11 November, 2010

Tafsiran patriotik yang dangkal

The Star 11/11/2010 m.s N47 menyiarkan pandangan yang menarik dari penulisnya T.K Chua berhubung isu patriotisma yang dibangkitkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kononya dakwaan beliau mempertikaikan kesetiaan dan integriti kaum bukan Melayu berhubung isu penyertaan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Berikut adalah terjemahnya:

Saya ingin merujuk lapuran "“Stop making sweeping statements, Umno ministers told” (The Star, Nov 10).

Saya bersetuju dengan Presiden MCA bahawa kenyataan cetek dengan melabelkan bukan Melayu sebagai tidak patriotik kerana tidak berminat berkhidmat dalam angkatan tentera adalah tidak bijak.

Bahkan, kenyataan dicemari dengan motifnya bertujuan memperolehi “mileage” politik semata-mata daripada menyatakan penilaian yang jujur ketahapan sebenarnya semangat patriotisme di kalangan warganegara ini.

Satu pengabdian sederhana atau kesetiaan kepada negara tanpa prasyarat adalah juga patriotisme bagi saya. Dalam lain perkataan, jika kita ingin melihat bahawa negara ini berjaya, damai dan bahagia juga patriotisme.

Manifestasi patriotisme terbina dalam banyak cara. Berkhidmat dalam angkatan tentera mungkin salah satunya. Tetapi jika kita berkhidmat dalam angkatan bersenjata kerana ingin keluar dari pengangguran dan atas desakan ekonomi, adakah itu patriotisme yang kuat?

Kita harus menghargai bahawa di kalangan kita masing-masing mempunyai keperluan dan bakat yang berbeza dan kita mampu menterjemahkan patriotisme kita dalam berbagai cara bukan sekadar berkhidmat dalam agkatan tentera.

Mungkin pada tahap yang paling asas, kita menjadi wargakerja yang tekun dan bekerja kuat sehingga berkemampuan menjadi pembayar cukai dengan jujur dan itu juga adalah patriotisme. Jika anda menjalankan perniagaan dengan jujur kepada pelanggan itu juga adalah patriotisme.

Jika anda seorang profesional, menjalankan profesion secara beretika dan jujur untuk menjamin kesejahteraan warga negara sesama anda itu juga adalah patriotisme dan jika anda seorang tokoh korporat dengan memastikan ekonomi Malaysia terus berdaya saing disamping mewujudkan peluang pekerjaan serta berlaku adil dan beretika kepada pelabur dan pemegang saham, itu juga dikira patriotisme.

Jika anda adalah salah seorang pejawat awam dengan tidak memihak dan melayani rakyat berlandaskan dengan konsep 1Malaysia itu juga adalah patriotisme. Begitu juga, jika anda salah seorang ahli politik yang patriotik, anda juga terhutang budi dengan Malaysia yang umumnya sejahtera, pengurusan yang baik,aman , damai dan ekonomi yang makmur.

Justru itu, kita adalah patriotik dalam apa jua kerjaya kita baik dalam apa juga pekerjaan yang kita berada atau apa juga usaha yang kita ingin ceburi.

Di sebaliknya kita juga adalah tidak patriotik jika dengan kuasa dan kedudukan kita digunakan dengan membeli peralatan tentera yang tidak bermutu kerana sehingga membahayakan nyawa anggota tentera kita.

Begitu jugalah apabila mereka yang diamanahkan membazir wang dengan membelanjakan dengan boros dalam projek-projek yang tidak perlu, itu juga dikira tidak patriotik.

Penjawat-penjawat awam yang korup, sehingga projek lambat atau terbengkalai, itu juga dikira tidak patriotik.

Apabila terdapat ahli politik yang membahagi-bahagikan warganegara dalam kategori yang berbeza serta menghasut sesama mereka, itu juga dikira tidak patriotik.

Akhirnya apabila kita malas, tidak cekap dan tidak layak itu juga dikira tidak patriotik.

T.K. Chua,