29 September, 2013

JANGAN SEKAT CALUN BARU PERKENAL DIRI

JERLUN 28 Sept. - UMNO Kedah mencadangkan supaya calon- calon di semua peringkat dalam pemilihan parti itu bulan depan diberi peluang dan ruang berjumpa serta memperkenalkan diri dengan perwakilan kerana tidak semua daripada mereka dikenali.

Pengerusinya, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, terdapat rungutan dan aduan daripada calon-calon mengenai tataetika pemilihan parti kali ini yang dilihat agak mengongkong serta menyekat pergerakan mereka untuk memperkenalkan diri.

Kata beliau, pihaknya memahami tataetika itu bertujuan memastikan tiada sebarang perkara yang boleh memudaratkan parti tersebut tetapi pada masa sama sangat penting untuk setiap calon diberi peluang bertemu perwakilan dan memperkenalkan diri.

"Tidak semua daripada mereka mendapat faedah daripada liputan media yang meluas. Ramai dalam kalangan calon tidak dikenali.

"Calon-calon baharu ini tampil ke depan kerana ada sesuatu yang hendak disumbangkan kepada parti, mereka juga ada kelebihan tertentu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas peringkat negeri di Alor Biak, di sini hari ini.

Mukhriz berkata, beliau bimbang dengan tataetika pemilihan UMNO yang dikeluarkan baru-baru ini boleh memberi kekangan di peringkat badan perhubungan negeri untuk mengatur lebih banyak program atau majlis perjumpaan calon dengan perwakilan.

Berikutan itu, pihaknya berharap urusetia dan pengurusan UMNO mempertimbangkan agar calon-calon dibenarkan berjumpa perwakilan dengan syarat mereka memaklumkan kepada pejabat perhubungan UMNO negeri bagi memantau perjalanan majlis supaya tidak berlaku perkara yang melanggar tataetika pemilihan.

"Kelonggaran itu memberi ruang dan peluang kepada semua calon bergerak dan berjumpa dengan perwakilan tanpa rasa bimbang dikenakan tindakan disiplin atau digugur kelayakan bertanding selain dapat membantu perwakilan menilai sendiri semua calon," ujar beliau. (Utusan)