29 October, 2010

Remaja hari ini buta sejarah kerana mereka mangsa "experiment"

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Pasti ramai terkejut dengan hakikat bahawa remaja hari ini tidak tahu siapa Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Tidak cukup dengan itu, bayangkan bagaimanalah tahap patriotisme remaja masa kini kalau tarikh Hari Kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 yang disambut pada setiap tahun, pun boleh dilupakan.

Dalam satu soal selidik oleh Unit Khas Utusan Malaysia baru-baru ini, ada remaja menjawab Tun Razak Hussein sebagai Perdana Menteri pertama.

Hari Kemerdekaan pula dijawab dengan pelbagai tarikh oleh sekelompok responden. Antaranya 10 Ogos 1956, 31 Ogos 1943 dan 16 September 1957. (sumber Utusan Malaysia)

Hasil kajian Utusan Malaysia seperti di atas, mereka menyalahkan anak muda hari ini kerana buta sejarah. Hakikatnya anak-anak muda dan remaja hari ini adalah produk kita yang telah kita hasilkan 18 atau 25 tahun dahulu.

Mengapa mereka harus dipersalahkan jika kita sendiri tidak ambil pusing pentingnya sejarah dalam pembentukan negara ini. Di era 90an semasa kekuatan kita dahulu kita mementingkan dasar-dasar teknologi tinggi di mana anak-anak kita terkejar-kejarmenghambat  kehebatan sains dan teknologi sehingga sejarah bagi mereka adalah dongengan, mitos dan lagenda.

Cerita-cerita kisah masa lampau adalah cerita-cerita kartun “fairytales” kerana mereka tidak ada masa untuk mengkaji itu semua, dunia mereka sentiasa sibuk dengan perlumbaan angka, digital dan uji kaji saintifik.

Hari ini apabila kita telah lemah kita menyalahkan anak-anak remaja produk kelahiran kita yang tidak berdosa.

Apakah kita berani menyatakan, remaja kita hari ini adalah mangsa “experiment” dasar pendidikan kita dahulu yang gagal?