MERBOK - Sepasang warga emas yang tinggal di Kampung Baru, Jalan Sekolah Menengah Kebangsaan Merbok, di sini, mengakui terhutang budi dengan anggota Bomba Sukarelawan Merbok yang membantu mereka membuang sarang tebuan di rumah mereka.
Warga emas terbabit, Ismail Bakar, 63, berkata, dia ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anggota bomba yang mempertaruhkan nyawa untuk membuang sarang tebuan yang telah lama bersarang di ruang siling rumahnya.
Menurutnya, dia dan isterinya, Fatimah Hassan, 65, yang tinggal berdua di rumah itu tidak tahu sejak bila tebuan terbabit bersarang di dalam siling rumah mereka sehingga berlaku insiden Ismail disengat tebuan.
“Pada masa itu, saya mula perasan beberapa ekor tebuan yang keluar masuk daripada lubang di luar rumah ke dalam siling antara bahagian atas rumah kami dan bahagian bawah rumah ini.
“Saya kemudiannya mengambil racun serangga dan telah membuat semburan melalui bahagian atas rumah ke dalam tempat yang selalu tebuan itu didapati keluar masuk.
“Kemudiannya saya telah disengat oleh tebuan sehingga terpaksa mendapatkan rawatan dan suntikan sebanyak dua jarum di lengan saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Ismail berkata, dia kemudiannya telah menghubungi Bomba Sukarela Merbok untuk mendapatkan bantuan membuang sarang tebuan itu memandangkan dia tidak mahu mengambil risiko membuangnya sendiri.
Menurutnya, dua anggota Bomba Sukarela Merbok telah datang ke rumahnya petang kelmarin dan meninjau keadaan sarang tebuan itu dan mereka mengambil keputusan untuk membuangnya pada waktu malam.
“Dan pada malam yang dijanjikan, tiga anggota Bomba Sukarela telah datang ke rumah saya dan mereka terpaksa mengopek lantai bahagian atas rumah untuk membuang sarang tebuan itu.
“Saya dan isteri berterima kasih di atas usaha pihak bomba yang telah bertungkus lumus membuang sarang tebuan terbabit, terutama menjelang Aidilfitri ini. Anak cucu kami akan balik beraya di sini dan jika tidak, ini mungkin akan mendatangkan bahaya kepada mereka jika tidak diambil tindakan segera,” katanya.
(sumber : Sinar Harian)
Tindakan Bomba Sukarela Merbok yang rata-rata ahlinya terdiri dari MCA Merbok harus mendapat pujian. Mereka ternyata bertindak membantu bukan setakat untuk kaum mereka sahaja tetapi kaum Melayu juga.
MT difahamkan sejak dari penubuhan mereka dahulu kelengkapan mereka banyak di bantu oleh bekas ADUN Tg Dawai, Rosnah Majid, Tun Daim dan Bekas Ahli Palimen Merbok, Datuk Zainudin Maidin.
Malah mereka sentiasa memberi kerjasama dalam setiap program kemasyarakatan di daerah Merbok.
MT difahamkan sejak dari penubuhan mereka dahulu kelengkapan mereka banyak di bantu oleh bekas ADUN Tg Dawai, Rosnah Majid, Tun Daim dan Bekas Ahli Palimen Merbok, Datuk Zainudin Maidin.
Malah mereka sentiasa memberi kerjasama dalam setiap program kemasyarakatan di daerah Merbok.