17 July, 2011

PAS kena 'bully' dengan DAP. Apa sudah jadi?

KUALA LUMPUR 16 Julai - Pas yang diserang DAP berhubung keputusan kerajaan negeri Kedah melarang operasi terhadap 13 jenis pusat hiburan sepanjang Ramadan nanti, menegur sikap sekutunya itu terutama Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, sepatutnya selaku pemimpin tertinggi DAP, Karpal tidak boleh mudah melatah dan menggunakan saluran media bagi mencari penyelesaian dalam isu-isu sensitif terutama, jika ia melibatkan agama.

"Karpal tidak seharusnya terikut-ikut dengan rentak kepimpinan bawahan DAP yang gemar menggunakan media secara terbuka dalam mencari jalan penyelesaian terhadap pelbagai isu sensitif, membabitkan orang Islam dan bukan Islam.

"Tindakan sebegini hanya mengeruhkan suasana. Sepatutnya Karpal mendapatkan penjelasan daripada pucuk pimpinan Pas terlebih dahulu, sebagaimana kami lakukan jika ia membabitkan isu di bawah kepimpinan DAP," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kata dua dibuat Karpal semalam supaya Pas khususnya kerajaan negeri Kedah menarik balik larangan operasi pusat hiburan yang dikeluarkan kerajaan negeri itu mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997.

Dalam pada itu, Mustafa menyangkal tuduhan pelbagai pihak kononnya kerajaan negeri Kedah di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, membelakangkan kepimpinan Pas Pusat ketika memutuskan larangan tersebut.

Katanya, kepimpinan Pas pusat tidak semestinya sepanjang masa mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri, apatah lagi jika keputusan larangan tersebut dibuat berdasarkan kuasa prerogatif (hak istimewa) kerajaan negeri Kedah itu sendiri.(sumber UM)