SUNGAI
PETANI, 31 Jul: Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir
sependapat dengan pelbagai pihak bahawa filem 'The New Village' tidak
wajar ditayangkan jika ia mengagung-agungkan Parti Komunis Malaya (PKM).
Filem itu perlu disekat dan ditentang, sebaliknya filem seperti Tanda Putera, yang merupakan sejarah sebenar, patut dipertontonkan, katanya.
"Filem ini (Tanda Putera) perlu dihayati, khususnya dalam kalangan
golongan muda, sebagai menghargai jasa dan pengorbanan anggota
keselamatan yang berjuang mempertahankan tanah air," katanya semasa
berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri di Kem Lapangan
Terbang, dekat sini, malam tadi.
Mengenai sambutan Hari
Pahlawan hari ini, Mukhriz berharap agar rakyat mengenang dan menghargai
pengorbanan serta khidmat bakti anggota keselamatan yang berperanan
sebagai benteng pertahanan, menjaga keamanan serta kedaulatan tanah air.
"Peristiwa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, menyedarkan kita bahawa
keamanan yang dikecapi sejak sekian lama tidak boleh dipandang enteng,
diambil mudah. Mujur kita mempunyai pasukan keselamatan yang cekap,
bersemangat waja, sentiasa bersedia untuk berdepan dengan musuh tanpa
rasa gentar dan sanggup berjuang hingga ke titisan darah terakhir,"
katanya.
Beliau berkata walaupun ada suara-suara sumbang yang
memperlekeh perjuangan anggota keselamatan di Lahad Datu, baginya itu
hanya suara golongan yang tidak tahu bersyukur dan tidak pandai
berterima kasih.
"Rakyat amat terhutang budi dan menyanjungi
jasa dan pengorbanan anggota tentera dan bagi pihak kerajaan negeri,
saya mengucapkan terima kasih atas khidmat wira-wira kita," katanya.
Mukhriz berkata kemerdekaan negara, walaupun dikatakan dicapai tanpa
pertumpahan darah, namun liku-liku perjuangan ke arah kebebasan dan mempertahankan kemerdekaan, menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.
"Ketika rakyat tidur lena, anggota keselamatan bersengkang mata
mempertaruhkan nyawa, tidak tahu bila bom akan meledak atau bila peluru
akan menembusi dada, malamat mereka hanya untuk mempertahankan tanah
air.
"Walaupun negara terhindar daripada peperangan, negara
terbukti aman dan tenteram, namun peranan tentera tidak boleh dipandang
ringan. Komitmen mereka perlu bukan sahaja untuk mengawasi sempadan
negara atau menentang musuh dalam peperangan bahkan dalam menentukan
negara selamat daripada anasir-anasir yang mengancam ketenteraman rakyat
dan kestabilan negara," katanya.
Seramai 33 anak-anak yatim
dan 37 balu, anggota hilang upaya dan warga emas bekas tentera adalah
penerima sumbangan Aidilfitri itu.
-- BERNAMA