05 May, 2014

HALIM SAAD JANGAN GANGGU PLUS LAGI.

KUALA LUMPUR 4 Mei - Lebuh Raya Utara Selatan, aset kritikal negara yang merentasi lapan negeri di Semenanjung Malaysia adalah pemangkin kepada nadi pembangunan negara dan harus dikekalkan hak miliknya, demikian menurut seorang penganalis. 

Pengarah FA Securities, Zakie Ahmad Shariff berkata, PLUS Malaysia Berhad (PLUS), pemegang konsesi lebuh raya tersebut, kini dimiliki bersama dua agensi kerajaan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan UEM Berhad (UEM), dan cadangan untuk memiliknegarakan PLUS kelihatan dangkal. 

"“Kenapa kita pilih untuk UEM dan KWSP mengambil alih PLUS empat tahun lepas ialah untuk memberi faedah kepada negara, memperbaiki kedudukan kewangan serta penyelenggaraannya dan mereka telah menunjukkan prestasi yang sangat baik," katanya ketika mengulas PLUS, yang kini menjadi sasaran pengambilalihan oleh sebuah syarikat swasta. 

Pemilikan sekarang bukan sekadar telah menjadikannya milik rakyat, malah secara langsung memberi manfaat kepada lebih 14 juta pencarum KWSP. Sebaliknya, beliau mengalu-alukan pihak ketiga mengambil alih lebuh raya bertol dalam bandar memandangkan faktor kekerapan penggunaan lebuh raya dalam kehidupan seharian warga kota berbanding lebuh raya PLUS di luar kota. “

Kalau betul-betul nak tolong rakyat, lihatlah lebuh raya bertol dalam bandar, bukan PLUS. Kalau sesebuah syarikat ingin mengambil alih tol-tol yang ada, kenapa tidak ambil alih tol-tol seperti LDP (Lebuhraya Damansara-Puchong) dan sebagainya," katanya. 

Zakie yang juga pakar ekonomi turut berpendapat bahawa, selaku pemilik aset terbesar yang menjadi tulang belakang kepada rangkaian pengangkutan Semenanjung Malaysia, adalah wajar bagi PLUS kekal status quo. 

Beliau berkata, untuk meringankan beban kerajaan, rangkaian lebuh raya PLUS telah dibangunkan oleh pihak swasta berdasarkan konsep ’bina-kendali-pindah’ (BOT). “Kembalinya PLUS ke tangan kerajaan melalui usaha sama KWSP dan UEM adalah selaras dengan matlamat penswataan negara. Biarlah kedua agensi kerajaan ini, KWSP dan UEM, mendapat manfaat daripada pelaburan mereka, tambahan pula rakyat juga yang meraih faedahnya. Untuk diserahkan semula kepada pihak swasta, saya tidak nampak rasionalnya," ujar beliau. 

Seruan agar hak milik PLUS kekal status quo turut disokong oleh Pensyarah Kanan di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya, Dr. Ervina Alfan. “Adalah jauh lebih baik bagi orang ramai jika lebuh raya itu kekal milik kerajaan. Ia sebenarnya adalah untuk kepentingan orang ramai secara keseluruhan," katanya. 

Ervina berkata, operasi lebuh raya berdepan dengan pelbagai risiko sama ada dari aspek politik, pasaran, pembinaan ataupun permintaan, dan aset berharga seperti Lebuh Raya Utara Selatan tidak seharusnya berada di tangan pihak swasta untuk mengelakkannya daripada dicagarkan bagi menyokong pinjaman. - BERNAMA