23 November, 2012

APA KAH AKIBAT JIKA ALLAH SWT MAKBULKAN DOA PAS?

Mazlan Mahmud,
Utusan Malaysia 23/11/2012

Doa PAS yang dipimpin oleh adik Nik Aziz di Stadium Sultan Muhammad ke-IV Jumaat lepas supaya Allah SWT mengKOkan UMNO dan BN yang sebenarnya membuktikan bahawa mereka sedang dilanda kebuntuan masa depan politik yang sungguh meruncing tak ubah seperti telur dihujung tanduk. 

Mereka menghadapi kekalutan masaalah dalaman di antara pakatan mereka sehingga akhirnya mereka terpaksa memohon kepada Allah SWT untuk membinasakan UMNO/BN memandangkan tidak ada jalan lain lagi untuk mereka berkuasa. 

Kandungan doa ‘KO BN’ yang dibaca oleh adik Nik Aziz, Nik Razi Nik Mat selepas solat hajat itu ternyata meluahkan isi hati betapa begitu kuat sekali bencinya mereka kepada UMNO dan BN. 

Diulang-ulangnya “KO-BN!! KO-BN!! BN-KO!! KO BN!! BN-KO!! KO-BN!! BN-KO!!” dengan nada yang sungguh marah dan meluat. Sehingga semua kejadian jenayah dalam negara ini seperti ragut, rogol, bakar dan cincang manusia disalahkan kepada UMNO dan BN termasuklah kejadian-kejadian yang berlaku di Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang negeri pemerintahan PAS dan DAP. 

Hakikatnya UMNO dan BN tidak boleh tidur nyenyak kerana jika doa ini dimakbulkan oleh Allah SWT setelah diaminkan oleh 40,000 penyokong PAS pada malam itu negara ini akan tenggelam ke dalam laut seperti Kerajaan Firaun dan diranapkan seperti Namrud dan Abu Lahab.

UMNO juga mesti bangun dan berdoa supaya menolak segala bala bencana yang bakal menimpa umat negara ini termasuklah berdoa juga supaya mereka yang memohon KO kan UMNO-BN mendapat perlindungan dan dibuka hati nurani mereka oleh Allah SWT supaya berkasih sayang sesama umat. 

PAS juga harus sedar jika negara ini tenggelam mereka juga akan tenggelam bersama termasuk Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang sekali gus cita-cita mereka untuk berkuasa juga akan hancur kerana sudah tidak ada negara lagi untuk mereka memerintah.