.....chedet.cc
Sekarang UMNO tidak lagi dipandang tinggi dan tidak lagi disokong 
seperti dahulu. Sesungguhnya ramai orang Melayu meluat dengan UMNO, 
anggapnya tidak lagi relevan dan perlu ditolak pun.
10. Kenapa?. Kerana UMNO tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan 
tanahair. UMNO ternampak dan memang pun benar, berjuang untuk 
kepentingan orang-orang tertentu dalamnya dan ahlinya sahaja. UMNO 
berjuang untuk jawatan dan pangkat, untuk memperkayakan diri, untuk sagu
 hati, untuk poket sendiri.
11. Untuk ini mereka berusaha mengurangkan kemungkinan diri mereka 
dicabar, kurangkan kemungkinan diganti oleh sesiapa yang lebih layak. 
UMNO adalah hak ahlinya, hak pemimpinnya yang sedia ada dan bukan hak 
orang Melayu. Setelah mereka mendapat tempat jangan benar orang Melayu 
lain, terutama yang memiliki kebolehan tertentu, menyertai UMNO. UMNO 
adalah untuk pemimpin dan ahli semasa, dari ketua cawangan kepada ketua 
bahagian. UMNO tidak perlu tambahan ahli, tidak perlu penyertaan sesiapa
 lagi kerana ahli yang sedia ada perlu memelihara habuan mereka. Jika 
terlalu banyak ahli, habuan perlu dikongsi. Dan habuan yang dikongsi 
tentulah tidak sebanyak sebelum berkongsi.
12. Apa itu perjuangan untuk bangsa, agama dan tanahair! Bukankah yang sudah ada dalam UMNO, sebagai pemimpin atau ahli biasa terdiri dari bangsa Melayu, yang beragama Islam. Perjuangan untuk diri mereka bermakna perjuangan untuk bangsa mereka, bangsa Melayu, agama mereka, agama Islam. Oleh itu perjuangan untuk bangsa, agama dan negara sedang diteruskan, tanpa penyertaan Melayu lain.
13. Kesannya ialah hari ini ahli tidak bertambah selaras dengan 
pertumbuhan jumlah orang Melayu. Dan mereka terutama yang berkebolehan, 
yang berbakat tidak dibenar masuk UMNO lagi.
14. Yang boleh menyertai hanyalah yang kurang berkebolehan dibanding
 dengan yang sudah ada. Oleh kerana penyertaan dalam UMNO mestilah 
melalui cawangan, yang boleh masuk UMNO ialah yang kurang berkebolehan 
dari ketua cawangan.
15. Ketua cawangan manusia biasa yang boleh diserang  penyakit, 
bahkan boleh mati pun. Satu hari ketua cawangan terpaksa lepaskan 
jawatannya. Penggantinya tentulah orang yang memiliki kebolehan yang 
kurang darinya. Dengan itu kebolehan ketua cawangan akan merosot 
sepanjang masa, tiap kali pengganti mengambil alih.
16. Dan ini akan terjadi dalam keseluruhan parti. Semakin lama 
semakin kurang pemimpin UMNO yang berbakat. Semakin lama semakin kurang 
ahli yang berbakat dan layak untuk menjadi calon dalam PRU. Calon payung
 terjun yang berbakat akan dikalahkan.  Dengan itu pemimpin Kerajaan 
juga akan terdiri dari yang tidak berkebolehan.
17. Di mana pergi mereka yang berbakat ini?. Mereka pergi ke mana mereka di terima, tentunya parti lawan.
18. Melihat UMNO hanya berjuang untuk diri sendiri semata-mata, dan 
tidak lagi untuk bangsa, agama dan tanahair, orang Melayu tidak lagi 
nampak kenapa mereka harus sokong dan jayakan semasa PRU orang yang 
utamakan kepentingan diri sendiri sahaja. Jika ada sahaja parti lain, 
mereka akan sokong parti itu. Hanya jika parti lain lebih buruk 
baharulah sokongan kepada UMNO diteruskan. Inilah yang berlaku pada PRU 
13.
19. Mungkin kita boleh tepuk belakang kerana UMNO masih menjadi parti
 yang menang terbanyak dalan PRU 13.  Tetapi ini bukan kerana orang 
Melayu masih sokong UMNO.  Sebenarnya kemenangan UMNO dalam PRU 13 
disebabkan mereka tidak ada pilihan.  Mereka amat takut kalau-kalau 
Anwar Ibrahim menang bersama dengan DAP.  Akan hancurlah harapan orang 
Melayu sama sekali.  Seburuk-buruknya UMNO, ia masih berbau Melayu, 
masih lebih mungkin memelihara kepentingan orang Melayu.  Justeru itu 
tidak ada pilihan bagi orang Melayu jika tidak sokong UMNO.  Namun 
demikian dalam PRU 14 UMNO tidak boleh harap keadaan ini 
berterusan.  Jika UMNO tidak bersihkan dirinya dari rasuah dan 
kepentingan diri, orang Melayu mungkin mencari jaguh yang lain.
20. Demikianlah riwayat dan sejarah sebuah parti politik yang lupakan
 usul-asal dan sebabnya ia ditubuh. Demikianlah berakhirnya perjuangan 
yang lari jauh dari matlamat asalnya. Dahulu lain, sekarang 
lain.  Sejarah dan kecapaian dahulu tidak akan meraih sokongan 
selama-lamanya. Dahulu dahulu, sekarang sekarang. Hanya berharap kepada 
kata-kata hikmat Hang Tuah, “Tak akan Melayu hilang di dunia” tidak 
mencukupi. Mungkin Melayu tidak akan hilang di dunia, tetapi apakah 
jenis Melayu yang tidak hilang ini. Apakah mereka terdiri dari pencuci 
kasut, pemandu kereta, kuli yang terbongkok-bongkok menyembah bangsa 
lain yang menjadi Tuan mereka. Dan apakah nasib UMNO? Ia akan jadi 
cerita dongeng dalam buku kanak-kanak di zaman akan datang.
21. Inilah masa depan yang menunggu UMNO. Inilah masa depan sebuah 
parti yang cemerlang tetapi sudah hilang kegemilangannya. Inilah masa 
depan bagi yang tidak mahu sedar dan tidak mahu membetulkan diri.
22. Kata seorang penulis sajak di zaman dulu, “tidak ada yang lebih 
menyayat hati dari melihat bangsa ku dihina dan ditindas oleh orang”.