01 October, 2011

Kuota Bumiputera tidak akan dihapus

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL dan MUHAMAD ZAID ADNAN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyangkal dakwaan portal berita dan blog pro pembangkang bahawa beliau pernah menyebut untuk menghapuskan kuota bumiputera dalam perniagaan.

Sambil menyifatkan portal dan blog itu tidak jelas dengan kenyataan beliau, Perdana Menteri menegaskan, apa yang disebut adalah peringatan kepada peniaga bumiputera supaya lebih berdikari dan sanggup berusaha untuk bersaing dengan orang lain.

''Saya kata, jangan terlalu bersandarkan kepada kuota, peniaga bumiputera mesti lebih berdikari dan sanggup berusaha untuk bersaing dengan orang lain.

''Dalam kata lain, ia akan menjadikan masyarakat bumiputera khususnya peniaga akan lebih dihormati.

''Tapi, saya tidak sebut sama sekali kuota itu akan dimansuhkan," katanya kepada pemberita selepas mepengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini hari ini.

Najib berkata demikian sebagai reaksi kepada dakwaan portal pembangkang Malaysia Insider yang menyebut beliau membuat kenyataan akan menghapuskan kuota bumiputera dalam perniagaan satu hari nanti dalam satu sesi soal jawab pada majlis Forum Khazanah Megatrends 2011, Selasa lalu.

Berhubung isu hudud pula, Najib berkata, Pas sepatutnya berhenti menyalahkan pihak lain terutamanya UMNO sebaliknya meneruskan hasrat perlaksanaan undang-undang hudud itu kerana ia telah lama diperjuangkan.

"Kita nak (mahu) tengok serius atau tidak serius (Pas) dalam isu ini kerana ia bukan perkara baru tapi lama dahulu Pas sudah menyebut untuk melaksanakan undang-undang hudud," tegas beliau.

26 September, 2011

Noman dan Memey sudah kering tidak basah lagi

Maka hari ini Norman dan Memey yang dulu ditangkap basah sudah tidak basah lagi. Setelah diijab kabul sebagai sepasang suami isteri maka sahlah mereka sudah kering.

Keayuan Memey nampaknya menandingi Abbey bekas isteri Norman. Semoga pelayaran bahtera perkahwinan mereka sampai ke akhir hayat.

25 September, 2011

Konvensyen BN Kedah 2011 ceroi macam laksa Telok Kecai

Konvensyen BN Kedah 2011 pada 24 September 2011, tidak ada apa-apa impak kepada usaha menawan Kedah dari Pakatan Rakyat. Ucapan Pengerusi BN, Datuk Ahmad Bashah Abu Hanipah dilihat hanyalah ucapan ritorik kosong dengan bahan ucapan asyik diulang-ulang tanpa fakta atau realiti akar umbi yang sebenar.

Pengurusan pimpinan Kerajaan PAS dan Pakatan Rakyat yang mandom dan lemah tidak di ‘address’ oleh Ahmad Bashah secara bijaksana untuk menjadi bahan kempen kepada pimpinan akar umbi di kalangan UMNO, MCA, Gerakan dan MIC.

Ucapan yang hanya deras di atas pentas sebenarnya sudah lapuk dan primitif. Rakyat ingin melihat kewibawaan pimpinan dari BN sebagai alternatif kepada mereka untuk memilih dari Pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional.

Ini yang gagal dipersembahkan oleh Ahmad Bashah sebagai ‘MB’ bayangan BN Kedah. Komponen BN yang duduk di belakang dewan ada yang ternga-nga mengantuk dan bertepuk hany kerana rakan-rakan yang lain bertepuk.

Ketidak hadiran pemimpin BN tertinggi diperingkat pusat menambahkan lagi “ceroi” nya konvensyen BN Kedah pada hari itu.

Kelembapan penganjur Konvensyen tersebut yang sebenarnya bermula dari peringkat awal lagi apabila perserta terpinga-pinga mencari tempat untuk mendaftar diri yang rupa-rupanya tidak ada pendaftaran. Sesiapa sahaja boleh berjalan lenggang kangkong boleh masuk ke dewan konvensyen tersebut.

Itulah cerminan BN Kedah apabila menjadi pembangkang. Ceroi macam kuah Laksa Teluk Kecai.

08 September, 2011

Mak Cik Rohea di Baling tunggu Azeez balik dari Somalia

BALING - Seorang penduduk Kampung Tanjung Pari, Rohea Mat Saman teringin untuk memiliki kediaman sendiri berikutan keadaan rumah tinggalan arwah ayahnya semakin usang dan mereput.

Rohea yang hanya bekerja kampung itu berkata, terdapat beberapa bahagian di rumah itu tidak dapat digunakan berikutan keadaan lantai yang reput dan membahayakan.

“Kalau saya nak naik ke rumah, saya perlu naik secara perlahan-lahan untuk mengelakkan sebarang kemalangan. Anak saya sendiri pun tidak berani untuk naik ke bahagian atas rumah ini berikutan keadaan lantai yang tidak kukuh.

“Disebabkan itu, bahagian atas rumah ini terpaksa ditopang dengan buluh untuk mengelakkan sebarang kemungkinan. Namun begitu, buluh ini tidak akan bertahan lama. Jadi, saya perlu berhati-hati setiap kali ingin melalui kawasan atas ini,” katanya.

Rohea berkata, dia telah membuat permohonan rumah kepada pihak sewajarnya namun tiada maklum balas diberikan sehingga kini.

“Dah banyak permohonan yang saya buat, namun, tiada hasil yang positif. Kini, saya dan malas untuk minta apa-apa lagi,” katanya yang juga merupakan seorang ibu tunggal.

Menurutnya. ramai yang bersimpati melihat keadaannya, namun dia dia terpaksa meneruskan kehidupannya di rumah pusaka itu.

“Sebelum anak saya saya balik ke rumah ini, saya hanya tinggal seorang diri di sini. Macam-macam dugaan yang saya terima. Saya hampir pernah menjadi mangsa apabila seekor ular tedung selar masuk ke rumah ini.

“Nasib baik ada jiran-jiran, merekalah yang membantu mengeluarkan ular itu. Kalau tidak, tak tahulah apa jadi kepada saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Rohea berkata, keadaan rumahnya yang agak jauh dari jalan besar juga memberikan kesan kepada kepadanya.

“Saya harap, jalan yang menghala ke rumah saya ini diturap ataupun dibesarkan. Ini dapat memastikan kenderaan dapat masuk ke rumah saya. Namun, sekarang hanya sebuah motosikal yang mampu menggunakan jalan ini.

“Saya telah bertanya mengenai status jalan di sini, namun, gagal, kerana ada yang mengatakan jalan di sini mempunyai pemiliknya dan ada yang berkata milik Jabatan Pengaliran dan Saliran. saya jadi buntu dan tidak tahu nak buat apa,” katanya.

Katanya, dia amat berterima kasih sekiranya ada pemimpin setempat yang sudi membantunya untuk mendapatkan kediaman baru ini. (Sumber Sinar Harian)

02 September, 2011

Tau punnn..

Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, ini kerana Somalia yang mengecapi kemerdekaan sejak 1960 masih jauh ketinggalan berbanding Malaysia yang mencapai kemerdekaan tiga tahun sebelumnya.

Jelasnya, ketamakan mengejar kuasa dan jawatan di Somalia juga menyebabkan rakyatnya menderita.

''Dahulu Somalia cukup maju, tetapi kerana tamakkan kuasa, negara ini hancur. Harap ini tidak akan berlaku di Malaysia. Ambil contoh apa yang berlaku di sini," katanya ketika berucap sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-54 di sini semalam.

26 August, 2011

Apa cerita dengan UMNO Bahagian Padang Serai, Kedah?

PADANG SERAI: Ketua Umno Bahagian Padang Serai Abdul Rahman Mahamud telah melepaskan jawatannya itu baru-baru ini selepas dinasihatkan berbuat demikian.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata Abdul Rahman telah melepaskan jawatan itu berikutan nasihat pucuk pimpinan parti atas sebab-sebab kepentingan parti tetapi masih kekal sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Merbau Pulas.

Ahmad Bashah bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai sebab-sebab yang membawa kepada peletakan jawatan itu.

"Inilah satu keindahan pada pentadbiran Umno, tiada penyisihan sepenuhnya terhadap bekas ketua bahagian itu kerana pucuk pimpinan masih menghargai khidmat dan dedikasi beliau terhadap rakyat dan parti selama ini," katanya kepada Bernama selepas majlis Iftar Ramadan dan penyampaian bantuan Aidilfitri anjuran Umno Bahagian Padang Serai di Masjid Sungai Karangan di sini malam Khamis. (sumber mStar)

22 August, 2011

Umur 16 tahun sudah pandai berkhalwat

LANGKAWI: Dua pasangan di bawah umur telah ditahan di sebuah hotel di sini baru-baru ini kerana didakwa berkhalwat.

Pasangan yang berusia 16 tahun di tangkap di dalam bilik sebuah hotel pada jam 03:45 pagi hari Jumaat berdekatan pejabat Jabatan Agama Islam Langkawi.

Pegawai penyiasat Muhammad Hidayat Halim berkata kedua kanak-kanak lelaki masih bersekolah di tingkatan empat di salah sebuah sekolah menengah di sini manakala dua kanak-kanak perempuan tersebut adalah pelajar tercicir.

"Mereka pada mulanya mendakwa menunggu untuk bersahur tetapi kemudian mengakui bahawa mereka telah mengadakan hubungan seks," katanya.
(sumber NST)

21 August, 2011

Kisah rutin menjelang Syawal.

Oleh Muhd Amirul Faiz Ahmad
2011/08/21

KAJANG: “Mak cik terkilan hasrat nak menumpang untuk sepinggan nasi bersama anak seorang pun tidak kesampaian, lebih baik mak cik bawa diri ke sini daripada terus makan hati dengan sikap dia dan menantu,” luah Masitah (bukan nama sebenar) sambil menitiskan air mata yang tidak mampu ditahan.

Warga tua berusia 65 tahun dan berasal dari Taiping, Perak itu berkata sebelum menjadi penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK), dia mengambil upah bekerja di estet getah dan kelapa sawit selama lebih 30 tahun.

Berkat hasil titik peluhnya, dia mampu memiliki seutas rantai emas berharga RM4,000 untuk dijadikan satu-satunya harta miliknya.

“Selama 30 tahun mak cik kumpul sikit demi sikit duit nak membeli rantai itu, tapi anak perempuan mak cik dengan senang mengambilnya daripada mak cik. Bila mak cik tanya dia dan menantu, semua acuh tak acuh dengan menjawab ‘tak tahu’, mak cik tak bodoh, nak.

“Kenapa mereka buat perkara seperti itu, sembilan bulan makcik kandung dia, sebelum ini pun dia ada buat perkara menyinggung hati tapi mak cik maafkan, apa salah makcik,” katanya kepada Berita Minggu, semalam.

Sambil mengesat air matanya, Masitah dengan nada sebak berkata sanggup memaafkan kesalahan anak perempuan tunggalnya itu jika dia datang menjenguknya di RSK, namun anaknya yang tinggal di ibu negara itu tidak pernah menyusun tangan memohon maaf apatah lagi mempelawanya pulang ke rumah.

Ditanya apakah dia mengharapkan anaknya akan datang menjenguk pada Aidilfitri ini, Masitah sambil air matanya bergenang, menjawab ‘mak cik tidak kisah kerana di sini, saya senang dan gembira bersama rakan lain.’

“Kalau dia nak datang, datanglah. Kalau tidak datang pun makcik dah tidak kisah, mak cik hanya fikirkan satu benda saja, iaitu nak mati. Selain itu, mak cik sudah tidak ambil peduli,” katanya.

Masitah yang menjadi penghuni RSK sejak 2008 berkata, anak dan menantunya tidak pernah menghantarnya ke rumah perlindungan terbabit, tetapi dia sendiri meminta untuk menjadi salah seorang penghuni di sini kerana terkilan atas sikap serta layanan anak dan menantunya.

Dia juga menasihatkan masyarakat agar sentiasa menjaga hati ibu dan ayah kerana kasih sayang yang dilimpahkan kepada mereka tiada tolak bandingnya dan tetap kekal sampai ke akhir hayat.

17 August, 2011

Ahli Parlimen Merbok turun padang

MERBOK – “Ia satu kelainan yang tak pernah dibuat oleh orang lain. Saya rasa seronok apabila melihat respons penduduk dan terasa seperti nak anjur lagi masa akan datang,” kata Ahli Parlimen Merbok, Datuk Rashid Din.

Beliau berkata demikian ketika turun padang untuk menyampaikan sumbangan kepada penerima terpilih di kawasan Parlimen Merbok diiringi Angkatan Muda Keadilan Cabang Merbok dan Majlis Ketua Kampung/Komuniti yang dijalankan dalam waktu sahur dengan kerjasama Sinar Harian Utara.

Melihatkan reaksi penerima sumbangan yang jelas gembira dengan kehadiran kami walaupun jam menunjukkan 2 atau 3 pagi, membuatkan skuad Jom Sahur lebih bersemangat walaupun terpaksa mengetuk pintu dalam keadaan gelap dan sunyi.

Destinasi pertama setelah berkumpul di Petronas Bandar Laguna Merbok jam 12.30 tengah malam, kami terus ke Kampung Bukit Acheh, Merbok untuk melawat dua keluarga termasuk dua beranak yang berstatus ibu tunggal iaitu keluarga Aishah Nur, 93, dan anaknya Chahina Ibrahim, 52, serta keluarga Mohd Zahir Abdullah, 41, bersama isteri dan empat anak.

Mohd Zahir berkata, ini merupakan sejarah pertama yang pernah dialami iaitu wakil rakyat turun padang menyampaikan sumbangan dalam waktu sahur.

Kemudian, konvoi meneruskan perjalanan ke rumah pasangan Sariah Senapi, 55, dan Kamaradin Abd Rahman, 57, di Kampung Merbok.

Kamaradin yang bertugas memandikan jenazah mempunyai lapan orang anak bersyukur dengan kehadiran pemimpin dan :Sinar Harian: yang diketuai Pengurus Kanan Operasi Sinar Harian Utara, Rusmin Fadzil selain berhasrat akan mencuba keenakan kurma rangup tajaan Kurma Abdul Ghaffar yang disumbangkan kepada mereka.

Seterusnya konvoi bertemu Zawati Ismail, 47, dan Nazir Abu Bakar, 47, bekerja sebagai penjual ikan di samping melakukan kerja sampingan sebagai mekanik motosikal klasik.

Nazir berkata, kunjungan yang dilakukan jam 2.09 pagi itu adalah sesuatu yang luar biasa namun gembira kerana terpilih dalam program berkenaan.

“Elok juga datang waktu malam dalam bulan puasa sebab waktu siang semua orang sibuk dengan hal masing-masing keluar bekerja dan ke sekolah.

“Kami juga ucapkan terima kasih dengan kehadiran konvoi membawa buah tangan yang cukup bermakna,” katanya.

Konvoi Jom Sahur dan Penyampaian Sumbangan yang mendapat kerjasama daripada Petronas Tok Kangar, AZ-one Marketing dan Kurma Abdul Ghaffar itu seterusnya terus ke destinasi terakhir iaitu melawat seorang tukang urut warga emas yang juga berstatus ibu tunggal menetap seorang diri di Kampung Merbok.

Penerima, Robiah Husin, 81, berkata, kunjungan itu amat bermakna kerana di samping dapat mengenali antara satu sama lain, ia juga boleh dijadikan medan meluahkan masalah penduduk secara langsung.

“Saya kematian suami sejak 25 tahun lalu dan mempunyai seorang anak lelaki yang juga telah meninggal dunia.

:“Kini hanya berkongsi suka-duka bersama menantu, tujuh cucu dan 13 cicit yang datang sesekali menjenguk,” katanya.

Dalam pertemuan sama, Robiah juga memohon kepada Rashid untuk membaik pulih bumbung yang sudah lama bocor.

Konvoi yang ditaja oleh Ahli Parlimen dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Merbok itu turut menikmati sahur di rumah Robiah berlaukkan telur masin, kerang bakar, gulai ikan, papadum, udang masak kunyit dan pekasam goreng yang cukup menyelerakan.

Sebelum bersurai, peserta program sempat merakamkan gambar kenangan di rumah Robiah sebelum beredar jam 4 pagi. (SH)

11 August, 2011

Hari ini perompak dan penyamun sudah tidak kira siapa.

SUNGAI PETANI - Ketua UMNO Bahagian Merbok Datuk Tajul Urus Md. Zain kerugian RM6,000 apabila cermin kenderaan Toyota Harrier miliknya dipecahkan pencuri yang kemudian melarikan beberapa barangan berharga dalam kejadian di luar pagar rumahnya di Lagenda Heights di sini pagi ini.

Selain kerugian akibat cermin kereta yang dipecahkan, beliau turut kehilangan sebuah komputer riba, kamera dan iPad 2 yang diletakkan dalam kenderaan itu.

Tajul Urus memberitahu pemberita di rumahnya hari ini bahawa beliau menyedari kejadian itu pada 7 pagi tadi ketika menemani anaknya yang hendak ke sekolah keluar rumah.

Katanya, beliau telah memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumahnya dan mendapati kejadian kecurian itu dilakukan oleh dua individu yang tidak dikenali pada 6.39 pagi tadi.

"Dua lelaki itu keluar dari sebuah kereta, seorang memakai topi keledar untuk tutup muka dan seorang lagi memakai pakaian serba hitam, oleh itu saya tidak dapat mengecam muka mereka.

"Mereka pecah cermin belakang kereta saya dan cermin sebelah tempat pemandu. Saya percaya kecurian ini didalangi oleh tiga orang semuanya sebab seorang lagi hanya tunggu dalam kereta sebagai pemandu,” katanya.

- Bernama

10 August, 2011

Bukan semua Professor itu cerdik berpolitik

Seorang Professor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Prof Dr Ariffin Omar telah mengambil keputusan untuk menyertai DAP.

Katanya DAP adalah sebuah parti yang berjuang untuk semua kaum. "Saya telah mengkaji sejarah parti itu selama beberapa dekad. Saya percaya masa depan Malaysia adalah selamat dengan pihak seperti DAP" katanya lagi.

Dalam sidang yang sama Setiausaha agung parti, Lim Guan Eng berkata kemasukan Prof Ariffin adalah salah satu kejayaan usaha DAP untuk merekrut lebih ramai Melayu menyertai DAP. Apakah Guan Eng ingin memelayukan DAP?

Nampaknya bukan semua Professor itu cerdik. Ada juga yang bertitlekan Professor gagal dalam berpolitik kerana melihat terlalu ramai orang kampung yang bodoh dan mereka sahaja yang bijak.

02 August, 2011

Tokak menokak dalam UMNO Kedah tidak ada noktah

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

BARU-baru ini dalam satu pertemuan, seorang pemimpin veteran UMNO memberitahu penulis bahawa Kedah merupakan salah sebuah negeri yang Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk merampasnya kembali daripada pembangkang.

Pelbagai kemelut yang melanda pentadbiran kerajaan negeri di bawah Pas kini memungkinkan BN mempunyai harapan untuk meraih kembali sokongan rakyat di negeri Jelapang padi tersebut.

Namun begitu persoalan yang bermain di fikiran banyak pihak termasuk pemimpin veteran tersebut ialah sejauh manakah pemimpin-pemimpin UMNO dan BN di Kedah benar-benar bersedia untuk melunaskan misi berkenaan.

Semua orang Kedah tahu, Pas yang dibantu oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tidaklah sehebat mana di negeri berkenaan.

Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kedah, pada Khamis lalu dikatakan banyak menyuntik semangat dan memberikan isyarat kepada rakyat Kedah bahawa mereka perlu menyokong BN.

Keprihatinan Perdana Menteri yang bersedia meluangkan masa melakukan tinjauan mesra dan meluluskan peruntukan sebagai RM1.12 juta bagi membina sebuah masjid di Taman Wira Mergong, di Alor Setar turut membantu meningkatkan imej BN.

Tetapi soalnya, sejauh manakah UMNO dan BN Kedah di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Bashah Md.Hanipah mampu merebut peluang untuk memastikan sokongan rakyat kembali kepada parti berkenaan.

Ketika berbual-bual dengan seorang pemimpin UMNO Kedah di Kuala Lumpur baru-baru ini, penulis mendapati terlalu banyak kelemahan yang perlu diperbaiki oleh Ahmad Bashah dan pemimpin parti berkenaan jika mereka mahu menegakkan kembali panji-panji BN di negeri itu.

Perkara yang paling ketara ialah sehingga kini biar pun Kedah sudah jatuh ke tangan pembangkang masih belum ada kesedaran di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO untuk berhenti berpolitik sesama mereka.

Sama ada hendak diakui atau tidak berdasarkan maklumat yang diterima oleh penulis, daripada keseluruhan 15 bahagian UMNO di Kedah, 10 daripadanya bermasalah. Ia berpunca daripada politiking sesama sendiri - satu 'penyakit' yang tidak pernah mampu diubati dalam UMNO sejak dulu lagi.

Mungkin akan ada pemimpin UMNO akan menganggap tulisan ini ibarat membuka pekung di dada atau satu rekaan tetapi hakikat tetap hakikat, fakta tetap fakta.

Pemimpin-pemimpin UMNO Kedah perlu insaf bahawa mereka bukan pemerintah di negeri berkenaan tetapi pembangkang, oleh itu sikap dan tindakan serta semangat perlu berteraskan kepada keazaman untuk merampas kembali negeri itu daripada Pas, PKR dan DAP.

''Masalah utama ialah hendak mencari calon, kita kena akui sampai sekarang belum ada calon yang paling sesuai bagi memenuhi apa yang dipanggil 'calon boleh menang' seperti mana dikehendaki oleh Perdana Menteri,'' kata pemimpin UMNO tersebut.

Keadaan menjadi bertambah rumit apabila masalah dalaman di 10 bahagian berkenaan masih juga tidak selesai-selesai, biar pun UMNO sudah jadi pembangkang di Kedah.

Masing-masing masih lagi hendak 'mempromosikan' diri sendiri dan merasakan paling layak untuk menjadi calon, biarpun ada antara mereka yang ditafsirkan, ''umum nama sahaja pun dah kalah.''

Kesudahannya di sesetengah bahagian yang bermasalah ini wujud sekurang-kurangnya enam 'war lord' yang mempunyai pengikut masing-masing iaitu ketua bahagian, timbalan ketua bahagian, naib ketua, ketua Wanita, ketua Pemuda dan ketua Puteri.

Justeru jika salah seorang dipilih sebagai calon belum tentu yang lain akan menyokong sebaliknya akan wujudnya apa yang orang Kedah panggil 'das kaki' atau orang Kelantan kata 'cah keting'.

Walaupun perbalahan ini tidaklah begitu ketara 'di permukaan' tetapi rakyat di kawasan-kawasan terlibat amat memahami kemelut yang berlaku justeru semua itu hanya merugikan UMNO dan BN.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila ada dakwaan bahawa Ahmad Bashah sebagai pengerusi perhubungan UMNO negeri tidak mempunyai cengkaman bagi mengatasi kemelut yang berlaku. Malahan Ahmad Bashah juga dikatakan terlalu bergantung kepada pucuk pimpinan parti untuk melaksanakan sesuatu program.

Ahmad Bashah dan seluruh kepimpinan Kedah perlu menunjukkan kesungguhan untuk merampas negeri itu daripada Pas.

Setakat ini kita memuji kelantangan UMNO Kedah mendedahkan kepincangan pentadbiran Kerajaan Pas tetapi ia belum mencukupi bagi menjana kemenangan, jika di dalam UMNO sendiri masih ada kelemahan yang tidak diperbaiki.

Kita yakin sebagai seorang yang cukup berpengalaman dalam berpolitik, Ahmad Bashah mampu mengendalikan keadaan, apa yang diperlukan daripada beliau ialah keberanian membuat keputusan dan bertindak.

Jika benar pemimpin-pemimpin UMNO dan BN di Kedah mahu menang dalam pilihan raya mereka perlu bersatu padu dan mengukuhkan perpaduan sesama mereka.

Tindakan bertelingkah dalam mesyuarat bahagian adalah sesuatu perbuatan yang memalukan kerana UMNO bukannya pemerintah tetapi pembangkang.

Kalau berada dalam kedudukan pembangkang pun masih belum mahu insaf lagi, apakah pemimpin UMNO Kedah hanya akan sedar apabila parti itu terus ditolak selama-lamanya di negeri berkenaan?

Oleh itu adalah wajar jika pemimpin-pemimpin UMNO Kedah memahami cabaran besar yang ada di hadapan mereka, bersatulah dalam satu barisan dan perkukuhkanlah kedudukan.

Banyakkan program-program untuk memenangi hati rakyat seperti mana diusahakan oleh Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Janganlah pemimpin UMNO Kedah hanya bijak mengatur strategi untuk menjatuhkan lawan politik daripada parti sendiri tetapi beku mindanya dalam menumbangkan pembangkang.

Satu fakta yang harus difahami ialah pembangkang tidaklah sekuat mana di Kedah dan senario 2008 tidak lagi menghantui BN sehingga memungkinkan rakyat akan terus menolak parti itu.

Justeru inilah kesempatan terbaik kepada UMNO Kedah untuk bangkit semula dan ia hanya akan tercapai jika pemimpin-pemimpin parti itu bak kata salah seorang daripada mereka menyingkirkan tindakan'marahkan dua ekor nyamuk, satu kelambu dibakar'.

Apakah maksud tindakan berkenaan? Terserahlah kepada pemimpin-pemimpin UMNO di Kedah memikirkannya, apa yang pasti selagi mereka tidak meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya, bukan kata 'kelambu', bilik tidur pun boleh hangus bersama-sama akibat 'panas bahang' politiking sesama sendiri.

31 July, 2011

"Rakyat Kedah minta BN ambil alih semula Kedah" Datuk Bashah

Keputusan yang sentiasa menghantui mereka yang kalah.
GUAR CHEMPEDAK - UMNO Kedah bertekad untuk memenangi kesemua 15 kerusi Parlimen di Kedah demi membantu Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengekalkan pemerintahan Kerajaan Pusat di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, UMNO dan BN Kedah turut berjanji memenangi sekurang-kurangnya 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah daripada jumlah keseluruhan 36 kerusi bagi membolehkan mereka mengubah nasib rakyat Kedah.

Bagaimanapun, beliau mengakui sasaran parti itu hanya dapat dicapai sekiranya semua pimpinan parti komponen bersatu-padu dan menjadikan keperluan rakyat sebagai salah satu agenda perjuangan utama parti.

“Saya terima banyak maklum balas rakyat yang meminta BN mengambil alih semula pentadbiran Kerajaan Negeri daripada Pakatan Rakyat (PR).

“Justeru, pemimpin BN perlu mengetepikan persengketaan dalam parti dan mula menitikberatkan kepentingan rakyat sekiranya kita mahu memenuhi hasrat rakyat yang mahukan BN ambil alih semula Kedah,” katanya.

Ahmad Bashah berkata, pemimpin BN juga perlu mengikis sikap ‘hanya turun padang bila PRU menjelang tiba’ dan wajib mendekati rakyat sepanjang masa bagi membolehkan mereka merasai ‘sentuhan peribadi’ yang ditunjukkan pemimpin parti itu.

“Sekiranya sikap sebegini diambil remeh, bagaimana rakyat hendak meletakkan kepercayaan kepada kita untuk menjaga kepentingan mereka?

“Selain itu, pemimpin yang tidak terpilih menjadi wakil rakyat nanti perlu sentiasa menyokong pemimpin yang dipilih. Utamakan kepentingan parti dan saya yakin rakyat akan semakin yakin dengan keupayaan kita,” katanya.

Ahmad Bashah turut meminta rakyat Kedah menilai kembali dan membuat keputusan yang tepat pada pilihan raya akan datang.

“Perubahan yang dibuat perlu bermakna dan saya minta rakyat Kedah buat pilihan yang terbaik demi pembangunan negeri ini,” katanya.

20 July, 2011

Merbok telah kenal pasti 8 calun "winnable candidate" untuk PRU13

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyatakan proses simulasi pilihan raya atau pilihanraya olok-olok telah berjalan lancar di semua bahagian Umno berjalan.

Pilihanraya olok-olok ini melalui proses di mana bahagian-bahagian telah memilih, mengenal pasti nama-nama pengundi, nama-nama calon dan jawatankuasa pilihan raya.

Hasil dari pilhanraya olok-olok itu Merbok telah mengenal pasti 8 budak hitam yang berkalibar menjadi “winnable candidate”.

Kelapan-lapan budak hitam ini telah mula berjalan berkempen di kalangan ahli UMNO bahawa mereka memang layak dan berkelulusan peringkat tinggi dan mempunyai banyak wang untuk menjadi calun.

Sama-sama lah kita tunggu budak-budak hitam ini sampai ke rumah kita untuk masuk bakul angkat sendiri.

17 July, 2011

PAS kena 'bully' dengan DAP. Apa sudah jadi?

KUALA LUMPUR 16 Julai - Pas yang diserang DAP berhubung keputusan kerajaan negeri Kedah melarang operasi terhadap 13 jenis pusat hiburan sepanjang Ramadan nanti, menegur sikap sekutunya itu terutama Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, sepatutnya selaku pemimpin tertinggi DAP, Karpal tidak boleh mudah melatah dan menggunakan saluran media bagi mencari penyelesaian dalam isu-isu sensitif terutama, jika ia melibatkan agama.

"Karpal tidak seharusnya terikut-ikut dengan rentak kepimpinan bawahan DAP yang gemar menggunakan media secara terbuka dalam mencari jalan penyelesaian terhadap pelbagai isu sensitif, membabitkan orang Islam dan bukan Islam.

"Tindakan sebegini hanya mengeruhkan suasana. Sepatutnya Karpal mendapatkan penjelasan daripada pucuk pimpinan Pas terlebih dahulu, sebagaimana kami lakukan jika ia membabitkan isu di bawah kepimpinan DAP," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kata dua dibuat Karpal semalam supaya Pas khususnya kerajaan negeri Kedah menarik balik larangan operasi pusat hiburan yang dikeluarkan kerajaan negeri itu mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997.

Dalam pada itu, Mustafa menyangkal tuduhan pelbagai pihak kononnya kerajaan negeri Kedah di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, membelakangkan kepimpinan Pas Pusat ketika memutuskan larangan tersebut.

Katanya, kepimpinan Pas pusat tidak semestinya sepanjang masa mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri, apatah lagi jika keputusan larangan tersebut dibuat berdasarkan kuasa prerogatif (hak istimewa) kerajaan negeri Kedah itu sendiri.(sumber UM)

15 July, 2011

Ingat! Bulan Ramadan bukan bulan bergencok, beronggeng atau beryakyeh di Kedah

ALOR SETAR - Penguatkuasaan peraturan dan undang-undang pusat hiburan yang dilaksanakan sepanjang Ramadan di Kedah adalah tertakluk pada enakmen 1997, dan bukannya polisi baru yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR).

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, ia juga di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri, kerana arahan itu diperkenankan oleh Sultan Kedah, selaku Ketua Agama Islam dan dikuatkuasakan melalui Majlis Agama Islam Negeri Kedah.

“Arahan itu kemudian dikuatkuasakan ke pejabat-pejabat daerah seluruh negeri. Kerajaan Negeri sebagai pentadbir hanya melaksana undang-undang sedia ada, dan mahu ia dikuatkuasakan semula tahun ini, kerana sebelum ini ia seolah terlepas pandang oleh pihak tertentu,” katanya, ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, semalam.

Azizan berkata, enakmen itu terpakai sejak Barisan Nasional (BN) mentadbir Kedah, cuma tidak dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Dari dahulu lagi dalam bulan Ramadan, tidak ada aktiviti hiburan. Malah diadakan beberapa peraturan untuk bukan Islam mematuhinya. Saya mahupun Kerajaan Negeri tidak boleh campur tangan dalam hal itu sebab ia bawah bidang kuasa Sultan Kedah,” katanya.

Menurutnya, bandar Alor Setar sebelum ini dianggap sebagai Bandar Diraja, dan tidak dibenarkan sebarang aktiviti hiburan berlangsung pada Ramadan sebagai menghormati kemuliaan bulan itu.

“Majlis Agama Islam Negeri Kedah sudah membuat teguran dan pegawai-pegawai daerah bermesyuarat dan memutuskan untuk melaksanakan semula apa yang termaktub dalam enakmen 1997,” katanya.

Azizan tidak menolak kemungkinan peraturan itu menimbulkan kekeliruan banyak pihak, dan pihaknya telah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membuat kajian semula berhubung skop hiburan.

“Mesyuarat Exco Mei lalu, telah bersetuju meluluskan cadangan daripada pegawai daerah mengenai penutupan pusat hiburan di Kedah sepanjang Ramadan. Semua pegawai pelesenan daerah diarahkan menguatkuasakan peraturan itu dengan kerjasama PBT dan polis,” katanya.

Namun, katanya, terdapat pengecualian untuk pertunjukan berkaitan keagamaan dan kepercayaan sesuatu kaum dengan syarat tidak menimbulkan kekacauan, selain mendapat sokongan daripada pegawai pelesenan.

“Permohonan itu pula perlu dikemukakan pada Kerajaan Negeri untuk dipertimbangkan. Contohnya bulan Ogos kaum Cina mahu meraikan Perayaan Bulan Hantu, jadi mereka perlu mohon secara bertulis untuk pertimbangan,” katanya.

Azizan berkata, kategori hiburan yang tidak boleh beroperasi sepanjang Ramadan ialah lesen untuk pertunjukan pancaragam, persembahan nyanyian di hotel, restoran dan bar, warung kopi, karaoke dan disko.

“Pusat snuker dan kafe siber pula kita mungkin semak semula kerana ia bukan bentuk hiburan tetapi diletakkan bawah kategori hiburan. Minta PBT perjelaskan secara terperinci apakah yang dimaksudkan dengan hiburan,” katanya.

Kelmarin, beberapa pengusaha pusat hiburan Cina tidak berpuas hati dengan tindakan Kerajaan Negeri tidak membenarkan lesen hiburan diperbaharui sepanjang Ramadan, dan mahukan penjelasan kerana mendakwa menanggung kerugian jika premis terpaksa ditutup selama sebulan. (sumber -SH)

Awas! Lendir putih dalam minuman berjenama

SEDIM – Penduduk, Jaafar Sidik yang tinggal di Kampung Sedim kecewa dengan sebuah syarikat pengeluaran minuman kerana didakwa tidak bertanggungjawab terhadap barangan dijual di pasaran.

Menurutnya, bulan lalu ketika berada di Perlis, dia berkunjung ke sebuah kedai runcit dan kemudiannya menegur pemilik kedai bahawa terdapat lendir dan selaput putih dalam minuman itu.

Dari pemeriksaan dibuat, minuman itu masih belum dibuka manakala sebotol minuman jenama sama diisi dengan kuantiti air yang kurang.

:Dia dan pemilik kedai kemudiannya meminta penjelasan dari pembekal, tetapi pihak itu hanya mahu menggantikan minuman itu dengan botol yang lain tanpa memikirkan implikasi akan dihadapi pengguna.

“Pengusaha kedai runcit itu kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Padang Besar pada 9 Jun lalu.

“Dari label yang terlekat pada minuman itu, tarikh luputnya adalah September 2011. Kelemahan syarikat minuman ini memasarkan produk minumannya ke pasaran seperti ini tidak seharusnya berlaku,” katanya.

Pengerusi Persatuan Pengguna Parlimen Kulim Bandar Baharu, Mohd Zailan Hashim berkata, masalah itu seharusnya dimaklumkan kepada Tribunal Pengguna supaya tindakan undang-undang dapat diambil.

Katanya, banyak kecuaian berpunca dari pengusaha mendatang masalah kepada pengguna.

“Pengguna perlu tahu hak dan undang-undang yang boleh melindungi mereka. Kita harus bersikap positif untuk memastikan kecuaian seumpama ini tidak berulang.

“Pengguna harus berani tampil ke hadapan untuk membuat laporan terhadap masalah yang boleh mendatangkan kerugian kepada pengguna,” katanya.(sumber SH)

08 July, 2011

Jangan pakai sensual whitening cream kalau tak mau anak dalam kandungan cacat

KUALA LUMPUR 8 Julai – Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli atau menggunakan “Sensual Whitening Cream” berikutan pengesanan racun berjadual dalam produk penjagaan kulit itu.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi kementerian berkenaan, Datuk Eisah A. Rahman berkata, produk tersebut dikesan mengandungi bahan logam berat merkuri yang dilarang dalam produk kosmetik yang boleh mendatangkan mudarat kepada pengguna.

"Syarikat Sensere Marketing Sdn Bhd, yang mengeluarkan produk itu diarah menghentikan penjualan dan pembekalan produk itu dengan serta merta dan menarik balik semua stok dalam pasaran dalam tempoh 72 jam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Eisah berkata, pengguna produk itu boleh menyebabkan ruam dan rasa gatal pada bahagian kulit dan pada masa sama boleh merosakkan otak, sistem saraf dan buah pinggang.

Beliau juga berkata, wanita mengandung yang menggunakan produk itu mungkin tidak mengalami simptom keracunan raksa (merkuri), tetapi boleh menyebabkan keracunan teruk kepada fetus mengakibatkan kerosakan otak dan kecacatan kepada bayi dalam kandungan. – Bernama

03 July, 2011

Salleh Yaakob, sama rata - sama rasa.

Pelawak Salih Yaccob akan muncul dengan program terbarunya, Salih Yaccob Show, I Follow. tag line 'I Follow' yang diambil daripada slot Sinar Pagi dalam Sinar FM.

Salih Yaccob Show, I Follow dijangka dapat menarik rating yang tinggi kerana peminat-peminat Sinar Pagi juga akan follow Salleh Yaakob sehingga ke program TVnya.

Apapun ramai juga lelaki yang akan follow Salleh Yaakob mengikuti petua-petua pengurusan empat isteri.

Sedap mata memandang sedap lagi bahu yang memikul. Bukan senang untuk berlaku adil supaya sama rata sama rasa.

24 June, 2011

Siapa YB yang turun melawat kawasan?

KAMPUNG BUJANG – Tindakan seorang lelaki yang sedang mengait buah manggis di rumahnya tidak berkesudahan apabila tersilap langkah ketika terpijak dahan reput menyebabkan dia terjatuh sehingga menemui ajal.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.00 pagi semalam apabila Khalid Shaari, 58, dari Kampung Bujang memanjat pokok manggis dan tidak menyedari terdapat dahan reput menyebabkan dia jatuh bersama dahan terbabit.

Anak kedua mangsa, Nor Nadirah Khalid, 19, berkata, dia hanya mengetahui kejadian berkenaan setelah dimaklumkan keluarga semasa sedang bekerja di Sungai Petani.

“Sebelum kejadian, ayah ada mengajak emak untuk keluar beli ayam, tetapi ditolak menyebabkannya dia keluar sendirian.

“Tiada sebarang kejadian pelik berlaku sehingga dia balik, tetapi sebelum memanjat pokok berkenaan, arwah ada menjelaskan dia mahu minum air dan terus pergi,” katanya.

Menurutnya, maksud arwah mahu terus pergi menjelaskan dia mahu terus panjat pokok manggis selepas minum air, namun kata-kata itu adalah petanda bahawa ayahnya akan pergi buat selama-lamanya.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian mendapati, galah dan bakul milik mangsa yang digunakan untuk mengait manggis masih terdapat di atas pokok berkenaan.

Difahamkan, hasil perkongsian hidup arwah dengan isteri, Siti Zainab Bakar, 43, dikurniakan lima anak berusia antara lapan hingga 22 tahun. (sinar)