31 July, 2011

"Rakyat Kedah minta BN ambil alih semula Kedah" Datuk Bashah

Keputusan yang sentiasa menghantui mereka yang kalah.
GUAR CHEMPEDAK - UMNO Kedah bertekad untuk memenangi kesemua 15 kerusi Parlimen di Kedah demi membantu Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengekalkan pemerintahan Kerajaan Pusat di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, UMNO dan BN Kedah turut berjanji memenangi sekurang-kurangnya 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah daripada jumlah keseluruhan 36 kerusi bagi membolehkan mereka mengubah nasib rakyat Kedah.

Bagaimanapun, beliau mengakui sasaran parti itu hanya dapat dicapai sekiranya semua pimpinan parti komponen bersatu-padu dan menjadikan keperluan rakyat sebagai salah satu agenda perjuangan utama parti.

“Saya terima banyak maklum balas rakyat yang meminta BN mengambil alih semula pentadbiran Kerajaan Negeri daripada Pakatan Rakyat (PR).

“Justeru, pemimpin BN perlu mengetepikan persengketaan dalam parti dan mula menitikberatkan kepentingan rakyat sekiranya kita mahu memenuhi hasrat rakyat yang mahukan BN ambil alih semula Kedah,” katanya.

Ahmad Bashah berkata, pemimpin BN juga perlu mengikis sikap ‘hanya turun padang bila PRU menjelang tiba’ dan wajib mendekati rakyat sepanjang masa bagi membolehkan mereka merasai ‘sentuhan peribadi’ yang ditunjukkan pemimpin parti itu.

“Sekiranya sikap sebegini diambil remeh, bagaimana rakyat hendak meletakkan kepercayaan kepada kita untuk menjaga kepentingan mereka?

“Selain itu, pemimpin yang tidak terpilih menjadi wakil rakyat nanti perlu sentiasa menyokong pemimpin yang dipilih. Utamakan kepentingan parti dan saya yakin rakyat akan semakin yakin dengan keupayaan kita,” katanya.

Ahmad Bashah turut meminta rakyat Kedah menilai kembali dan membuat keputusan yang tepat pada pilihan raya akan datang.

“Perubahan yang dibuat perlu bermakna dan saya minta rakyat Kedah buat pilihan yang terbaik demi pembangunan negeri ini,” katanya.

20 July, 2011

Merbok telah kenal pasti 8 calun "winnable candidate" untuk PRU13

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyatakan proses simulasi pilihan raya atau pilihanraya olok-olok telah berjalan lancar di semua bahagian Umno berjalan.

Pilihanraya olok-olok ini melalui proses di mana bahagian-bahagian telah memilih, mengenal pasti nama-nama pengundi, nama-nama calon dan jawatankuasa pilihan raya.

Hasil dari pilhanraya olok-olok itu Merbok telah mengenal pasti 8 budak hitam yang berkalibar menjadi “winnable candidate”.

Kelapan-lapan budak hitam ini telah mula berjalan berkempen di kalangan ahli UMNO bahawa mereka memang layak dan berkelulusan peringkat tinggi dan mempunyai banyak wang untuk menjadi calun.

Sama-sama lah kita tunggu budak-budak hitam ini sampai ke rumah kita untuk masuk bakul angkat sendiri.

17 July, 2011

PAS kena 'bully' dengan DAP. Apa sudah jadi?

KUALA LUMPUR 16 Julai - Pas yang diserang DAP berhubung keputusan kerajaan negeri Kedah melarang operasi terhadap 13 jenis pusat hiburan sepanjang Ramadan nanti, menegur sikap sekutunya itu terutama Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, sepatutnya selaku pemimpin tertinggi DAP, Karpal tidak boleh mudah melatah dan menggunakan saluran media bagi mencari penyelesaian dalam isu-isu sensitif terutama, jika ia melibatkan agama.

"Karpal tidak seharusnya terikut-ikut dengan rentak kepimpinan bawahan DAP yang gemar menggunakan media secara terbuka dalam mencari jalan penyelesaian terhadap pelbagai isu sensitif, membabitkan orang Islam dan bukan Islam.

"Tindakan sebegini hanya mengeruhkan suasana. Sepatutnya Karpal mendapatkan penjelasan daripada pucuk pimpinan Pas terlebih dahulu, sebagaimana kami lakukan jika ia membabitkan isu di bawah kepimpinan DAP," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kata dua dibuat Karpal semalam supaya Pas khususnya kerajaan negeri Kedah menarik balik larangan operasi pusat hiburan yang dikeluarkan kerajaan negeri itu mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997.

Dalam pada itu, Mustafa menyangkal tuduhan pelbagai pihak kononnya kerajaan negeri Kedah di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, membelakangkan kepimpinan Pas Pusat ketika memutuskan larangan tersebut.

Katanya, kepimpinan Pas pusat tidak semestinya sepanjang masa mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri, apatah lagi jika keputusan larangan tersebut dibuat berdasarkan kuasa prerogatif (hak istimewa) kerajaan negeri Kedah itu sendiri.(sumber UM)

15 July, 2011

Ingat! Bulan Ramadan bukan bulan bergencok, beronggeng atau beryakyeh di Kedah

ALOR SETAR - Penguatkuasaan peraturan dan undang-undang pusat hiburan yang dilaksanakan sepanjang Ramadan di Kedah adalah tertakluk pada enakmen 1997, dan bukannya polisi baru yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR).

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, ia juga di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri, kerana arahan itu diperkenankan oleh Sultan Kedah, selaku Ketua Agama Islam dan dikuatkuasakan melalui Majlis Agama Islam Negeri Kedah.

“Arahan itu kemudian dikuatkuasakan ke pejabat-pejabat daerah seluruh negeri. Kerajaan Negeri sebagai pentadbir hanya melaksana undang-undang sedia ada, dan mahu ia dikuatkuasakan semula tahun ini, kerana sebelum ini ia seolah terlepas pandang oleh pihak tertentu,” katanya, ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, semalam.

Azizan berkata, enakmen itu terpakai sejak Barisan Nasional (BN) mentadbir Kedah, cuma tidak dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Dari dahulu lagi dalam bulan Ramadan, tidak ada aktiviti hiburan. Malah diadakan beberapa peraturan untuk bukan Islam mematuhinya. Saya mahupun Kerajaan Negeri tidak boleh campur tangan dalam hal itu sebab ia bawah bidang kuasa Sultan Kedah,” katanya.

Menurutnya, bandar Alor Setar sebelum ini dianggap sebagai Bandar Diraja, dan tidak dibenarkan sebarang aktiviti hiburan berlangsung pada Ramadan sebagai menghormati kemuliaan bulan itu.

“Majlis Agama Islam Negeri Kedah sudah membuat teguran dan pegawai-pegawai daerah bermesyuarat dan memutuskan untuk melaksanakan semula apa yang termaktub dalam enakmen 1997,” katanya.

Azizan tidak menolak kemungkinan peraturan itu menimbulkan kekeliruan banyak pihak, dan pihaknya telah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membuat kajian semula berhubung skop hiburan.

“Mesyuarat Exco Mei lalu, telah bersetuju meluluskan cadangan daripada pegawai daerah mengenai penutupan pusat hiburan di Kedah sepanjang Ramadan. Semua pegawai pelesenan daerah diarahkan menguatkuasakan peraturan itu dengan kerjasama PBT dan polis,” katanya.

Namun, katanya, terdapat pengecualian untuk pertunjukan berkaitan keagamaan dan kepercayaan sesuatu kaum dengan syarat tidak menimbulkan kekacauan, selain mendapat sokongan daripada pegawai pelesenan.

“Permohonan itu pula perlu dikemukakan pada Kerajaan Negeri untuk dipertimbangkan. Contohnya bulan Ogos kaum Cina mahu meraikan Perayaan Bulan Hantu, jadi mereka perlu mohon secara bertulis untuk pertimbangan,” katanya.

Azizan berkata, kategori hiburan yang tidak boleh beroperasi sepanjang Ramadan ialah lesen untuk pertunjukan pancaragam, persembahan nyanyian di hotel, restoran dan bar, warung kopi, karaoke dan disko.

“Pusat snuker dan kafe siber pula kita mungkin semak semula kerana ia bukan bentuk hiburan tetapi diletakkan bawah kategori hiburan. Minta PBT perjelaskan secara terperinci apakah yang dimaksudkan dengan hiburan,” katanya.

Kelmarin, beberapa pengusaha pusat hiburan Cina tidak berpuas hati dengan tindakan Kerajaan Negeri tidak membenarkan lesen hiburan diperbaharui sepanjang Ramadan, dan mahukan penjelasan kerana mendakwa menanggung kerugian jika premis terpaksa ditutup selama sebulan. (sumber -SH)

Awas! Lendir putih dalam minuman berjenama

SEDIM – Penduduk, Jaafar Sidik yang tinggal di Kampung Sedim kecewa dengan sebuah syarikat pengeluaran minuman kerana didakwa tidak bertanggungjawab terhadap barangan dijual di pasaran.

Menurutnya, bulan lalu ketika berada di Perlis, dia berkunjung ke sebuah kedai runcit dan kemudiannya menegur pemilik kedai bahawa terdapat lendir dan selaput putih dalam minuman itu.

Dari pemeriksaan dibuat, minuman itu masih belum dibuka manakala sebotol minuman jenama sama diisi dengan kuantiti air yang kurang.

:Dia dan pemilik kedai kemudiannya meminta penjelasan dari pembekal, tetapi pihak itu hanya mahu menggantikan minuman itu dengan botol yang lain tanpa memikirkan implikasi akan dihadapi pengguna.

“Pengusaha kedai runcit itu kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Padang Besar pada 9 Jun lalu.

“Dari label yang terlekat pada minuman itu, tarikh luputnya adalah September 2011. Kelemahan syarikat minuman ini memasarkan produk minumannya ke pasaran seperti ini tidak seharusnya berlaku,” katanya.

Pengerusi Persatuan Pengguna Parlimen Kulim Bandar Baharu, Mohd Zailan Hashim berkata, masalah itu seharusnya dimaklumkan kepada Tribunal Pengguna supaya tindakan undang-undang dapat diambil.

Katanya, banyak kecuaian berpunca dari pengusaha mendatang masalah kepada pengguna.

“Pengguna perlu tahu hak dan undang-undang yang boleh melindungi mereka. Kita harus bersikap positif untuk memastikan kecuaian seumpama ini tidak berulang.

“Pengguna harus berani tampil ke hadapan untuk membuat laporan terhadap masalah yang boleh mendatangkan kerugian kepada pengguna,” katanya.(sumber SH)

08 July, 2011

Jangan pakai sensual whitening cream kalau tak mau anak dalam kandungan cacat

KUALA LUMPUR 8 Julai – Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli atau menggunakan “Sensual Whitening Cream” berikutan pengesanan racun berjadual dalam produk penjagaan kulit itu.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi kementerian berkenaan, Datuk Eisah A. Rahman berkata, produk tersebut dikesan mengandungi bahan logam berat merkuri yang dilarang dalam produk kosmetik yang boleh mendatangkan mudarat kepada pengguna.

"Syarikat Sensere Marketing Sdn Bhd, yang mengeluarkan produk itu diarah menghentikan penjualan dan pembekalan produk itu dengan serta merta dan menarik balik semua stok dalam pasaran dalam tempoh 72 jam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Eisah berkata, pengguna produk itu boleh menyebabkan ruam dan rasa gatal pada bahagian kulit dan pada masa sama boleh merosakkan otak, sistem saraf dan buah pinggang.

Beliau juga berkata, wanita mengandung yang menggunakan produk itu mungkin tidak mengalami simptom keracunan raksa (merkuri), tetapi boleh menyebabkan keracunan teruk kepada fetus mengakibatkan kerosakan otak dan kecacatan kepada bayi dalam kandungan. – Bernama

03 July, 2011

Salleh Yaakob, sama rata - sama rasa.

Pelawak Salih Yaccob akan muncul dengan program terbarunya, Salih Yaccob Show, I Follow. tag line 'I Follow' yang diambil daripada slot Sinar Pagi dalam Sinar FM.

Salih Yaccob Show, I Follow dijangka dapat menarik rating yang tinggi kerana peminat-peminat Sinar Pagi juga akan follow Salleh Yaakob sehingga ke program TVnya.

Apapun ramai juga lelaki yang akan follow Salleh Yaakob mengikuti petua-petua pengurusan empat isteri.

Sedap mata memandang sedap lagi bahu yang memikul. Bukan senang untuk berlaku adil supaya sama rata sama rasa.