08 November, 2013

KAMARUDIN BIDAS GLC

Oleh AZMAN IBRAHIM pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 7 Nov. - Pengerusi Eksekutif AirAsia Bhd. (AirAsia), Datuk Kamarudin Meranun hari ini melahirkan rasa kesal terhadap syarikat milik kerajaan (GLC) yang didakwa masih meminggirkan pengiklanan dalam akhbar berbahasa Melayu.

Malah, katanya, beliau juga berasa malu terhadap GLC-GLC itu yang telah mencapai tahap perlu dirayu oleh kepimpinan negara untuk menempah iklan di dalam akhbar-akhbar berkenaan. 

"Sangat memalukan apabila mereka (GLC) terpaksa dirayu untuk mengiklankan di dalam akhbar berbahasa Melayu. "Malah, lebih memalukan bagi mereka apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri terpaksa merayu dan menggesa syarikat-syarikat berkenaan untuk berbuat demikian.

"Kami di AirAsia bagaimanapun akan berterusan memberi sokongan pengiklanan kepada akhbar berbahasa Melayu, terutamanya Utusan Malaysia. Tidak dinafikan, kami juga amat memerlukan sokongan anda kerana peranan Utusan amat penting," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini. Pada 13 September lalu, Perdana Menteri ketika berucap dalam Majlis Perasmian Bangunan Baharu Ibu Pejabat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin di sini menggesa semua agensi kerajaan, GLC dan syarikat swasta terutama milik bumiputera mengiklan lebih banyak dengan akhbar-akhbar di bawah Kumpulan Utusan. 

Perdana Menteri berkata, langkah itu sebagai penghargaan mereka kepada perjuangan akhbar-akhbar Melayu terutama dalam membantu perjuangan masyarakat Melayu selama ini. Menurut beliau, dalam dunia kewartawanan, kejayaan sesebuah akhbar juga bergantung kepada sokongan yang bersifat komersial. Najib menambah, beliau amat sedar bahawa bergantung harap kepada pengedaran akhbar sahaja dan naskhah-naskhah yang dijual tidak memadai dan tidak mungkin dapat menentukan kelangsungan sesebuah akhbar itu. 

Ketika ditanya mengenai tindakan Ketua Eksekutif AirAsia X, Azran Osman Rani yang mencemuh Utusan Malaysia sebagai akhbar rasis dan menyatakan pendiriannya akan menarik balik iklan AirAsia di Utusan menerusi laman sosial sekitar Mei lalu, Kamarudin menjelaskan, pendirian Azran tidak mewakili pendirian AirAsia. 

Katanya, beliau sendiri telah pun menegur tindakan Azran yang disifatkan tidak menghormati sensitiviti masyarakat Melayu. 

"Secara jujurnya, saya mewakili AirAsia telah pun mengutus surat mohon maaf kepada pengarang Kumpulan Utusan untuk meluahkan rasa hati dan kesal terhadap tindakan Azran yang di luar jangkaan itu," ujarnya. 

Ditanya mengenai tindakan yang diambil terhadap Azran, katanya, pihaknya masih memberi peluang kepada Azran yang telah pun menyedari mengenai kesilapannya itu.

"Azran sehingga kini masih memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X dan dinasihatkan supaya mengasingkan pendirian politik peribadi dengan tuntutan kerjanya," ujarnya.