King Gyanendra |
RAKYAT Nepal kini bergembira bagi meraikan tamatnya pemerintahan
beraja yang wujud di negara itu sejak 240 tahun lalu. Parlimen Nepal
pada Rabu lalu meluluskan usul menamatkan pemerintahan berkenaan dan
sekali gus akan menukar pemerintahan negara itu kepada sebuah republik.
Ketika rakyat negara itu bergembira dan menganggap ia kemenangan
bersejarah bagi mereka, keputusan Parlimen itu adalah sesuatu yang
mendukacitakan bagi Raja Gyanendra Bir Bikram Shah Dev.
Baginda kini diberi tempoh selama 15 hari untuk meninggalkan istana
yang bakal ditukar menjadi muzium. Di situ akan ditempatkan segala
sejarah mengenai pemerintahan beraja di Nepal untuk ditatapi generasi
akan datang.
Raja Gyanendra menjadi Raja Nepal sejak 4 Jun 2001. Sebaik sahaja
Gyanendra menjadi raja, baginda telah membubarkan Parlimen serta
memerintah Nepal secara kuku besi.
Malah pada abad ini, baginda boleh dianggap sebagai sebahagian
kumpulan elit raja di dunia yang merupakan monarki mutlak. Walaupun
begitu tindakannya menindas rakyat, telah memberi peluang kepada
Parlimen mengambilalih kuasa daripadanya.
Oleh itu pada April 2006, Parlimen mula membatas kuasa mutlak yang
dinikmati oleh baginda selama ini. Raja Gyanendra dilahirkan di
Kathmandu dan mempunyai seorang abang bernama Birendra. Bapa baginda
ialah Raja Mahendra Bir Bikram Shah dan ibunya ialah Puteri Mahkota
Indra Rajya Laxmi Devi Shah. Walaupun baginda adalah anak bongsu,
Gyanendra telah ditabalkan sebagai raja selama dua tahun antara 1950 dan
1951, sewaktu keluarganya yang lain berada dalam buangan di India
tetapi pemerintahannya tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Takhtanya Datuknya, Tribhuvan, kemudiannya
pulang ke takhtanya apabila keluarga Rana menyerahkan kuasa. Baginda
bersama abangnya Birendra belajar di kolej yang sama iaitu Kolej St.
Joseph, Darjeeling, India. Sewaktu di sekolah baginda dianggap sebagai
pelajar pintar. Walaupun begitu, baginda meneruskan pelajarannya di
sebuah universiti tempatan iaitu Tribhuvan University, Kathmandu.
Manakala abangnya pula melanjutkan pelajaran ke universiti di Eropah.
Setahun selepas tamat pengajiannya iaitu pada 1970, Raja Gyanendra
telah berkahwin dengan Permaisuri Komal Rajya Laxmi Devi Shah dan
dianugerahkan dengan seorang putera dan seorang puteri.
Raja Birendra menaiki takhta pada 1972 dan cuba memerintah Nepal
dengan penuh demokrasi. Namun baginda terpaksa berhadapan dengan
tentangan hebat tentera Mao. Pada 1 Jun 2001, dunia telah digemparkan
dengan serangan terhadap keluarga diraja Nepal, anak saudaranya Dipendra
mengamuk dan membunuh sebahagian besar keluarga di Raja termasuk abang
Gyanendra, Raja Birendra.
Sebahagian besar rakyat Nepal percaya, Raja Gyanendra menjadi dalang
di sebalik pembunuhan itu memandangkan kesemua kerabat diraja yang lain
dibunuh sedangkan keluarga baginda terselamat.
Bagaimanapun selepas siasatan menyeluruh dijalankan oleh pasukan
penyiasat mereka gagal menemui bukti berhubung penglibatan Raja
Gyanendra.
Sebaik sahaja menaiki takhta, Raja Gyanendra mengamalkan sikap
mengawal sepenuhnya kerajaan berikutan kegagalan parti-parti politik.
Pada Mei 2002, baginda memberi sokongan kepada Sher Bahadur Deuba
sebagai Perdana Menteri. Bagaimanapun ia hanya bertahan lima bulan
apabila, baginda menyingkirkan Deuba. Sepanjang tempoh 2002 hingga 2005,
baginda telah melantik dan memecat tiga Perdana Menteri.
Ketika baginda menguasai sepenuhnya pemerintahan pada 1 Februari
2005, baginda menuduh kerajaan Deuba gagal melaksanakan pilihan raya
Parlimen dan mewujudkan kestabilan dalam negeri berikutan tercetus
perang saudara yang dilakukan oleh pemberontak Mao.
Walaupun Raja Gyanendra memberi jaminan akan mewujudkan keamanan dan
pemerintahan demokrasi dalam tempoh tiga tahun tetapi sepanjang
pemerintahannya ia dipenuhi dengan tindakan kuku besi.
Berikutan itu pertubuhan antarabangsa melahirkan kebimbangan mereka
terhadap keselamatan wartawan berikutan langkah Raja Gyanendra
mengehadkan kebebasan awam termasuk kebebasan media.
Tindakan demi tindakan yang dilakukan Raja Gyanendra mula mencetuskan
perasaan tidak puas hati rakyat sehingga mencetuskan demonstrasi
besar-besaran pada April 2006 bagi membantah pemerintahannya. Raja
Gyanendra bertindak balas dengan mengisytiharkan darurat.
Bagaimanapun bantahan terhadap baginda
berterusan dan ini memaksa baginda mengumumkan akan mewujudkan pihak
berkuasa eksekutif yang mana Perdana Menterinya akan dipilih oleh parti
politik.
Namun tawaran itu ditolak oleh beberapa ketua parti, mereka
sebaliknya menggesa Raja Gyanendra mewujudkan satu majlis bagi
menentukan peranan raja dalam politik.
Kemelut antara raja dan ahli politik di Nepal seolah-olah sampai ke
kemuncaknya pada 10 Jun 2006, apabila Parlimen menghapuskan kuasa raja
termasuk hak untuk menggunakan kuasa veto dalam meluluskan
undang-undang. Tindakan itu telah menyebabkan Raja Gyanendra ibarat
seorang raja awam yang tidak mempunyai apa-apa kuasa kerana
segala-galanya sudah dipindahkan kepada Perdana Menteri.
Usaha Raja Gyanendra untuk terus mempertahankan sistem monarki di
negara itu sampai ke penghujung pada Mac 2007 apabila Perdana Menteri
Nepal, Girija Prasad Koirala yang dilihat orang yang paling memihak
kepada sistem berkenaan berpendapat Raja Gyanendra perlu berundur
daripada takhta.
Pada 23 Ogos 2007, kerajaan peralihan Nepal mengumumkan semua harta
Raja Gyanendra yang diwarisi daripada abangnya termasuk Istana Diraja
Narayanhity kini milik negara, bagaimanapun pengumuman itu tidak
melibatkan harta peribadi baginda sebelum menaiki takhta.
Akhirnya apa yang dibimbangi oleh Raja Gyanendra menjadi kenyataan
apabila pengumuman dibuat pada 24 Disember 2007 bahawa sistem monarki di
negara itu akan dihapuskan pada tahun ini selaras dengan salah satu
syarat dalam perjanjian damai dengan pemberontak Mao.
Ia sekali gus bermakna Nepal akan menjadi sebuah republik yang akan
dipimpin oleh seorang presiden. Berikutan keputusan itu pada Rabu lalu,
Raja Gyanendra diberi tempoh selama 15 hari untuk meninggalkan istana
tempat baginda bersemayam. Baginda akan melangkah keluar dari istana
berkenaan sebagai rakyat biasa dan tidak mempunyai apa-apa keistimewaan
dari segi undang-undang.
Demikianlah berakhirnya riwayat pemerintahan beraja di Nepal yang
wujud 240 tahun lalu. Kesilapan dan keangkuhan sang raja ketika
memerintah telah mewujudkan rasa muak di kalangan rakyat.
Ia kesudahannya mengakibatkan istana tidak lagi dilihat sebuah
institusi yang kebal dan perlu dipertahankan. Segalanya berlaku kerana
kealpaan Raja Gyanendra yang selama ini merasa begitu berkuasa dan tidak
terfikir bahawa suatu hari kelak institusi beraja di negara itu hanya
akan menjadi lipatan sejarah yang disimpan di sebuah muzium.
Lebih malang lagi muzium berkenaan sebelum ini adalah istana yang menjadi tempat baginda bersemayam dan bersukaria. (UM - 1/6/2008)