27 August, 2009

Merbok dalam sejarah- Bahagian 5 : Keputusan perwakilan cawangan dipertikai

Apabila Pak Njang Badri memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Merbok berbagai usaha telah dilakukan untuk memprotes keputusan yang telah dibuat oleh perwakilan-perwakilan cawangan dalam Mesyuarat Perwakilan Bahagian.

Usaha-usaha ini didalangi oleh orang-orang Tok Non yang ramai mereka terdiri dari ahli-ahli Persatuan Bekas Perajurit termasuklah Mejar(B) Annuar Hamid, Ramli Karim, Dr Fauzi Ahmad, Ali Pepeh Kg Haji Ngah dan beberapa orang lagi.

Ada juga duri dalam daging yang terdiri dari AJK Bahagian semasa Daim Ketua Bahagian seperti Pak Tam Man, Cik Gu Ismail Gurka, Cik Gu Shuib Lazim Belau dan Jamaludin Che Tam.

Walaubagaimanapun usaha mereka gagal dan apabila gagal ada di kalangan mereka yang merajuk dan melompat ke parti PAS seperti Dr Fauzi malah ada juga tangan-tangan yang tersembunyi selepas membaling batu seperti Tajul Urus.

Di sinilah bermulanya politiking yang sungguh kotor dalam UMNO Bahagian Merbok.

Merbok dalam Sejarah Bahagian 4- Badri Yunus @ “Pak Njang Badri” menjadi Pak Sanggup



Apabila Daim keciwa dan menarik diri dari mempertahankan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Tuan Syed Osman Setiausaha UMNO Bahagian Merbok ketika itu diarahkan oleh Daim mencari beberapa cawangan untuk mencalunkan Pak Njang Badri supaya layak bertanding menentang Datul Zainol Abidin Johari (Tok Non).

Pak Njang Badri terkapa-kapa di saat akhir menjadi bidan terjun ditolak menjadi Pak Sanggup berhadapan menentang Tok Non rakannya yang merupakan bekas Pengerusi Semangat 46 Kedah.

Walaupun Pak Njang tidak berkelulusan tinggi dan hanya bekas pekebun sayur di Bukit Selambau tetapi pakar dalam silat politik akar umbi. Mungkin Daim merasakan yang layak untuk diajar Tok Non ketika itu hanyalah Pak Njang Badri.

Pertandingan Ketua Bahagian Merbok ketika itu seperti kilat sabung-menyabung di antara Tok Non dan Pak Njang Badri. Turut turun berkempen untuk Pak Njang Badri habis-habisan ialah Daim sendiri, Ibrahim Ali, Mustapha Mohammad, Solomon Selamat Setiausaha Politik Anwar Ibrahim ketika itu, Shahidan Kassim dan beberapa tokoh lagi.

Keputusan berakhir Pak Njang Badri menang dengan 180 undi mengalahkan Tok Non dengan 161 undi dengan majoriti 19 undi. Banyak media memaparkan pertembungan yang bersejarah ini kerana ia melibatkan Daim sebagai Menteri Kewangan.

Insiden ini jugalah menamatkan kempimpinan politik Daim di UMNO Bahagian Merbok dan Daim hanya menjawat jawatan sebagai Ahli Parlimen Merbok sahaja.

Hakikat yang sebenarnya "dalam kilat ada kilau" yang menjadi pertembungan ini ada tangan-tangan luar yang tidak senang dengan Daim dan "planted" Tok Non menentang Daim.