07 May, 2014

"CADANGAN SYARIKAT AMBIL ALIH PLUS TAK MASUK AKAL" NAIB PRESIDEN PERKASA

KUALA LUMPUR 6 Mei - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menentang cadangan pengambilalihan PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) oleh syarikat swasta kerana pemegang konsesi lebuh raya itu merupakan tulang belakang dan pemacu kepada perkembangan negara. 

Naib Presiden Perkasa, Syed Osman Syed Mansor berkata, PLUS yang kini dimiliki bersama dua syarikat milik kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan, iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan UEM Bhd (UEM) selama ini juga telah diurus dengan baik.

“Cadangan oleh syarikat persendirian untuk tidak menaikkan tol sehingga tahun 2038 dan kerajaan boleh menjimatkan RM40 bilion adalah tidak masuk akal tanpa bukti-bukti kukuh. 

“Perkasa berpendapat, aset kritikal negara iaitu PLUS wajar dikekalkan hak miliknya oleh dua agensi itu dan tidak dijual kepada syarikat swasta," katanya dalam kenyataan di sini hari ini bagi mengulas isu PLUS yang kini menjadi sasaran pengambilalihan oleh sebuah syarikat swasta. 

Dalam pada itu, Syed Osman turut mempersoal mengapa PLUS perlu dijual kepada syarikat swasta sedangkan dimiliki oleh agensi yang kukuh. 

Katanya, Lebuh Raya Utara Selatan yang konsesinya dipegang oleh PLUS telah dibina berdasarkan konsep bina-kendali-pindah (BOT), maka harus kekal dalam pemilikan kerajaan. Beliau berkata, kerajaan juga disaran agar menguruskan aset kritikal negara demi menjaga kepentingan rakyat. Utusan Melayu (M) Bhd