29 April, 2013

DAIM MAHU NAJIB LANTIK AHLI KABINET YANG BOLEH DIPERCAYAI

MERBOK: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diingatkan supaya membariskan barisan Kabinet yang berwibawa bagi menarik sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasioban (BN). 

Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berkata, pemilihan barisan Kebinet yang tepat merupakan elemen penting terutama dalam memastikan pelan transformasi kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik.

"Saya beritahu Perdana Menteri…kalau nak orang mengundi kita, kita mesti pilih Kabinet yang boleh diterima oleh rakyat.

"Saya harap 'kayu mati' (yang ada dalam Kabinet) supaya diberhentikan. Sekarang pun sudah ada dua, tiga (ahli Kabinet) sudah berhenti. Kita harap agar muka baru akan diperkenalkan bila dah menang," katanya di sini, Sabtu. 

Daim berkata demikian ketika berucap dalam majlis pertemuan dengan jentera BN bagi kawasan Parlimen Merbok di sini. 

Selain itu Daim yang juga bekas Ahli Parlimen Merbok berkata, kepercayaan rakyat terhadap kerajaan akan lebih tinggi sekiranya Najib membariskan barisan Kabinet yang mampu melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna. 

Katanya, rakyat mahu melihat kerajaan yang bakal ditubuhkan dibarisi oleh barisan ahli Kabinet yang berkebolehan tanpa bergantung sepenuhnya terhadaop Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

"Kita mahu rakyat percaya kepada Kabinet, tak mahu hanya Najib dan Muhyiddin sahaja boleh buat kerja. 

"Kita mahu yang ada kebolehan, mahu ahli Kabinet yang bila orang tengok muka pun sudah percaya," katanya.
(BERNAMA)

PM TAK SETUJU TINJAUAN UMCEDEL

RAWANG - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan sebagai karut satu tinjauan oleh Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel), dan menegaskan beliau yakin Barisan Nasional (BN) berada di laluan untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).  
Najib berkata beliau tidak setuju dengan kajian Umcedel itu yang menunjukkan beliau berada empat mata di belakang penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

"Saya tidak setuju dengan tinjauan itu (oleh Umcedel). Kami ada tinjauan kami sendiri. Tinjauan saya menunjukkan kami (BN) berada di hadapan.

"Saya yakin kita boleh memenangi PRU13," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Baru Sungai Terentang di sini hari ini.

Najib mengulas tinjauan itu dibuat awal April melibatkan 1,407 responden yang tinggal di Semenanjung Malaysia.

Tinjauan itu menunjukkan 43 peratus pengundi berpendapat Anwar layak jadi perdana menteri sementara 24 peratus tidak setuju dan selebihnya tidak pasti.

Sementara bagi Najib, 39 peratus pengundi berkata beliau layak menjadi perdana menteri sementara 31 peratus tidak setuju dan 30 peratus selebihnya tidak pasti. - Bernama
(Sinar Harian)