ALOR SETAR: Badan Perhubungan Umno Kedah akan dirombak bagi mengukuh dan memantapkan lagi badan itu berikutan pelantikan Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah dan Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi yang baru.
Ketika mengesahkan rombakan kecil itu, Ahmad Bashah berkata Mukhriz akan melepaskan jawatan bendahari Umno Kedah pada mesyuarat kali kedua badan itu disini Sabtu ini.
Jawatan Ketua Penerangan yang disandang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan jawatan Datuk Othman Aziz sebagai setiausaha kerja dijangka tidak berubah.
Bagaimanapun setiausaha Datuk Ir Nawawi Ahmad dijangka dilantik sebagai bendahari yang baru menggantikan tempat Mukhriz dan tempatnya dijangka diisi oleh muka baru.
Ahmad Bashah dilantik menggantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal manakala Mukhriz mengambil tempat Ahmad Bashah berkuatkuasa 1 Januari lepas.
"Saya telah membincangkan perubahan itu dengan Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak semasa perjumpaan dengan ketua-ketua Umno bahagian seluruh negara di Kuala Lumpur Sabtu lepas.
"Kita mengambil pandangan Presiden. Saya fikir semua ketua-ketua bahagian telah faham kehendak beliau...tunggulah Saya akan umum perubahan tersebut Sabtu ini," kata Ahmad Bashah.
Katanya mesyuarat Sabtu ini juga akan membincangkan secara mendalam pesanan Presiden Umno yang antaranya membuat persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan mengemaskan jentera parti.
Mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Melaka dan Kerdau, Pahang, beliau yakin Barisan Nasional (BN) mampu meraih majoriti lebih besar berdasarkan sikap pengundi sejak Najib menerajui kerajaan.
"Kepercayaan rakyat terhadap Najib juga boleh dilihat dengan sokongan rakyat terhadap Umno dan BN secara umum dan khususnya di Kedah. Kepercayaan rakyat inidapat dilihat melalui ucapan pemimpin-pemimpin pelbagai kaum selain mereka lebihrapat dengan BN masa kini," katanya. - BERNAMA