25 May, 2011

Ustaz Khazim : Jangan kaduk naik junjung

Secret Recipe nafi guna gelatin babi

MT siarkan di bawah kenyataan Secret Recipe menafikan produk mereka mengandungi DNA Babi sebagai mengimbangi berita sebelum ini.

Apapun mana-mana juga bakery harus mengelakkan terus dari mengguna produk 'whole egg powder' dan 'whole milk powder' keluaran Puratos. Bahan ini banyak digunakan dalam cream caramel.

SHAH ALAM – Secret Recipe menafikan khabar angin mengatakan produk keluaran syarikatnya mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi dalam dua bahan yang digunakan untuk ramuan kek keluaran mereka.

Eksekutif Halal Secret Recipe, Wan Zawani Wan Ahmad berkata, pihaknya kesal berlaku hebahan dalam beberapa blog yang memberitahu kedua-dua bahan yang dikenal pasti mengandungi gelatin babi.

“Kami amat kesal kejadian begini boleh berlaku walhal perkara ini langsung tidak terjadi di syarikat kami kerana kami sepenuhnya menggunakan bahan-bahan ramuan yang halal serta mendapat persijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Jika terdapat sebarang kemusykilan berhubung perkara ini, anda boleh berhubung terus dengan pihak kami di talian 03-78034891 dan berhubung dengan saya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Semalam, mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia mendedahkan penemuan mengejutkan iaitu asid deoksiribonukleik (DNA) babi di dalam bahan ramuan Whole Egg Powder dan Whole Milk Powder yang digunakan syarikat Puratos Malaysia Sdn. Bhd.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pula turut mendakwa bahan itu kini digunakan rangkaian kedai pembuat kek terkenal dalam produk mereka yang sebahagian besar pelanggan adalah masyarakat Islam.

Sementara itu, laman web milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyebut, mesyuarat yang diadakan pada 12 Mei lalu memutuskan permohonan Puratos Malaysia Sdn Bhd adalah tidak berjaya berikutan penemuan DNA babi berkenaan.

Zawani berkata, syarikatnya tidak pernah menggunakan bahan keluaran syarikat Puratos Malaysia Sdn. Bhd, sebaliknya menggunakan beberapa bahan diambil dari rangkaian syarikat sama yang beroperasi di Belgium.


“Kesemua bahan diambil di Belgium terlebih dahulu mendapat perakuan halal daripada Jakim. Malah, kita tidak ada kena mengena atau mengambil bahan ramuan dengan syarikat Puratos Malaysia Sdn. Bhd,” katanya.

Rumah tangga porak peranda kerana hutang kahwin

Harian Metro 2 Mac 2010

KUALA LUMPUR: Kegagalan pasangan melangsaikan hutang pernah dibuat untuk menghadapi kenduri besar sewaktu mula memasuki alam rumah tangga dikesan menjadi antara faktor penyumbang keretakan institusi perkahwinan.

Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Mohd Hidayat Abd Rani, berkata pihaknya mendapati memang ada kes cerai yang terbawa-bawa dengan masalah untuk membayar hutang terbabit.

Menurutnya, disebabkan hutang itu, ada pasangan mengungkit di kemudian hari dan secara tidak langsung memberi kesan kepada keharmonian rumah tangga.

“Kegagalan membayar hutang terbabit bukanlah faktor besar, cuma sampingan saja. Berdasarkan kes, kami dapati faktor utama perceraian di pihak suami ialah tidak bertanggungjawab, suami curang, berfoya-foya, mendera isteri dan panas baran.

“Di pihak isteri pula faktor ialah isteri ingkar perintah suami, kemudian isteri lari keluar rumah, tak bertanggungjawab iaitu tidak menjalankan tugas sebagai isteri dengan sempurna, termasuklah tidak patuh,” katanya.

Statistik nikah, cerai dan rujuk direkodkan Jais bagi tempoh sehingga Julai tahun lalu, menunjukkan 2,247 kes perceraian di Selangor, tidak termasuk kawasan Hulu Langat, manakala rujuk dengan 356 kes dan perkahwinan sebanyak 7,280 pasangan.

Bagi 2008, sebanyak 16,021 pasangan direkodkan melangsungkan perkahwinan manakala perceraian 4,069 kes, dengan rujuk 628 kes, meningkat berbanding tahun sebelumnya dengan 14,747 perkahwinan, 3,685 kes cerai dan 521 kes rujuk.

Mohd Hidayat berkata, pihaknya menyedari dengan angka kes perceraian yang masih kurang memuaskan dan untuk itu pelbagai usaha dilakukan, termasuk memperkenalkan program keluarga sakinah.

Katanya, program keluarga sakinah membabitkan lima modul dilancarkan Februari lalu dijangka dapat mengurangkan kadar perceraian sekali gus memperkasakan institusi perkahwinan pasangan Islam. “Modul program terbabit digarap dengan sempurna, menyentuh pelbagai aspek seperti akidah, kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat, kesan gejala sosial seperti akibat daripada perzinaan dan maqasid (kepentingan) syariah,” katanya.

“Pelaksanaannya bukan saja tertumpu di ibu pejabat Jais, tetapi turut diperluaskan ke semua pejabat agama daerah dan tidak hanya terbatas di masjid, malah boleh disampaikan di pelbagai institusi,” katanya.

Beliau berkata, Jais juga sentiasa mengalu-alukan kunjungan pasangan Islam yang menghadapi kemusykilan dan masalah di alam rumah tangga.

“Kami di seluruh negeri mempunyai unit khidmat nasihat bersedia menerima kehadiran mana-mana pasangan untuk mendapatkan kaunseling dan nasihat, supaya dapat mengekalkan keharmonian rumah tangga,” katanya.

Siapa yang menetapkan kos kahwin?

KUALA LUMPUR 24 Mei - Trend melewatkan perkahwinan, terutama di kalangan wanita berpendidikan tinggi bukan sahaja membawa implikasi negatif kepada institusi kekeluargaan malah turut merencatkan pembangunan negara.

Pensyarah Jabatan Sosiologi dan Antropologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Fatimah Daud berkata, trend negatif itu akan menyebabkan pembangunan sosial, ekonomi dan politik negara semakin lembap.

"Sekiranya trend ini berterusan, saya khuatir kadar kelahiran bayi di negara ini akan semakin menyusut dan kita tidak dapat menambah jumlah penduduk yang merupakan aset paling berharga.

"Negara kita tidak akan berkembang dengan jumlah penduduk sedia ada sekitar 26 juta orang sahaja. Kita perlu jumlah penduduk yang lebih ramai untuk membantu membangunkan negara.

"Perkara ini akan menimbulkan masalah kepada negara pada masa akan datang kerana kita bakal kekurangan tenaga kerja sehingga memaksa membawa masuk tenaga dari luar yang saya lihat merupakan satu pembaziran," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selain itu, menurut Fatimah, kos perbelanjaan perkahwinan yang tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit turut menjadi faktor penyumbang kepada trend tersebut.

Katanya, situasi itu mendorong golongan yang berhasrat untuk berkahwin membuat pinjaman daripada bank bagi menampung segala kos perbelanjaan.

"Paling tidak pun pasangan yang ingin berkahwin perlu menyediakan RM20,000. Ia merupakan antara sebab ramai yang membuat pinjaman bank untuk berkahwin.

"Kesannya pula, bebanan hutang bertambah kerana kadar bunga bagi pinjaman bank agak tinggi dan menjejaskan kehidupan pasangan selepas berkahwin," jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Datuk Ramani Gurusamy berpendapat, keinginan golongan wanita untuk memiliki kehidupan yang stabil menjadi faktor penyumbang trend itu semakin berleluasa. (Utusan)

Ramai anak dara tua

KUCHING 23 Mei – Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) memandang serius isu sosial yang berkaitan dengan trend melewatkan perkahwinan, terutama di kalangan wanita berpendidikan tinggi.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Dr. Anjli Doshi Gandhi berkata, fenomena itu boleh membawa implikasi kepada institusi kekeluargaan.

Beliau berkata, data terkini menunjukkan 30 peratus wanita di antara umur 25 dan 29 tahun belum berkahwin berbanding 25 peratus untuk lelaki di antara umur 30 dan 34 tahun yang masih bujang.

“Kami memberi perhatian serius trend perkahwinan yang semakin di lewatkan, khasnya di kalangan wanita yang memberi alasan bahawa mereka tidak ada calon yang sesuai,” katanya pada taklimat dan bual bicara Dasar Keluarga Negara (DKN) peringkat negeri Sarawak, yang di hadiri Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi lelaki pula, keadaan kewangan yang belum stabil adalah antara faktor yang menyebabkan lelaki dalam lingkungan umur awal 30-an belum berkahwin.

Sementara itu, Fatimah dalam ucapannya berkata satu pertiga dari 27.5 juta penduduk di negara ini terdiri daripada mereka yang berumur 15 tahun ke bawah dan akan memasuki usia perkahwinan menjelang 2020.

Beliau berkata, satu dasar yang komprehensif amat diperlukan dalam menghadapi cabaran pembangunan keluarga kerana golongan itu akan memberi kesan kepada penambahan isi rumah yang berlipat kali ganda dari jumlah sekitar 6.3 juta yang ada sekarang. – BERNAMA