18 June, 2010

Pemuda UMNO dan BN hilang arah



Hasil kajian Pemuda BN yang dibuat 2 bulan dahulu terdapat 62% pengundi di kalangan belia berada di atas pagar. Mereka terdiri dari pengundi-pengundi belia yang sedang memerhati telatah BN, PKR, PAS, DAP dan lain-lain parti.

Ini bermakna mana-mana parti politik yang bijak menyentuh naluri mereka, mereka akan menyokong parti tersebut. Jika semua parti politik yang ada penuh dengan keberantakan mereka tidak akan keluar mengundi. Itu lah situasi mereka.

Menurut kajian tersebut, rata-rata mereka ini terdiri dari belia-belia di kawasan pendalaman atau desa-desa dan kampung-kampung.

Pendedahan ini dibuat oleh Pengerusi Pemuda BN merangkap Ketua Pemuda UMNO Malaysia, saudara Khairi Jamaludin atau lebih dikenali dengan panggillan mesra KJ selepas merasmikan Perhimpunan Agung PPP pada 17 Jun 2010.

Walau apa juga kaedah dan modul kajian ini, angka 62% bukan lah satu angka yang kecil. Angka ini dikira boleh mencorak warna dan wajah generasi masa hadapan dan kedudukan politik negara ini.

Menyedari situasi ini, menurut KJ Pemuda BN sudah pun menjalankan beberapa aktiviti seperti Jelajah 1Malaysia dan Rally 1Malaysia yang kononnya pendekatan ini telah menaikkan sedikit sokongan kepada BN.

Hakikatnya di sini Jelajah 1Malaysia ialah aktiviti kayuhan basikal yang disertai perserta tempatan dan antarabangsa untuk mempromosikan Malaysia ke mata dunia sebagai destinasi pelancongan dan leisure.

Manakala Rally 1Malaysia adalah aktiviti yang membawa tema1Misi, 1Hati, 1Pemuda, 1Malaysia, JOM yang digerakkan menerusi sebuah bas bakal membawa barisan kepimpinan Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) ke seluruh pelosok negara untuk bersama komuniti belia dalam usaha menarik kembali kepercayaan golongan itu terhadap BN. (ruj Utusan Malaysia)

Kedua-kedua aktiviti ini ternyata tidak berlandaskan pratikalitinya dan langsung jauh tidak termasuk dalam kotak akal dan tersasar keluar dari “finding” kajian mereka kerana tidak menyentuh naluri dan sanubari belia-belia desa, kampong dan pendalaman.

Ianya lebih kepada “one-off” aktiviti untuk syok-syok bersiar-siar dan jalan-lalan cari makan. Belia-belia di kampong tidak pandang aktiviti tersebut sebagai aktiviti dalam kampong mereka.

Naluri dan sanubari akan lebih tersentuh jika aktiviti tersebut lebih “dicustomizekan” fokus kepada kehendak dalaman kampong mereka sendiri. Aktiviti-aktiviti sebegini jika dirancang dengan berhemah ia tidak melibatkan kos yang tinggi.

Kesimpulannya KJ dan Pemuda BN harus lebih praktikal merancang aktiviti untuk menarik 62% pengundi belia yang dikatakan berada di atas pagar ini.

Hakikatnya hari ini tanpa kajian yang mendalampun rakyat telah boleh melihat Pemuda BN dan UMNO masih tidak berubah, bercakaran sesama sendiri, materialistik dan bergerak tanpa fokus serta hilang haluan perjuangan.