TANJUNG DAWAI – Penduduk Dun Tanjung Dawai masih memberi sokongan padu terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN), selain parti itu diyakini akan terus menjadi pilihan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.
Penaung Kelab Sukan Komuniti Tanjung Dawai dan Belia Berwawasan Bukit Selambau, Datuk Arzmi Abd Hamid berkata, sokongan itu masih kuat berdasarkan penglibatan mereka dalam setiap aktiviti dianjurkan.
Arzmi yang juga bekas Adun Tanjung Dawai berkata, beliau yakin terhadap sokongan rakyat di Dun berkenaan dan yakin boleh menang dalam PRU akan datang.
“Berpandukan suasana politik yang mahu BN kembali memerintah selain sokongan terhadap setiap program dianjurkan, kita yakin dapat meraih sokongan penuh,” katanya ketika ditemui dalam Program Bersama Jalinan Mesra, di sini, semalam.
Beliau berpengalaman selama 25 tahun dalam bidang politik yakin dengan sokongan setia rakyat terhadap BN di Tanjung Dawai dan BN boleh merampas kembali kawasan berkenaan dalam PRU ke-13 nanti.
Menurutnya, Tanjung Dawai merupakan tempat cukup istimewa baginya di mana kawasan tersebut pernah menerima kunjungan 70,000 pengunjung ketika ditadbir BN.
“Kita pernah meningkatkan pelancongan di Tanjung Dawai apabila menerima sambutan baik pengunjung sewaktu menganjurkan Pesta Tanjung Dawai 2007 di mana jualan sehari bagi seluruh kawasan Tanjung Dawai mencecah RM100,000 pada masa itu.
“Namun apabila ditadbir oleh Kerajaan Pas, kita tidak nampak bentuk pembangunan dan kemajuan yang dibawakan bagi meningkatkan ekonomi penduduk,” katanya.
Arzmi berkata, kekalahan BN di Tanjung Dawai pada 2008 meninggalkan kesan dan kesedihan buat penduduk yang mahukan kemajuan.
Menurutnya, banyak projek yang telah diatur bagi menjalankan pembangunan khususnya di Tanjung Dawai tertangguh dan setiap perancangan tersebut akan diteruskan sekiranya BN diberi mandat selepas PRU13.
“Kita telah merancang Projek Jambatan Tanjung Dawai–Pantai Merdeka, pemasangan lampu di sepanjang pesisiran pantai dan penganjuran Sukan Laut menggabungkan negara Malaysia, Indonesia dan Thailand yang tertangguh,” katanya.
Dalam perkembangan berbeza, katanya, program anjuran bersama Kelab Sukan Komuniti Tanjung Dawai, Pertubuhan Belia Berwawasan Bukit Selambau dan Belia Samudera Biru itu dirancakkan dengan acara mengacau enam kawah bubur Asyura yang diagihkan kepada 700 pengunjung adalah salah satu cara mengerat silaturahim juga bersempena Pesta Tanjung Dawai.
Hadir sama, pimpinan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Kedah dan pemimpin Umno Merbok. (Sinar Harian)