11 November, 2012

SYED MOKHTAR AL BUKHARY, A BIOGRAPHY

"I remember him showing me his plans for the Port Of Tanjung Pelepas. I admit I found it grand, and thought he would not succeed" Tun Dr Mahathir
‘Syed Mokhtar Al Bukhary, A Biography’ adalah buku terbaru yang masih panas di kedai buku diterbitkan pada 8 November 2012 tulisan Premilla Mohanlall. Buku yang setebal 169 muka surat tidak termasuk muka surat index ini berharga RM19.90 murah sedikit dari buku My Story, Lim Goh Tong yang berharga RM28.00 dan sama harga dengan buku Daim, Man Behind The Enigma tulisan Adibah Amin. 

Gaya penulisan Premilla Mohanlall yang mudah atau ‘easy reading’, buku ini sarat dengan pengkisahan liku-liku dugaan seorang usahawan Bumiputera dan tiada jalan mudah untuk berjaya sebagai seorang Bumiputera.

Syed Mokhtar dilahirkan pada 12/12/1951 dari perut kandungan Sharipah Rokiah di Kampung Keriang, Jalan Day, Alor Setar Kedah. Bersekolah setakat tingkatan lima kerana kemiskinan tidak meneruskan pelajaran dan sejak awal telah belajar berniaga lembu dari bapanya Syed Nor. 

Syed Mokhtar merupakan segelintir jutawan Melayu yang masih survive selepas Asia dilanda badai krisis ekonomi. Ramai jutawan Melayu atau Bumiputera telah hanyut dilambung badai ketika itu dan ada yang masih hidup, nyawa-nyawa ikan dan ada yang telah hilang hanyut dilambung gelombang.

Hidangan di dalam talam kawalan Syed Mokhtar ketika ini di antaranya ialah Malaysian Mining Corporation (MMC), Tradewind Bhd dan DRB-HICOM. Realitinya rezeki hidangan ini bukannya datang terhidang di dalam dulang emas tetapi setiap syarikat-syarikat ini ada ceritanya yang tersendiri.

Sepak terajang perniagaan sudah menjadi kematu kepada Syed Mokhtar dan semuanya diceritakan di dalam buku ini dengan penuh sentuhan

Adalah kelaziman setiap peniaga Bumiputera akan menempuh cabaran dengan bangsanya sendiri. Begitu juga Syed Mokhtar. 

Syed Mokhtar juga tidak terlepas dari lempias impak perubahan pucuk pimpinan daripada Dr Mahathir kepada Pak Lah. Dasar-dasar pembangunan ekonomi Pak Lah ternyata menggigit perniagaan Syed Mokhtar.

Selepas melepaskan jawatan dalam Kerajaan, Dr Mahathir seperti keseorangan dan ramai yang dulu mencium tangannya kini lari beralih giliran mengampu Pak Lah. Syed Mokhtar tidak begitu, kata Mahathir “ For a while, I thought Syed Mokhtar too had disappeared. But it was not so. He continued to seek me out even though I was no longer in a position of power”

Syed Mokhtar telah dilabel sebagai ‘orang Mahathir’ akibat pengaruh ‘budak-budak tingkat 4’ Syed Mokhtar telah terpisah jauh dari pucuk pimpinan. Banyak projek-projek yang telah ditawar kepada Syed Mokhtar semasa tempoh akhir Dr Mahahir menjadi Perdana Menteri telah dibekukan dan ada yang ditarik balik. 

Projek ‘Alluminium Smelting’ di Sarawak telah ditarik balik dan projek landasan keretapi berkembar dihentikan. Hikmahnya, apabila kesukaran menyertai projek dalam negara kerana dasar-dasar Pak Lah, Syed Mokhtar telah mengalih membawa MMC keluar negara khasnya Timur Tengah. 

Seorang tokoh jutawan Timur Tengah terkemuka Mohamed Ali Alabbar, Emaar Properties yang membangunkan bangunan tertinggi di dunia Burj Khalifa Dubai berkata semasa wawancara di TV menyatakan “in South East Asia, we will only do business with Syed Mokhtar”.

Membaca buku ini membuka persepsi sebenarnya bahawa kadangkala cabaran usahawan Melayu dan peniaga Melayu yang sebenarnya bukan persaingan dengan kaum lain tetapi yang lebih sukar ialah kerenah sikap bangsa Melayu sendiri. 

Buku ini bukan setakat sesuai dibaca oleh pelajar, bakal usahawan, usahawan tetapi juga mereka yang bakal menjadi pemimpin, bakal-bakal calun ADUN atau Ahli Parlimen kerana mereka adalah bakal menjawat jawatan Menteri cabinet yang kelak diamanahkan untuk mengubal dasar-dasar ekonomi untuk Melayu dan Islam.

Apapun menurut Syed Mokhtar "Wealth has to circulate. When you make money you have to give it away".