29 March, 2010

PERKASA mempamirkan 3G.

Sejak melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO Tun Mahathir tidak lagi kelihatan berucap di hadapan perhimpunan Melayu yang ramai. Hanya perhimpunan-perhimpunan kecil diadakan atas jemputan tertentu sahaja.

Tetapi pada 27/3/2010 Tun Mahathir kelihatan berucap hebat dalam perhimpunan Pertubuhan Peribumi Perkasa atau PERKASA.

Walaupun menurut beliau ada beberapa pihak yang menasihati supaya beliau jangan hadir di dalam perhimpunan itu tetapi ternyata Tun M tidak makan nasihat. Mungkin beliau lebih pengalaman kerapkali yang merosakan pemimpin hari ini ialah kerana mendapat nasihat yang tidak sihat. Pak Lah adalah contoh yang terbaik yang mendapat nasihat yang salah dari menantu sehingga Melayu hari ini berpecah-belah seperti apa yang diucapkan oleh Tun M dalam perhimpunan Perkasa.

Mungkin atas nasihat juga Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Fuad Hasan tidak hadir dalam perhimpunan ini. Beliau terpaksa akur kerana beliau adalah penjawat awam sekarang, sebagai Ketua Pengarah JASA dan mungkin pihak yang lebih atas menasihati beliau agar jangan hadir.

PERKASA ditubuhkan pada 12/9/2009 dan berusia 1 ½ tahun telah berjaya mengumpulkan sehingga 10,000 orang yang hadir pada hari itu. Ternyata Melayu hari ini dahagakan penyatuan. Mereka telah sedar bahawa Melayu sekarang telah berpecah, hak-hak mereka semakin hangus dan terhakis. UMNO yang berusia 64 tahun pula ternyata telah tua dan tidak bertenaga lagi. Luka-luka perpecahan di dalam UMNO masih belum sembuh sepenuhnya. Untuk menghimpunkan 10,000 perwakilan UMNO memerlukan belanja jutaan ringgit. Tidak akan cukup dengan kuih ringan hidangan petang tetapi mesti dihidangkan santapan lima bintang jika tidak ramai yang merungut, merajuk dan maki hamun Ketua Bahagian.

Hari ini ternyata PERKASA bebas untuk bersuara hak-hak peribumi, tidak seperti UMNO yang telah diikat dengan 1Malaysia. UMNO akan dilabel rasis jika bersuara hak-hak Melayu. UMNO akan dilabel penganas jika menghunuskan keris.

Hakikatnya perhimpunan PERKASA yang lepas telah mempamirkan 3G.GEGAR, GERUN DAN GAGAH.

19 March, 2010

Tok Det godam Kedah Corporation Bhd

Bekas Menteri Besar Kedah, Tok Det Khalid nampaknya bangun gagah menghentam KCB kerana kegagalan Kedah Corporation Berhad (KCB) menguruskan projek pelaburan pembalakan di Papua New Guinea sehingga dikatakan mengalami kerugian RM4 juta membuktikan Kerajaan Negeri bawah Pakatan Rakyat (PR) gagal mengurus tadbir syarikat milik kerajaan (GLC) dengan baik.

Tok Det mendakwa beliau lebih bijak menguruskan KCB semasa beliau menjadi pengerusi dahulu dan Tajul Urus Mat Zain menjadi CEO dan telah berjaya melaksanakan beberapa projek utama seperti projek jutaan ringgit pembinaan padang golf di Langkawi.

Hari ini KCB hancur di bawah pentadbiran PR kerana gagal didalam pelaburan ke luar negara seperti pembalakan di Papua New Guinea dan silap kerana mengimport daging lembu segar dari Indonesia dan Australia.
Seharusnya Ustaz Azizan mendengar cadangan bernas Tok Det ini agar KCB hanya tumpu kepada pelaburan dalam negara sahaja kerana “team” Ustaz Azizan tidak berpengalaman di dalam mentadbir perniagaan apatah lagi untuk menguruskan syarikat besar seperti KCB ini.

Ketua Pegawai Eksekutif mestilah mereka yang bijak dan ada “contact” yang luas bukannya daripada orang politik atau bekas guru pencen yang hanya makan komisyen.

Sebelum banyak lagi SLC (State Link Company) ‘gulung tikar’ Ustaz Azizan harus membuat rombakan besar-besaran Pengerusi dan CEO syarikat-syarikat ini. Ini bagi memulihkan kembali kepercayaan rakyat tentang kewibawaan PAS memerintah negeri Kedah Sejahtera dan terus memerintah lagi dua atau tiga penggal.

Perubahan harus berlaku agar rakyat Kedah tidak membawa spanduk “MENGATA DULANG PAKU SERPIH”.