27 May, 2011

Rashid Din, Ahli Parlimen Merbok tak peduli rakyat penjaja tepi jalan walaupun berlaku di hadapan rumahnya

Gerai-gerai sedang diroboh Pic : Panggongopera.blogspot
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri disaran menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membincangkan isu peniaga tepi jalan yang berleluasa di seluruh Kedah selain meneliti proses ke arah pemutihan masalah itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, S Manikumar berkata, penubuhan jawatankuasa khas itu penting kerana isu peniaga tepi jalan tidak pernah dibincangkan secara terperinci di setiap mesyuarat pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah, sedangkan terdapat pelbagai aduan dan tindakan penguatkuasaan dijalankan ke atas mereka.

:Menurutnya, keperluan Kerajaan Negeri untuk meneliti permasalahan peniaga tepi jalan penting memandangkan kegagalan menangani isu tersebut dengan bijak akan menyebabkan nama baik Kerajaan Negeri terjejas walaupun sebarang tindakan dilakukan berlandaskan peraturan.

“Sebagaimana masalah penjaja yang berniaga di atas rizab jalan di kawasan saya (Bukit Selambau) baru-baru ini, saya mengakui mereka berniaga tanpa mematuhi semua peraturan perniagaan sebagaimana disyaratkan PBT, bagaimanapun tindakan penguatkuasaan terhadap mereka akan menyebabkan kehilangan sumber pendapatan kerana sudah lama bertapak di sesuatu tempat.

“Sekiranya tindakan penguatkuasaan awal diambil terhadap mereka, peniaga terbabit kemungkinan tidak berniaga di situ. Bagaimanapun, setelah tindakan tidak diambil dalam tempoh masa lama, peniaga terbabit sudah bergantung pendapatan dengan berniaga di tempat itu.

“Justeru, penelitian sewajarnya isu ini perlu dilakukan terhadap kedua-dua pihak memandangkan ada pro dan kontra dalam soal kewajaran tindakan penguatkuasaan PBT diambil ke atas mereka,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian.

Manikumar berkata, satu proses pengumpulan data peniaga tepi jalan perlu dilakukan PBT setiap daerah untuk memastikan jumlah peniaga dan lokasi perniagaan mereka dikenal pasti bagi membolehkan urusan ‘pemutihan’ peniaga terbabit dapat dijalankan.

“Urusan ‘pemutihan’ yang dimaksudkan bukan membasmi peniaga-peniaga terbabit, sebaliknya Kerajaan Negeri menggunakan kesempatan ini untuk membantu mereka dengan menyediakan prasarana dan tapak berniaga baru yang lebih selamat dan terjamin.

“Di pihak Kerajaan Negeri, isu peniaga tepi jalan ini perlu diletakkan di bawah satu komponen khas untuk memantau dan meneliti permasalahan dialami kedua-dua pihak iaitu peniaga dan PBT bagi mengelakkan masalah berbangkit timbul di kemudian hari,” katanya.

Manikumar menegaskan cadangan yang dikemukakannya bukan untuk menghalalkan tindakan peniaga tepi jalan yang kebanyakannya berniaga tidak memenuhi syarat diperlukan, sebaliknya bertujuan memberi perlindungan kepada mereka.

“Dari sudut penguatkuasaan, sememangnya tindakan mereka salah. Tetapi kita perlu akui kegagalan kita melaksanakan tindakan penguatkuasaan awal terhadap mereka menyebabkan mereka terus bergantung harap terhadap sumber pendapatan diperoleh daripada berniaga di situ.

“Justeru, masalah ini perlu diperhalusi dengan kerjasama kedua-dua pihak termasuk Kerajaan Negeri demi kesejahteraan rakyat Kedah,” katanya.