
Pemilik rumah, Siti Aishah Hashim, 48, berkata, mereka sekeluarga tidak mampu untuk membaik pulih dapur berkenaan memandangkan suaminya, Abdul Latif Muhayadin, 53, hanya bekerja menangkul ketam dan mencari siput di sungai berhampiran rumah.
Menurutnya, pendapatan keluarga mereka hanya bergantung kepada hasil tangkapan ketam dan siput yang diusahakan Abdul Latif dan pendapatan anak ketiga mereka, Siti Hajar, 24, yang bekerja di salah sebuah kilang di Bakar Arang.
“Anak sulung dan anak kedua sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Mereka tidak mampu untuk membantu kami membaik pulih dapur ini dan perbelanjaan kami sekeluarga hanya bergantung kepada Siti Hajar dengan pendapatan bulanannya sekitar RM300 hingga RM400 sebulan.
“Rumah yang kami duduki ini adalah hasil daripada permohonan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang telah kami duduki dari tahun 2006 lagi yang mempunyai satu bilik sahaja dan ruang tamu. Namun kami menjadikan rumah asal kami sebagai dapur dan kini ia semakin usang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Siti Aishah berkata, mereka sekeluarga yang hidup dalam serba kekurangan itu juga tidak mempunyai bilik air dan tandas khas dan hanya bergantung kepada bilik air yang berdindingkan dengan atap zink dan pokok ubi sahaja di luar rumah mereka.
Menurutnya, dia berharap agar ada pihak yang sudi membantu mereka menghulurkan sumbangan untuk membaik pulih dapur mereka itu dalam usaha memberikan keselesaan kepada mereka.
Siti Hajar berkata, dia sendiri pernah terjatuh ke bawah rumah akibat daripada terpijak lantai dapur yang semakin reput.
“Jika hujan, kami sekeluarga tidak berani untuk ke dapur bimbang keadaan buruk berlaku memandangkan angin yang kuat ketika hujan kadang kala membuatkan bumbung dapur terbang.
“Gaji yang saya perolehi hanya cukup untuk menampung keperluan belanja harian untuk saya, empat adik, ayah dan ibu sahaja malah kadang kala tidak mencukupi memandangkan saya turut menanggung pembiayaan sekolah tiga adik yang lain,” katanya.
Difahamkan, permohonan Abdul Latif untuk mendapatkan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah dibuat namun sehingga kini masih tiada sebarang jawapan diterima pihak mereka.
Kepada masyarakat yang prihatin dan ingin menyumbangkan bantuan kewangan bagi membantu keluarga ini membaik pulih dapur mereka boleh menghulurkan sumbangan anda melalui nombor akaun Eon Bank atas nama Siti Hajar bernombor 065-20-15170-7 atau hubungi Siti Hajar di talian 017-4522364.
(Sumber : Sinar Harian 7/10/2009)