Apabila dibelek-belek kembali buku lampiran usul-usul yang dibentang dalam Mesyuarat Perwakilan yang lepas, sebanyak 215 usul telah dibangkitkan oleh cawangan-cawangan UMNO di dalam Bahagian Merbok.
Usul-usul ini adalah suara-suara kecil di peringkat akar umbi. Mereka menaruh harapan yang besar agar kepimpinan bahagian yang mereka pilih akan bertindak ke atas usul-usul mereka.
Tertera di muka surat pertama perenggan yang ke 3 dari buku usul yang dibentangkan ada menyatakan bahawa ”usul-usul yang dibangkitkan akan disampaikan kepada pihak-pihak yang berkenaan bagai mendapat jawapan/penjelasan” kenyataan ini di tandatangani oleh Setiausaha Bahagian.
Persoalannya sejauh mana usul-usul ini betul-betul ditangani dan diambil tindakan dan yang lebih penting ialah keputusannya. Atau sekadar menulis melepas batuk dan kahak di tangga dalam perjalanan ke tandas.
Ambil sebagai contoh, di antara banyak-banyak usul yang bernas ada satu usul yang menarik iaitu usul no 90 yang dikira serius yang dibangkitkan oleh cawangan Kampung Perak yang berbunyi ”Memohon UMNO Bahagian Merbok melipatgandakan ahli UMNO dan mendaftar dengan SPR agar pilihanraya nanti BN dapat memenanginya”
Apa kah tindakan yang telah UMNO Bahagian ambil di atas usul ini? yang dikira tidak susah untuk dilaksanakan pada bila-bila masa tanpa perbelanjaan jutaan ringgit.
Mungkin UMNO Bahagian lebih sibuk berpolitiking sesama sendiri dan saling mencari kesalahan kawan dan tikan menikan di belakang sehingga suara akar umbi diambil remeh, cincai dan dibakulsampahkan.
Alangkah sedihnya jika pemimpin-pemimpin kecil di akar umbi mengetahui usul mereka disimpan dalam tempayan pengkasam sehingga reput menanti hari pemilihan untuk digoreng makan.