07 February, 2012

Pegawai Menteri Isu MINYAK MASAK. Pegawai Hal Ehwal Pengguna di Sungai Petani cakap lain tetapi yang berlaku di bawah lain

SUNGAI PETANI 6 Feb. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kedah memberi jaminan bahawa bekalan minyak masak di negeri itu mencukupi.

Pengarahnya, Mohd. Sakri Saleh berkata, jaminan itu dibuat selepas beberapa tindakan diambil termasuk menyelaras dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk mempercepatkan bekalan kepada semua kedai.

Bagaimanapun katanya, kekurangan minyak masak yang berlaku di sesetengah kawasan adalah disebabkan pembelian panik berikutan khabar angin bahawa harga barang keperluan ini akan dinaikkan.

"Minyak memang mencukupi untuk negeri. Saya harap pengguna jangan dengar khabar angin dan tidak membuat pembelian panik," katanya kepada pemberita selepas meninjau bekalan minyak masak di sekitar bandar ini, hari ini.

Minyak masak yang merupakan salah satu barang kawalan yang disenaraikan oleh kementerian itu dilapor sukar diperoleh di beberapa negeri seperti Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor sejak kebelakangan ini.

Mohd. Sakri berkata, pihaknya memantau keadaan itu dan memberi amaran peniaga yang menaikkan harga barang berkenaan akan menghadapi risiko untuk didakwa mengikut Akta Antipencatutan. Beliau mengakui, ada kalanya bekalan tersebut menghadapi kekurangan terutamanya di kawasan pedalaman tetapi bukan dalam jumlah ketara.

"Di Kedah para peniaga diberikan kouta oleh MPOB sebanyak 2,500 tan metrik setiap bulan sedangkan penggunaan lebih. Bagi mengatasi masalah ini, kita bercadang memohon penambahan kouta kepada 4,000 tan metrik setiap bulan dalam tempoh terdekat," katanya.
(Utusan Malaysia)

Sejauh mana kebenaran kenyataan pegawai di bawah Ismail Sabri, Menteri Hal Ehwal Pengguna ini pun kita tak tahu kerana baru semalam apabila tinjaun di buat di pasaraya Tesco Sungai Petani pengguna masih merungut kerana tidak terdapat minyak masak. Yang hanya terdapat di rak-rak bahagian minyak ialah minyak jangung dan minyak bunga matahari.

Inilah yang dikatakan pegawai atasan cakap lain tetapi realiti di bawah lain yang terjadi.