14 October, 2009

Mohon bantuan siapkan makmal komputer

MERBOK - Kelab Pendidikan dan Kebajikan Puncak Lembah Bujang Merbok Cawangan Kampung Belau (Kelab Belau) memohon sumbangan orang ramai untuk menghulurkan bantuan kewangan dalam usaha menjayakan Projek Mini Makmal Komputer dan Mini Perpustakaan yang sedang diusahakan mereka.

Pengerusinya, Hafis Md Ishak berkata, peruntukkan untuk membina mini komputer dan mini perpustakaan bagi kegunaan pelajar di Kampung Belau itu adalah sebanyak RM10,200 dan setakat ini mereka telah menjalankan proses pembinaan sebuah bilik makmal komputer dan sebuah bilik mini perpustakaan dengan wang yang terkumpul hasil sumbangan orang ramai dan orang perseorangan.

Menurutnya, wang terkumpul setakat ini adalah sebanyak RM5,200 sahaja dan pihaknya meneruskan usaha membina dua bilik yang diperlukan untuk menempatkan komputer dan perpustakaan itu di tapak pusat aktiviti Kelab Belau iaitu di Pusat Giat Ilmu Kampung Belau, Merbok.

“Oleh yang demikian kami dengan rendah hati memohon bantuan kewangan sebanyak RM5,000 lagi daripada orang ramai yang sudi menghulurkan bantuan bagi menyiapkan kedua-dua bangunan tersebut.

“Kos ini adalah untuk menampung kos keperluan seperti membeli bata, simen dan pasir dengan kos RM1,600, membeli kayu dan siling dengan kos RM600, membeli bumbung zink dan kayu sebanyak RM 1,400 dan upah kerja adalah sebanyak RM1,600,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pusat Giat Ilmu Kampung Belau, Merbok.

Hafis berkata, Universiti Sains Malaysia (USM) telah bermurah hati untuk menyumbangkan sebanyak sepuluh komputer untuk kegunaan Pusat Giat Ilmu Kampung Belau dalam pengajaran dan pembelajaran penggunaan komputer bagi kanak-kanak miskin di kampung ini dan segala pengurusan dan pentadbiran makmal tersebut akan dilaksanakan oleh kelab.

Menurutnya, cadangan pembinaan mini makmal komputer dan mini perpustakaan ini adalah berikutan keperluan pelajar tuisyen di Pusat Giat Ilmu Kampung Belau ini yang terdiri daripada pelajar kampung dan kurang berkemampuan untuk mendapatkan kelas tuisyen daripada pihak luar.

“Mereka merupakan anak jati kampung ini serta kampung sekitar dan berdasarkan situasi semasa, pihak kelab mengambil inisiatif ini untuk membina mini makmal komputer dan mini perpustakaan dalam usaha untuk memenuhi keperluan pelajar kelas tuisyen di sini.

“Selama ini kami hanya menggunakan barangan terpakai untuk tujuan itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kelab Belau adalah sebuah kelab yang melaksanakan aktiviti termasuk kelas tuisyen percuma, katanya.

Menurutnya, usaha yang dilakukan pihak kelab adalah bagi membolehkan remaja di sini dapat meningkatkan taraf pendidikan mereka setanding dengan pelajar di bandar.

Selain itu, katanya, pihak kelab juga menjalankan aktiviti lain untuk belia dan remaja termasuk sukan dan riadah.

Kepada sesiapa yang sudi menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank atas nama Pertubuhan Kelab Pendidikan Dan Kebajikan Puncak Lembah Bujang Merbok bernombor 152189021182 atau menghubungi Hafis di talian 019-5100539.

(Sumber: Sinar Harian)