15 December, 2010

Lantik Mukhriz, DS Najib akan dimalukan

Dipetik dari Utusan Malaysia 15/12/2010

Kepimpinan UMNO Kedah perlu nafas baru pastikan BN kembali berkuasa
Oleh Zulkiflee Bakar

APABILA Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir menyatakan kesediaannya untuk memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, maka ramailah pemimpin di negeri itu yang gundah-gulana.


Malahan awal-awal lagi, salah seorang pemimpin yang memegang jawatan di peringkat UMNO negeri menyatakan anak kepada bekas Perdana Menteri itu tidak layak menyandang jawatan tersebut.

Di kalangan ketua-ketua bahagian pula berpendapat hanya kelompok mereka sahaja yang layak. Inilah penyakit lama yang masih melumuri UMNO, ketika Barisan Nasional (BN) amat memerlukan satu pasukan yang mantap bagi merampas kembali Kedah daripada Pas.

Kelompok yang semakin melihat kehadiran pemimpin muda seperti Mukhriz boleh mengugat kedudukan politik mereka mula mengeluarkan hujah-hujah dangkal termasuklah Mukhriz kurang pengetahuan mengenai politik Kedah dan tidak menjadi ketua bahagian.

Persoalannya, apakah ketua-ketua bahagian di Kedah itu hebat-hebat belaka dan mampu menjamin kemenangan BN dalam pilihan raya umum akan datang?

Sepatutnya, mereka perlu menerima hakikat bahawa majoriti rakyat Kedah bukannya tidak mahu menyokong UMNO atau BN tetapi mereka merasakan sudah tiba masanya muka baru diberi peluang.

Kegagalan BN dan UMNO Kedah mempertahankan kuasa di negeri berkenaan sepatutnya menyedarkan pemimpin-pemimpin lama bahawa mereka perlu bertanggungjawab dan perubahan kepimpinan perlu dilaksanakan.

Seharusnya dalam keadaan sekarang mereka mengatur segala strategi terutamanya mendengar pandangan rakyat siapa yang mereka mahukan demi memastikan BN kembali berkuasa.

Dalam soal ini, turut harus diambil perkiraan ialah bersikap terbuka untuk menerima siapa sahaja yang bakal dilantik Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah.

Jika pucuk pimpinan parti menetapkan Mukhriz yang paling layak bagi memberikan nafas baru kepada BN Kedah maka terimalah keputusan itu.

Hanya kerana Mukhriz orang muda dan tidak memegang jawatan dalam bahagian ini tidak bermakna beliau tidak akan berupaya mengembalikan kegemilangan UMNO Kedah.

Dari segi perjalanan politik, Mukhriz dilihat pemimpin yang disenangi oleh golongan tua dan muda di Kedah.

Penulis diberitahu, ke mana sahaja beliau pergi, rakyat Kedah tanpa mengira fahaman politik menyambutnya dengan mesra.

Dengan elemen ini dan ditambah pula sokongan padu semua pihak dalam UMNO Kedah sudah pastilah tugas sebagai Pengerusi Perhubungan akan lebih mudah untuk beliau, bukannya awal-awal lagi diberi amaran bahawa akan berlaku unsur sabotaj kepada kepimpinannya.

Dalam perbualan penulis secara rambang dengan ramai rakyat Kedah, semua berpendapat Mukhriz paling layak kerana UMNO Kedah perlu nafas baru melalui kepimpinan orang muda.

Sementara kita tidak menafikan sumbangan besar pemimpin-pemimpin UMNO yang sedia ada di Kedah tetapi dalam masa yang sama kita juga perlu menerima hakikat bahawa UMNO Kedah memerlukan perubahan kepimpinan.

Jika pemimpin-pemimpin berkenaan benar-benar sayangkan parti dan ingin memastikan kerajaan Pas Kedah ditumbangkan, maka mereka perlu bersatu hati menyokong siapa juga yang dipilih sebagai pemimpin.

Justeru adalah diharapkan pucuk pimpinan parti akan membuat keputusan sebaik-baiknya dalam soal ini. Apa yang berlaku kepada UMNO Kelantan sepatutnya menjadi pengajaran berguna kepada UMNO Kedah.

Ini kerana sehingga ke hari ini, biarpun Pas Kelantan semakin lemah namun UMNO masih belum berupaya merampasnya kembali. Segalanya disebabkan rakyat tidak berkenan kepada pemimpin-pemimpin UMNO tertentu.

Senario ini perlu diakui sudah turut meresap ke dalam UMNO Kedah.

Di kalangan orang Kedah termasuklah ahli parti di peringkat akar umbi, mereka berpendapat, kalaulah pemimpin-pemimpin tertentu masih dipilih dan dikekalkan bagi menerajui Kedah maka selagi itulah panji-panji UMNO tidak akan berupaya ditegakkan kembali di negeri jelapang padi berkenaan.

Oleh itu kepada semua pemimpin UMNO ingatlah pesanan berkali-kali yang disampaikan oleh Najib iaitu apa yang paling penting ialah kejayaan parti dan UMNO mahu memastikan hanya pemimpin yang diterima oleh rakyat sahaja bertanding.

Terimalah hakikat bahawa era hanya ketua bahagian atau mereka yang memegang jawatan dalam bahagian sahaja layak bertanding dalam pilihan raya atau memegang jawatan di peringkat negeri sudah berakhir.

Jika masih ada lagi pemimpin-pemimpin yang memegang sedemikian maka fahamlah kita kenapa UMNO Kedah kalah dalam pilihan raya umum lalu.

Apa pun terserahlah kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan tetapi apa yang pasti peluang BN untuk kembali berkuasa di Kedah tetap cerah asalkan 'orang Kedah tidak dihidangkan masakan oleh jurumasak yang sama' sehingga memungkinkan mereka 'cemuih' dan menolak BN dalam pilihan raya akan datang.


KOMEN :
Jika DS Najib bertegas meletakKan pemimpin lama yang terdiri dari kalangan Ketua-Ketua UMNO Bahagian sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah, ini bermaknanya dalam PRU13 nanti menang belum tentu tetapi kalah sudah tetap.

Ini kerana yang menang sebagai Ketua Bahagian pun bukannya majoritI besar sangat tetapi meraknya melebihi Pak Menteri-Pak Menteri.

Jika DS Najib melantik juga Datuk Mukhriz yang jelas bercanggah arah dan membelakangi kemahuan Ketua-Ketua UMNO Bahagian di Kedah, risikonya ialah mereka akan melakukan sabotaj yang melampau bagi membuktikan keputusan DS Najib itu memang salah kerana tidak tunduk kepada kemahuan mereka.

Secara tidak langsung mereka akan memalukan Presiden parti DS Najib kerana prinsip amalan mereka “tidak dapat kepala telinga kami pulas”. Di hadapan DS Najib mereka bodek naik asap, di belakang mereka kutuk naik hangit.

3 comments:

  1. yang syok sendiri hanya ketua2 bahagian dan pengikut2 yang memgharapkan habuan dari kedudukan ketua mereka.
    semalam aku telepon dengan keluarga aku dipadang terap yang tok det jadi ketua bahagian.
    keluarga aku ni ketua wanita cawangan...
    dia kata pihak ahli2 di akar umbi tak kisah sangat siapa yang dipilih.
    mereka bolih terima dan sanggup bekerja keras untuk kemenangan umno dalam PRU13 nanti.
    selama ini pun yang benar2 berkerja adalah ahli peringkat akar umbi.
    yang jadi penyangak ni orang2 yang berdampingan dengan ketua2 bahagian dok mengharapkan projek dan peluang buat duit.
    mereka inilah yang dok buat honar burukan orang itu orang ini kerana mahukan imbuhan.
    kata ahli keluarga aku...pihak cawangan tak ada masaalah dengan tok det,kerana tok det ketua bahagia mereka..ahli2 dibahagian lain tak semestinya suka tok det.
    masaalahnya bila dah ada ramai ketua bahagian yang nak merebut jawatan pengerusi perhubungan negeri maka macam2 hal terjadi.
    pakat dok buka keburukan sama sendiri...
    yang dok buat kerenah ni cuma beberapa ekor ketua bahagian saja..
    sebaik2nya najib lantik datuk mukhriz..
    ketua bahagian pula mesti buat kerja diperingkat bahagian masing2 untuk menarik rakyat kembali kepada perjuangan umno.
    kalau dibahagian masing2 pun mereka hanya takat bolih bernafas saja macamana nak kawal satu negeri(ada umno bahagian yang lemas terus,cuma tak mampos jer sebab dibantu dengan alat pernafasan).
    salah satunya bahagian kubang pasu..
    kawasan paling selamat bagi umno pun bolih jatuh ketangan orang..
    pejuang apa namanya tu..
    malangnya bahagian kubang pasu kerana ahli2 umno bahagian tersebut menyimpan beberapa ekor hantu raya yang suka makan tuan sendiri.

    ReplyDelete
  2. wan
    kENA PAKAI' BOMOH DARI SIAM' UNTUK HALAU HANTU RAYA YANG MAKAN TUAN TERUTAMA DI KUBANG PASU.
    TAKUT-TAKUT HANTU NRAYA ITU MAKAN DARAH TUN DAHULU.GANTIKAN DENGAN KETUA BAHAGIAN YANG TAAT KEPADA TUAN 'JIN ISLAM'

    ReplyDelete
  3. Macam mana dengan Bahagian di mana Tun Daim Zainuddin TAK PERNAH kalah ? Bukan saja tak kalah tapi menang dgn majoriti berbelas ribu pula tu ! TS Zainuddin Maidin pun boleh menang dengan mudah. Jadi kalau kalah di bahagian ini maknanya calun tu amat 'koman' sekali dan memang tak patut bertanding sekali lagi. DS Najib jangan pilih calun kitar-semula sebab pengundi dah tak mau mereka ini lagi. Ramai lagi yang boleh ganti. Timbalan ada. Naib pun mau juga. Ketua Penerangan tak kurang hebat orangnya. AJK Bahagian / Ketua Cawangan pun dah tunjuk geli. Hai, tak dak kerja lain ; dok asyik nak jadi calon. kerja tak seberapa pun. Macam mana Ketua Pemuda dan Wanita dan Puteri , tak syok sama ke ? Awat kami di bawah ni tak reti baca air muka ke ? Orang baru balik Mekah pun dah pandai baca mainan orang-orang yang kena penyakit geli. Wahai Pak Najib, tanya orang dibawah sama. Jangan dok tanya depa ketua-ketua bah saja.

    ReplyDelete

(Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.