15 July, 2011

Ingat! Bulan Ramadan bukan bulan bergencok, beronggeng atau beryakyeh di Kedah

ALOR SETAR - Penguatkuasaan peraturan dan undang-undang pusat hiburan yang dilaksanakan sepanjang Ramadan di Kedah adalah tertakluk pada enakmen 1997, dan bukannya polisi baru yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR).

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, ia juga di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri, kerana arahan itu diperkenankan oleh Sultan Kedah, selaku Ketua Agama Islam dan dikuatkuasakan melalui Majlis Agama Islam Negeri Kedah.

“Arahan itu kemudian dikuatkuasakan ke pejabat-pejabat daerah seluruh negeri. Kerajaan Negeri sebagai pentadbir hanya melaksana undang-undang sedia ada, dan mahu ia dikuatkuasakan semula tahun ini, kerana sebelum ini ia seolah terlepas pandang oleh pihak tertentu,” katanya, ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, semalam.

Azizan berkata, enakmen itu terpakai sejak Barisan Nasional (BN) mentadbir Kedah, cuma tidak dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Dari dahulu lagi dalam bulan Ramadan, tidak ada aktiviti hiburan. Malah diadakan beberapa peraturan untuk bukan Islam mematuhinya. Saya mahupun Kerajaan Negeri tidak boleh campur tangan dalam hal itu sebab ia bawah bidang kuasa Sultan Kedah,” katanya.

Menurutnya, bandar Alor Setar sebelum ini dianggap sebagai Bandar Diraja, dan tidak dibenarkan sebarang aktiviti hiburan berlangsung pada Ramadan sebagai menghormati kemuliaan bulan itu.

“Majlis Agama Islam Negeri Kedah sudah membuat teguran dan pegawai-pegawai daerah bermesyuarat dan memutuskan untuk melaksanakan semula apa yang termaktub dalam enakmen 1997,” katanya.

Azizan tidak menolak kemungkinan peraturan itu menimbulkan kekeliruan banyak pihak, dan pihaknya telah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membuat kajian semula berhubung skop hiburan.

“Mesyuarat Exco Mei lalu, telah bersetuju meluluskan cadangan daripada pegawai daerah mengenai penutupan pusat hiburan di Kedah sepanjang Ramadan. Semua pegawai pelesenan daerah diarahkan menguatkuasakan peraturan itu dengan kerjasama PBT dan polis,” katanya.

Namun, katanya, terdapat pengecualian untuk pertunjukan berkaitan keagamaan dan kepercayaan sesuatu kaum dengan syarat tidak menimbulkan kekacauan, selain mendapat sokongan daripada pegawai pelesenan.

“Permohonan itu pula perlu dikemukakan pada Kerajaan Negeri untuk dipertimbangkan. Contohnya bulan Ogos kaum Cina mahu meraikan Perayaan Bulan Hantu, jadi mereka perlu mohon secara bertulis untuk pertimbangan,” katanya.

Azizan berkata, kategori hiburan yang tidak boleh beroperasi sepanjang Ramadan ialah lesen untuk pertunjukan pancaragam, persembahan nyanyian di hotel, restoran dan bar, warung kopi, karaoke dan disko.

“Pusat snuker dan kafe siber pula kita mungkin semak semula kerana ia bukan bentuk hiburan tetapi diletakkan bawah kategori hiburan. Minta PBT perjelaskan secara terperinci apakah yang dimaksudkan dengan hiburan,” katanya.

Kelmarin, beberapa pengusaha pusat hiburan Cina tidak berpuas hati dengan tindakan Kerajaan Negeri tidak membenarkan lesen hiburan diperbaharui sepanjang Ramadan, dan mahukan penjelasan kerana mendakwa menanggung kerugian jika premis terpaksa ditutup selama sebulan. (sumber -SH)

Awas! Lendir putih dalam minuman berjenama

SEDIM – Penduduk, Jaafar Sidik yang tinggal di Kampung Sedim kecewa dengan sebuah syarikat pengeluaran minuman kerana didakwa tidak bertanggungjawab terhadap barangan dijual di pasaran.

Menurutnya, bulan lalu ketika berada di Perlis, dia berkunjung ke sebuah kedai runcit dan kemudiannya menegur pemilik kedai bahawa terdapat lendir dan selaput putih dalam minuman itu.

Dari pemeriksaan dibuat, minuman itu masih belum dibuka manakala sebotol minuman jenama sama diisi dengan kuantiti air yang kurang.

:Dia dan pemilik kedai kemudiannya meminta penjelasan dari pembekal, tetapi pihak itu hanya mahu menggantikan minuman itu dengan botol yang lain tanpa memikirkan implikasi akan dihadapi pengguna.

“Pengusaha kedai runcit itu kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Padang Besar pada 9 Jun lalu.

“Dari label yang terlekat pada minuman itu, tarikh luputnya adalah September 2011. Kelemahan syarikat minuman ini memasarkan produk minumannya ke pasaran seperti ini tidak seharusnya berlaku,” katanya.

Pengerusi Persatuan Pengguna Parlimen Kulim Bandar Baharu, Mohd Zailan Hashim berkata, masalah itu seharusnya dimaklumkan kepada Tribunal Pengguna supaya tindakan undang-undang dapat diambil.

Katanya, banyak kecuaian berpunca dari pengusaha mendatang masalah kepada pengguna.

“Pengguna perlu tahu hak dan undang-undang yang boleh melindungi mereka. Kita harus bersikap positif untuk memastikan kecuaian seumpama ini tidak berulang.

“Pengguna harus berani tampil ke hadapan untuk membuat laporan terhadap masalah yang boleh mendatangkan kerugian kepada pengguna,” katanya.(sumber SH)