Muka surat empat Mingguan Malaysia hari ini memberi keutamaan kepada berita pergolakan rumah tangga artis jelita Rita Rudaini dan suaminya Aidil Zakuan Abdul Razak, striker utama pasukan bolasepak Negeri Sembilan.
Tajuk besarnya ialah “Rita Rudaini nekad 'lawan' suami di mahkamah” yang memakan ruang satu pertiga dari muka surat 4 Mingguan Malaysia, akhbar rujukan Melayu.
Manakala dalam muka surat 9 pula disiarkan rencana tulisan Zainudin Maidin mantan Ketua Pengarang Utusan Melayu yang bertajuk “Runtuhnya Melayu Singapura”.
Zainudin memberi keutamaan dalam perenggan pertama tulisan nya dengan memetik dari memoir Lee Kuan Yew, The Singapore Story, “ Lee Kuan Yew menceritakan ketika serangan Jepun ke atas Singapura dalam tahun 1941, beliau yang sedang berjalan kaki dari Teluk Kurau ke Norfolk Road telah melihat orang-orang Melayu mencuri kerusi dan meja dari rumah- rumah besar. Tetapi orang-orang Cina mencuri barang-barang keperluan dan barang kecil yang ringan dan lebih berharga”.
Zainudin menyudahi rencana beliau dengan katanya “Dalam senario sejarah yang saya kemukakan secara ringkas ini, kita harus menilai diri kita untuk mengenali apakah yang diperlukan dalam perjuangan untuk survival orang Melayu dalam Malaysia yang juga akan menghadapi cabaran yang sama. Moga-moga kita tidak lagi mewarisi kualiti manusia yang nampak perabut ketika beras diperlukan”.
Itulah yang dikatakan “Priority” atau keutamaan, kaum Melayu ketika itu mungkin lebih mementingkan perabut dari barang kecil yang berharga. Dicurinya perabut-perabut mewah yang kebanyakannya kepunyaan kaum Cina yang kaya raya ketika itu atas perasaan emosi dan cemburu.
Mereka beremosi sehaluan seperti peribahasa mereka juga "Tidak dapat kepala teilinga dipulas".
Berbalik pula kepada keutamaan berita yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia, mereka lebih utama menyiarkan gossip panas dan perangai-perangai tak senonoh artis Melayu gilaan remaja Melayu, lebih mendapat tempat utama dalam akhbar Melayu daripada menyiarkan kejayaan kaum Melayu di persada dunia.
Hakikatnya akhbar Melayu lebih mengutamakan “beras” dari berita-berita panas untuk melariskan jualan akhbar mereka, sebaliknya akhbar MCA “The Star” banyak menonjolkan tokoh-tokoh Cina yang berjaya di luar negara kerana dakwaan mereka kemakmuran negara ini hanya menyebelahi orang-orang Melayu.
Zainudin gagal melihat Lee Kuan Yew di sebalik Lee Kuan Yew.