KUALA LUMPUR: Penyanyi lagu Sedetik Lebih, Anuar Zain berharap pengumuman kemenangannya melalui lagu Sedetik Lebih ciptaan Edry Abdul Halim tidak menimbulkan sebarang pertikaian selepas anugerah Lagu Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 18 (AIM18) pada awalnya diserahkan kepada lagu Penakut ciptaan Yunalis Zarai atau Yuna.
Kata Anuar, dia tidak mahu dengan pembetulan ini akan menimbulkan fikiran negatif terhadapnya atas kemenangan Yuna pada malam AIM 18 pada 12 November lalu.
"Ini merupakan satu kesilapan yang menjadi sejarah dalam industri hiburan tanah air, secara jujurnya ketika menerima berita ini, saya agak terkejut.
"Saya tidak mahu orang luar menganggap kami telah mempertikaikan kemenangan Yuna untuk kategori tersebut, sedangkan saya sendiri menerima keputusan lagu 'Penakut' sebagai Lagu Terbaik pada malam itu dengan hati yang terbuka," katanya pada sidang media pembetulan bagi anugerah Lagu Terbaik AIM 18, di sini, Khamis.
AIM 18 yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil dianjurkan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).
Pada malam tersebut, lagu Sedetik Lebih telah memenangi kategori Lagu Pop Terbaik dan Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Lelaki).
Kata Anuar, dia menganggap perkara tersebut sebagai kesilapan besar yang sememangnya boleh menjejaskan kredibiliti seseorang artis yang tidak bersalah.
"Jika diikutkan saya, berat untuk terima anugerah ini dan tidak mahu datang untuk berdepan dengan Yuna menerima trofi kemenangan tersebut.
"Kadang kala saya rasa anugerah tersebut tidak perlu untuk dipulangkan dan perkara ini lebih baik dibiarkan diam sahaja," katanya lagi.
Bagaimanapun, katanya dia menerima penghargaan tersebut dengan berfikiran positif agar dapat membantu industri seni pada masa akan datang.
"Saya hormat Yuna lebih kerana dia sanggup datang untuk majlis pemulangan anugerah ini dengan hati yang terbuka dan positif.
"Saya juga berharap tidak berlaku lagi kejadian sebegini yang boleh mengakibatkan kredibiliti AIM dan RIM dipertikaikan," katanya.
(mStar online)
No comments:
Post a Comment
(Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.