01 March, 2012

Kadir Sheikh Fadzil tak dak integriti

2012/02/29
ALOR SETAR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Kedah mendakwa bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mempunyai agenda politik kepentingan diri apabila mendedahkan pengundi Parlimen Kulim/Bandar Baharu mudah dibeli dengan wang.

Yang DiPertuanya, Syed Osman Syed Mansor, berkata tindakan Abdul Kadir menghina integriti pengundi yang mengundi beliau untuk mewakili mereka sebagai Anggota Parlimen Kulim/Bandar Baharu selama beberapa penggal. "PERKASA Kedah ingin bertanya mengapa baru sekarang Abdul Kadir mendedahkan perkara ini. Adakah Zulkifli Noordin (Anggota Parlimen Kulim/Bandar Baharu sekarang) juga menang dengan cara sama (membeli undi)? "Sekiranya beliau seorang yang berkewibawaan dan boleh dipercayai adalah wajar beliau membuat laporan polis," kata Syed Mansor kepada pemberita sebagai mengulas kenyataan Abdul Kadir yang mendakwa wang digunakan bagi membeli undi pada kempen pilihan raya lalu ketika berucap pada satu forum baru-baru ini.

Syed Mansor turut mempersoalkan perbuatan Abdul Kadir sebagai balasannya kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang memberikan beliau segala keistimewaan dan kedudukan selama dia bergiat cergas dalam politik.

"Pengundi sekarang bertambah cerdik. Perbuatan Abdul Kadir boleh memberi kesan ke atas adiknya, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang sekarang Ketua UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu sekiranya terpilih sebagai calon BN pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Dalam suasana politik sekarang, beliau berkata bekas menteri daripada UMNO seharusnya lebih bijak mengeluarkan kenyataan kecuali mereka menyertai pembangkang untuk meraih kepentingan peribadi. - BERNAMA