KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat sekiranya enam butir bom tangan yang ditemui di sebuah hotel murah di Brickfields baru-baru ini mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata bom tangan itu ditemui hasil serbuan oleh sepasukan polis ke atas hotel berkenaan pada kira-kira pukul 2.30 petang Rabu lepas.
"Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan setakat ini dan kes ini masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi malam Sabtu.
Katanya kes itu disiasat di bawah Akta Senjata Api dan Bahan Letupan 1957, dan beliau enggan mengulas lebih lanjut mengenai kes itu.
Sementara itu Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Pengganas) Ibupejabat Polis Bukit Aman Datuk Mohamad Fuzi Harun berkata siasatan dalaman mendapati bom tangan itu tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas, namun siasatan masih dijalankan. -BERNAMA