Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir menegaskan
reaksi dizahirkan beliau berhubung isu sekolah Cina di Kedah, bukan
bermaksud beliau pendendam, tetapi menganggapnya perkara lumrah dalam
politik.
Mengulas tuduhan Ahli Parlimen DAP Seputeh, Theresa Kok bahawa
beliau mahu menghukum masyarakat Cina di Kedah kerana tidak mengundi
Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu,
Mukhriz berkata, jika ada lebihan peruntukan, pihak yang tidak menyokong
BN pun akan turut dibantu.
“Sudah tentulah kita nak jaga orang yang sokong kita dulu (dalam
pilihan raya). Apabila selesai apa yang kami (BN) janji dan jika ada
lebihan peruntukan, kami akan bagilah kepada mereka (pihak yang tidak
menyokong).
“Kami (BN) ada manifesto dan pihak lawan pun ada, namun
dalam keputusan PRU lalu, kami yang menang, jadi sudah tentulah
manifesto kami yang akan kami laksanakan. Saya ingat bukan kita (BN
Kedah) saja, Kerajaan (DAP) Pulau Pinang pun buat benda sama juga,”
katanya kepada pemberita selepas mesyuarat UMNO Kedah, di sini malam
kelmarin.
Kok melalui kenyataan medianya yang disiar portal
www.malaysiakini.com kelmarin, dilapor berkata, Mukhriz menunjukkan
sikap tidak wajar apabila menyatakan tidak akan melayan permintaan
sekolah Cina di Kedah.
Mengenai dakwaan beliau seorang yang bersikap perkauman, Mukhriz
meminta Kok menilai status parti yang dinaunginya, iaitu DAP terlebih
dulu sebelum menuding jari mendakwa orang lain bersifat demikian.
Sekadar persepsi
“Pada saya ia sebenarnya hanya sekadar persepsi (oleh Kok). Ahli
Parlimen Seputeh kata saya rasis, tetapi bagi saya tidak, kerana kami
(BN) sememangnya cuba untuk menghidupkan gagasan 1Malaysia. Namun bagi
DAP sendiri, ia sememangnya jelas, amalkan rasis... kami pula ada
1Malaysia,” katanya.
Ditanya sama ada tindakan kerajaan negeri itu akan menghakis
sokongan masyarakat Cina terhadap BN, Mukhriz berkata, ia sememangnya
sudah terhakis.
“Pada saya, mereka (masyarakat Cina) sebenarnya tidak bernasib
baik, cuba buat percaturan baru dengan menyokong DAP, tetapi apa yang
mereka harapkan tidak dapat ditunaikan. Itu kesilapan besar yang saya
lihat diambil masyarakat Cina di Kedah,” katanya.(BH)