19 September, 2009

UMNO Merbok pantang ditegur

Budaya yang memunahkan UMNO Merbok ialah mereka pantang ditegur. Selama 52 tahun mereka memerintah mereka merasakan mereka ampuh dan tidak boleh digugat. Mereka merasakan rakyat kawasan ini secara automatik tidak dapat tidak akan menyokong mereka.

Apakah rakyat akan menjadi Pak Pacak dan Pak Hangguk atau ”YES MEN”? Apa yang mereka lakukan semuanya sempurna, maksum dan ”perfect”.

Hendak pula yang menegur dan memberi cadangan kepada mereka terdiri dari golongan-golongan muda yang baru ingin berjinak-jinak dalam UMNO.

Jika mereka ditegur, orang yang menegur akan dicemuh, dicaci, dimaki, dicarut dan dibelasah bertubi-tubi. Mereka cuba melarikan diri dari isu yang dibangkitkan dengan mengubah perhatian serta pandangan sambil menyalahkan dan menuding jari kepada pemimpin yang terdahulu.

Mereka menyapu semua isu-isu rakyat yang dibangkitkan kebawah permaidani merah mereka. Juak-juak di sekeliling mereka bertindak seperti samseng menyokong membuta tuli kelakuan ketua mereka tanpa usul periksa. Juak-juak inilah yang sering pandai berlakon dan mendapat tempat serta layanan istimewa ketua mereka.

Kerapkali juak-juak ini bertindak lebih camca dari bubur kerana mempertahankan ketua mereka demi untuk terus menikmati keistimewaan yang disuap ke mulut mereka.

Yang mendukacitakan ialah mereka begitu cepat melebelkan orang yang menegur mereka sebagai penyokong pembangkang. Ini kerana untuk menutup mulut orang tersebut dan mengheret hidung supaya menjadi Pak Hangguk mereka.

Jika budaya ini tidak berubah maka 80% golongan muda tidak akan menyokong BN dan UMNO seperti yang dinyatakan oleh Tun Daim.