16 October, 2009

KPM diseru martabatkan profesyen perguruan – Shahnim Yusof

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSEIN
(Sumber : mStar Online)

KUALA LUMPUR: Wakil Pergerakan Puteri Umno, Shahanim Mohamad Yusof mencadangkan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk memartabatkan profesyen perguruan dengan memberi kenaikan gaji, pangkat dan insentif kepada warga pendidik di negara ini.

"Dengan peredaran masa yang berlaku, peranan guru turut berubah, beban tugas yang dipikul oleh mereka terlalu berat.

"Bidang akademik, ko-korikulum, sasaran kerja tahunan, kebajikan pelajar, tusyen, penambahan subjek dan aktiviti lain menuntut pengorbanan masa yang lebih daripada mereka (guru).

"Mereka tidak jemu-jemu dalam mendidik anak-anak kita supaya menjadi insan yang berguna untuk memartabatkan bangsa dan agama," katanya dalam sesi perbahasan menyokong Ucapan Usul Ucapan Presiden dalam Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini pada Khamis.

Menurut Shahanim, KPM perlu membangunkan semula idealisme guru supaya dapat memartabatkan anak bangsa melalui pendidikan intelektual agar guru tidak dipandang enteng namun diangkat sebagai pendidik bangsa.

Beliau yang juga Naib Ketua Puteri Umno turut meminta pucuk pimpinan parti agar memberikan peruntukkan yang secukupnya kepada Ketua Umno bahagian bagi memastikan kelangsungan parti itu.

"Saya meminta dan merayu kepada YAB Presiden Umno, tolonglah bagi Datuk Seri (Najib Tun Razak) peruntukan kepada Ketua bahagian.

"Kami Pergerakan Puteri sokong pucuk pimpinan memberi peruntukan yang lebih kepada Ketua Umno bahagian supaya mereka boleh agih-agihkan kepada Ketua Umno cawangan untuk mengadakan lebih banyak program yang melibatkan ahli-ahli parti di peringkat akar umbi," katanya. Menurut Shahanim yang juga Naib Ketua Puteri, Umno ibarat sepohon pokok yang subur dengan pucuk-pucuk yang menghijau.

Untuk melaksanakan tugas sebagai Ketua Umno bahagian bukan mudah kerana mereka perlu menjaga 120 hingga 300 cawangan bagi satu-satu bahagian.

Pada ketika ini Umno mempunyai 191 bahagian di seluruh negara.

"Macam mana nak jaga cawangan kalau kita tak ada duit? Kita tahu tidak semua Ketua Umno bahagian ini terdiri daripada golongan yang berada. Jadi kita harap pucuk pimpinan akan beri perhatian terhadap isu ini," katanya.

Jelasnya, pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit yang disumbangkan oleh Ketua Umno bahagian sememangnya tidak mampu dibalas namun ia perlu dihargai dengan sebaik-baiknya kerana mereka merupakan pemimpin yang terdekat dengan akar umbi.

"Untuk jaga pokok-pokok ini supaya terus subur kita pemimpin Umno di atas perlu menjaga pemimpin di peringkat bahagian kerana mereka dengan rakyat.

"Kalau kita ada lebih banyak program, baru lah kita boleh menambah lebih ramai ahli baru untuk mencapai sasaran KPI yang ditetapkan oleh Timbalan Presiden," katanya.