katanya, GPMS mengalu-alukan sebarang usaha kerajaan negeri memastikan Kuin terus kekal beroperasi dan seterusnya melahirkan graduan berkualiti.

''GPMS mengalu-alukan tindakan kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa untuk mencadangkan penambahbaikan untuk kemajuan Kuin dan kita sedia berkerjasama dalam memberikan buah fikiran berkaitan.

''Jawatankuasa tersebut perlu diberikan tempoh masa tertentu untuk melakukan kajian agar tidak mengambil masa terlalu lama,'' katanya.

Kata beliau, pihaknya berharap kerajaan Kedah mengambil tindakan bijaksana dan proaktif dalam menguruskan beban hutang Kuin sebanyak RM330 juta agar tidak membebankan kerajaan negeri. - UTUSAN ONLINE