23 January, 2011

Jangan Lupa Kisah Ini - Anekdot Dua : "Roastbeef from London to Jeddah"

(Perdana Menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman Putera Al Haj meninggal pada 10.25 malam pada 6 Disember 1990 hari Khamis semasa berusia 87 tahun.

MT ingin menceritakan kembali serba ringkas anekdot perjalanan kisah Tunku selepas beliau bersara yang mungkin ada di antara kita yang telah tahu dan mungkin ramai yang tidak tahu.

Anekdot-anekdot ini dicerita oleh sahabat karib Tunku, Datuk Abdul Aziz Ahmad atau kerap dikenali sebagai “Aziz Antara” beliau adalah seorang usahawan yang berjaya dan pengasas Syarikat Pustaka Antara.


Beliau bukan lah merupakan seorang bekas tokoh politik atau menteri kanan tetapi beliau merupakan sahabat karib Tunku yang kekal bersahabat dengan Tunku walaupun setelah Tunku tidak berkuasa lagi khasnya ketika ramai yang berjauhan dengan Tunku ketika Tunku sudah tidak menjadi PM.

Lumrah manusia semasa berkuasa seperti semut menghurung gula tetapi apabila sudah tidak ada kuasa kawan-kawan pun hilang entah kemana.

Selepas persaraan sebagai Perdana Menteri Malaysia YTM Tunku Abdul Rahman Putera Al Haj telah dilantik sebagai Setiausaha Agung Organization of Islamic Conference (OIC) yang beribu pejabat di Jeddah.


MT membahagikan kisah-kisah ini di dalam beberapa anekdot agar ianya segar difahami dan dihayati.)


Anekdot Dua : “Roastbeef from London to Jeddah”
Tunku di tengah dan Tun Datu Mustapha (kanan)

Di Beirut Tunku mempunyai pejabat khas yang disediakan oleh Tun Datu Mustapha. Letaknya ditengah-tengah bandaraya Beirut, di sebuah bangunan mewah di Hamra Street. Kalau tidak silap saya sewanya kira-kira US$200,000 setahun. Pejabat ini lengkap dengan peralatan dan perabut-perabut moden.Tun Datu Mustapha menyediakan pejabat ini untuk kemudahan dan kesenangan Tunku meneruskan tugas-tugas Sekretariat yang begitu berat di Jeddah.

Tun Datu Mustapha dengan Tunku tidak dapat dipisahkan. Beliau sentiasa membayangi Tunku walau di mana Tunku berada. Beliau juga tidak boleh mendengar apa juga kesulitan Tunku. Pernah beliau memasukan wang sebanyak US$5,000 ke dalam akaun Tunku di sebuah bank di Jeddah.

Apabila pihak bank mengirimkan penyata akaun kepada Tunku, terus Tunku pergi ke bank dan memberitahu pihak bank bahawa pihak bank telah membuat kesilapan kerana beliau tidak mempunyai wang sebanyak itu.

Dua kali Tunku pergi ke bank tersebut untuk memberitahu yang beliau tidak mempunyai wang sebanyak itu.
Akhirnya pengurus bank memberitahu Tunku bahawa ada orang memasukkan wang tersebut ke dalam akaunnya. Tunku menaruh syak di dalam hatinya, ini tidak lain kerja Tun Datu Mustapha. Apabila Tun Datu Mustapha datang, Tunku menceritakan perkara tersebut kepadanya. Tun Datu Mustapha hanya tersenyum sahaja.

Setiapkali Tun Datu Mustapha datang ke Jeddah, Tunku akan mengajak beliau mengerjakan umrah bersamanya. Tunku tidak menyukai ‘mutawwif’. Itulah sebabnya beliau menyuruh Tun Datu Mustapha membaca ayat-ayat suci semasa mengerjakan tawaf dan sa’i dan Tunku mengikut.

Tun Datu Mustapha benar-benar memberikan perhatian yang istimewa kepada Tunku. Beliau pantang mendengar apa-apa kesusahan tentang Tunku. Beliau mesti datang, biar bagaimana jauh sekali pun. Begitulah kasihnya dan sayangnya Tun Datu Mustapha kepada Tunku, tak ubah seperti anak dan bapa.

Pernah satu hari di Jeddah, sambil berbual-bual Tunku berkata yang beliau sudah lama tidak makan “roastbeef”. Dalam diam-diam Tun Datu Mustapha pergi ke London dan balik semula lusanya dengan membawa daging “roatbeef”. Tunku terkejut dan berkata kepada Tun Mustapha, “Saya cakap saja sudah lama tak makan “roastbeef”. Hang pi London untuk beli ni saja buat apa?”.

Tunku sangat dikenali di Timur Tengah. Di sini orang lebih kenal Tunku dari Malaysia. Kalau ditanya di mana Malaysia mereka tidak tahu, tetapi kalau disebut nama Tunku Abdul Rahman semua orang tahu.

Suatu hari semasa saya menunggu Tunku di lobi hotel di Beirut, bahagian “reception” memberitahu saya bahawa ada seorang wanita ingin menemui Tunku. Saya bercakap dengan wanita itu di dalam bahasa Arab kerana dia tidak faham bahasa Inggeris dan saya pula tidak faham bahasa Perancis. Dia memberitahu bahawa dia selalu mendengar nama Tunku disebut orang di sini. Itulah sebabnya dia hendak berjumpa Tunku, bersalam dan menatap wajahnya. Apabila Tunku turun, saya pun memperkenalkan wanita tersebut kepada Tunku. Dia pun bersalam dengan Tunku serta menatap wajah Tunku sambil berkata dalam bahasa Arab “Awak memang manusia hebat” (You are a great man). Dua kali diucapkannya kata-kata tersebut kepada Tunku sambil memegang tangan Tunku.

Akhirnya saya mendapat tahu bahawa wanita tersebut ialah bintang filem dan penerbit filem yang terkenal di Lebanon. Namanya Aidah Hilal, beragama Kristian. Dia telah menjemput saya ke studionya dan saya telah menonton beberapa buah filemnya. Saya membeli sebuah filem terbitannya yang berjudul “The Bell of Return”. Filem ini telah pun ditayangkan di seluruh Malaysia.

Pada suatu hari dalam tahun 1978, Tunku mengajak saya pergi ke Taiwan. Beliau hendak melawat orang-orang Islam di Taiwan kerana kebanyakan mereka sudah jauh tercicir, tidak mempunyai persatuan dan tidak lagi mengikut ajaran Islam yang sebenar. Sebagai Yang Di Pertua Perkim, kata Tunku beiau wajib meninjau keadaan di sana, apa lagi beliau mendapat tahu mereka memerlukan bantuan untuk menyatukan orang-orang Islam yang terbiar.

Ikut serta dalam rombongan tersebut ialah Tan Sri Khir Johari, HMS Hussain dan En Samad pegawai pribadi Tunku. Sesampai di Taiwan kami begitu terkejut dengan sambutan yang kami terima bermula di lapangan terbang lagi.

Beberapa orang Menteri, termasuk Menteri Pendidikan Taiwan menyambut kami di lapangan terbang. Kami disediakan sebuah kereta seorang dan diiringi dengan “outrider” ke hotel. Kami juga disediakan masing-masing satu bilik. Di sebelah bilik Tunku ialah bilik pegawai dari Kementerian Luar Negeri dan di depannya bilik pegawai Polis (5 orang) yang sentiasa mengawal Tunku.

Program pertama keesokan harinya (Jumaat) ialah melawat mesjid Taiwan. Kami di situ dengan dipandu oleh “outrider” juga, manakala di dalam kereta masing-masing terdapat seorang pegawai dari Kementerian Luar Negeri. Orang ramai telah berkumpul di mesjid. Tunku begitu gembira seolah-oleh apa yang diimpikannya telah tercapai.

Selepas memberi ucapan, Tunku telah menyerahkan derma sebanyak US$1000 kepada perkumpulan tersebut. Selepas sembahyang Jumaat, kami pun pulang ke hotel dan menikmati hidangan tengahari yang telah disediakan. Sejak hari ini dan hari-hari berikutnya kami terpaksa mengikut aturcara yang telah disiapkan.

Selama satu minggu itu penuh dengan acara-acara yang telah disediakankan, siang dan juga malam sehingga akhir sekali pihak berkuasa telah mengaturkan pertemuan rombongan Tunku dengan Presiden Taiwan.

Satu hari Tunku mengajak saya jalan-jalan ambil angin sambil membeli belah. Apabila kami keluar dari bilik menuju ke lif, seorang pegawai bertanya kepada saya hendak ke mana. Apabila dia mendengar jawapan saya yang kami ingin keluar jalan-jalan ambil angin dan “shopping”, dia pun masuk ke biliknya dan keluar semula dengan jaketnya lalu mengikut kami turun.

Apabila sampai di luar hotel, kami lihat kereta telah tersedia bahkan pintu kereta pun telah terbuka. Walaupun saya memberitahu mereka atas suruhan Tunku bahawa kami tidak mahu dihantar namun mereka masih tetap juga mahu menghantar kami samada dekat atau jauh. Jadi terpaksalah kami naik kereta diiringi “outrider”. Tunku satu kereta tersendiri dan saya satu kereta dengan HMS Hussain dan seterusnya para pengawal.

Kami sampai di sebuah kompleks membeli belah yang terbesar. Di hadapan kompleks tersebut telah menunggu Pengurus Besar kompleks berkenaan. Kami dibawa ke setiap tingkat. Kami juga membeli beberapa barang tetapi pihak kompleks tidak mahu menerima apa-apa bayaran dari kami. Sebaliknya kami diberi pula beberapa hadiah dan akhir sekali dibawa ke satu ruangan di mana minuman teh telah disediakan.

Di dalam kapal terbang sewaktu pulang ke tanahair, Tunku berkata kepada saya, “Kita pergi ke Taiwan untuk melawat dan melihat keadaan umat Islam tetapi kita hanya satu hari sahaja dengan mereka, yang lain telah diatur oleh pihak Taiwan”.

Jangan Lupa Kisah Ini – Anekdot Tiga : Jutawan Cina tidak ikhlas

Ketua Penerangan UMNO Merbok dipecat

Datuk Zubir di tengah
UMNO Merbok nampaknya bergolak teruk. DS Najib baru sahaja menasihat supaya elakkan perbalahan dalaman jika BN ingin menguasai Kedah kembali semasa lawatan kerja beliau baru-baru ini.

Belum pun sempat dakwat kering perbalahan sudah tercetus apabila Ketua Penerangan Bahagian Ybhg Datuk Zubir Saad dipecat dari jawatannya kerana dikatakan melawan tauke.

Kekerapan Datuk Zubir turun padang berjumpa ketua-ketua cawangan dan JKKP dilihat satu ancaman kepada Ketua Bahagian.

Populariti Datuk Zubir ternyata mengatasi populariti Ketua Bahagian kerana Datuk Zubir dikira seorang hartawan yang dermawan tidak lokek untuk menyumbangkan apa-apa sumbangan yang dipohon oleh ketua-ketua cawangan.

Tindakan Ketua Bahagian yang tidak berapa cerdik ini adalah salah satu usaha cantas mencantas seperti apa yang dikatakan oleh Tun Mahathir.

Datuk Zubir adalah mangsa kedua selepas Tuan Syed Osman dicantas sebagai AJK Bahagian kerana terlalu menonjol atas platform Perkasa.

Menurut sumber beberapa lagi individu-individu di dalam barisan UMNO Bahagian akan menerima padah yang sama di dalam usaha memertabatkan Ketua Bahagian sebagai hanya tokoh tunggal yang layak menjadi calun dalam PRU13 yang akan datang.

Nampaknya Merbok tidak berubah walaupun di dalam kalah.