29 September, 2013

JANGAN SEKAT CALUN BARU PERKENAL DIRI

JERLUN 28 Sept. - UMNO Kedah mencadangkan supaya calon- calon di semua peringkat dalam pemilihan parti itu bulan depan diberi peluang dan ruang berjumpa serta memperkenalkan diri dengan perwakilan kerana tidak semua daripada mereka dikenali.

Pengerusinya, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, terdapat rungutan dan aduan daripada calon-calon mengenai tataetika pemilihan parti kali ini yang dilihat agak mengongkong serta menyekat pergerakan mereka untuk memperkenalkan diri.

Kata beliau, pihaknya memahami tataetika itu bertujuan memastikan tiada sebarang perkara yang boleh memudaratkan parti tersebut tetapi pada masa sama sangat penting untuk setiap calon diberi peluang bertemu perwakilan dan memperkenalkan diri.

"Tidak semua daripada mereka mendapat faedah daripada liputan media yang meluas. Ramai dalam kalangan calon tidak dikenali.

"Calon-calon baharu ini tampil ke depan kerana ada sesuatu yang hendak disumbangkan kepada parti, mereka juga ada kelebihan tertentu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas peringkat negeri di Alor Biak, di sini hari ini.

Mukhriz berkata, beliau bimbang dengan tataetika pemilihan UMNO yang dikeluarkan baru-baru ini boleh memberi kekangan di peringkat badan perhubungan negeri untuk mengatur lebih banyak program atau majlis perjumpaan calon dengan perwakilan.

Berikutan itu, pihaknya berharap urusetia dan pengurusan UMNO mempertimbangkan agar calon-calon dibenarkan berjumpa perwakilan dengan syarat mereka memaklumkan kepada pejabat perhubungan UMNO negeri bagi memantau perjalanan majlis supaya tidak berlaku perkara yang melanggar tataetika pemilihan.

"Kelonggaran itu memberi ruang dan peluang kepada semua calon bergerak dan berjumpa dengan perwakilan tanpa rasa bimbang dikenakan tindakan disiplin atau digugur kelayakan bertanding selain dapat membantu perwakilan menilai sendiri semua calon," ujar beliau. (Utusan)

26 September, 2013

JENAZAH USTAZ AZIZAN SELAMAT DIKEBUMIKAN

TUN MAHATHIR DAN MUKHRIZ TURUT SERTA
ALOR SETAR: Jenazah bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang meninggal dunia pada Khamis selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Muasassah Darul Ulum, Pokok Sena dekat sini kira-kira 5.30 petang.

Jenazah Azizan yang dibawa dari Masjid Nurul Ihsan, Jalan Langgar dekat sini tiba di tanah perkuburan itu pada pukul 4.50.

Antara yang hadir mengiringi jenazah di tanah perkuburan itu ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Azizan, 69, yang menjadi Menteri Besar Kedah sejak Mac 2008 hingga Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Mei lalu, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di sini pukul 11.05 pagi Khamis akibat jangkitan kuman dan kegagalan organ dalaman yang pelbagai, selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.

Bekas Pesuruhjaya PAS Kedah itu meninggalkan dua orang isteri, 14 anak dan enam cucu.

Pada PRU-13, Azizan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Limau yang dimenanginya sejak 1995 dengan menewaskan sepupu beliau Fazillah Mohd Ali yang mewakili Barisan Nasional (BN), dengan majoriti 2,774 undi. - BERNAMA

25 September, 2013

UMNO PERLU AGAMAWAN - MUKHRIZ

SHAH ALAM - Berbekalkan faktor usia paling muda di antara mereka yang ingin bertanding dan mempertahankan jawatan naib presiden Umno, Datuk Mukhriz Mahathir dilihat ada kelebihan.
Ditambah pula dengan objektif beliau menawarkan diri untuk membawa perubahan dan mahu memberikan nafas baru dalam Umno yang semakin matang dengan usianya lebih 60 tahun.

Namun menurut pemimpin berusia 49 tahun ini, hasrat untuk meremajakan Umno ini bukan boleh dibuat secara semberono dengan menarik seramai mungkin golongan muda untuk menyertai parti itu, tetapi harus diikuti dengan kualiti.

"... akhirnya orang akan lihat parti ini dan siapa yang menganggotai parti ini.

"Anak muda kita sekarang ini macam-macam. Ada yang liberal, ada yang konservatif. Macam-macam...

"Saya terbayangkan apa jenis orang muda yang kita ingin tarik ini?," katanya dalam program Bicara Bersama Pemimpin, "Impak Krisis Timur Tengah Kepada Malaysia", di Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Mukhriz yang memutuskan untuk bertanding jawatan naib presiden pada pemilihan Umno bulan hadapan sebelum ini menegaskan, beliau masuk gelanggang dengan misi peribadi untuk memulihkan imej parti daripada perang persepsi yang dibawa oleh pembangkang.

Malah katanya, tawarannya itu juga sebagai menyahut seruan untuk membawa pembaharuan dalam Umno.

Mengulas lanjut soal memantapkan Umno itu sendiri dengan mencari pelapis parti masa hadapan, pemimpin muda ini begitu menekankan soal keupayaan parti itu sendiri untuk membawa impak baik kepada generasi muda negara.    

"Saya ingat menjadi peranan kita dalam parti parti politik, kita bertanggungjawab ke atas pemikiran orang-orang muda ini. Sudah tentu kita hendak tarik orang yang sehati sejiwa dengan perjuangan kita.

"Tetapi kalau pun ada orang yang fikirannya langsung bertentangan, menjadi tanggungjawab kita untuk doktrin mereka. Dalam parti politik mesti ada indoktrinasi," katanya.

21 September, 2013