Sementara ramai tertunggu-tunggu siapakah yang berani menyahut cabaran
untuk menampar muka Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok demi mendapatkan
ganjaran wang tunai RM1,200 yang ditawarkan oleh sebuah NGO, secara
tiba-tiba keluar berita mengenai peletakan jawatan pemimpin Hindraf, P
Waytha Moorthy sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri dan
Ahli Dewan Negara berkuatkuasa 10 Februari.
Meletak jawatan dalam suasana politik tidak menentu sambil menuduh
Datuk Seri Najib Razak dan Putrajaya sebagai pemungkir janji, pedihnya
lebih memeritkan berbanding tamparan yang singgah di pipi.
Sebagaimana yang dipetik daripada kenyataan Setiausaha Hindraf, P
Ramesh bahawa peletakan jawatan itu adalah kerana kegagalan Putrajaya
menunaikan janjinya kepada masyarakat India seperti yang dimeterai
antara Najib dengan Waytha, beberapa hari sebelum pilihan raya umum
lalu.
Dengan adanya perjanjian itu yang didapati menyaksikan beralihnya
sebahagian sokongan pengundi India kepada Barisan Nasional (BN)
sebagaimana yang dibuktikan melalui kemenangan MIC yang lebih baik
berbanding pilihan raya umum pada 2008 dan juga melalui peti undi di
kawasan yang didiami mereka, Waytha kemudian dilantik sebagai senator
dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Namun hanya kira-kira lapan bulan berada dalam kerajaan dan menunggu
janji kepada kaum India masih seperti menunggu buah yang tidak gugur,
Hindraf akhirnya memutuskan Waytha perlu "mencampakkan" semua jawatan
yang diberikan Najib itu berikutan tiada tanda ia akan ditunaikan oleh
kerajaan.
Menurut Ramesh lagi, pihaknya melakukan segala yang boleh,
menandatangani perjanjian dengan musuh semata-mata untuk kepentingan
masyarakat India serta dengan kepercayaan segala janji yang
ditandatangani akan menjadi kenyataan.
Malangnya, tambah Ramesh, setelah lapan bulan menanti dan bersabar, Hindraf sudah putus asa dengannya.
Di ketika kepimpinan Najib begitu dipertikaikan sebagai lemah, tidak
tegas, gagal menunaikan janji, tidak mengutamakan rakyat sebagaimana
yang dijanjikan sebelum pilihan raya, melupakan beberapa akujanjinya
sendiri serta banyak lagi, peletakan jawatan pemimpin Hindraf itu
bermakna mereka sudah menarik balik sokongan yang pernah diberi sebelum
ini, keadaan ini tentunya merupakan tamparan menyakitkan bagi perdana
menteri.
Ditambah dalam suasana BN perlu menghadapi pilihan raya kecil DUN
Kajang pada 23 Mac depan, putusnya ikatan kasih antara kerajaan dengan
Hindraf ini pastinya juga bakal menyaksikan sebahagian lagi daripada
jumlah 10% pengundi India di DUN Kajang tidak akan memberikan undinya
kepada BN.
Jika Teresa Kok sedang kerisauan kiranya cabaran menamparnya disambut
oleh mana-mana pihak yang pendek akal, lebih-lebih lagi setelah Menteri
Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa
ganjaran yang ditawarkan oleh sebuah NGO mengenainya tidak boleh dikira
sebagai ugutan serta tidak perlu disiasat polis, tamparan yang dilakukan
oleh Hindraf ini jauh lebih menyakitkan Najib.
Dengan adanya serangan terbuka terhadap Najib daripada dalam Umno
sendiri, sokongan rakyat secara keseluruhan tidak bertambah baik,
pengundi Cina kekal menolak BN, Pakatan Rakyat makin meningkatkan
tekanan menghadapi PRU14, dan kini Hindraf pula memutuskan ikatannya
lantaran kecewa kerana janji tidak ditunaikan, kedudukan BN atau
kerajaan bukan saja dilihat sukar di Kajang, bahkan juga untuk
mengekalkan kuasanya dalam pilihan raya akan datang.
Hindraf pula, melakukan tamparan kepada Najib ini bukannya kerana ada
ganjaran terbuka yang ditawarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim atau
Pakatan Rakyat tetapi barangkali dengan berbuat demikian, faedah untuk
kaum India sudah boleh dibayangkan untuk diperolehi melalui Selangor
yang bakal mendapat ketua kerajaan baharu selepas ini, sebelum manfaat
selebihnya akan dikutip selepas PRU14 nanti. –
DIpetik dari shahbudindotcom.blogspot.com,10 Februari, 2014.