09 August, 2009

"Kemampuan saya ada, kekuatan saya ada cuma keberanian saya tidak ada" Tan Sri Zam

Artikel di bawah dipetik dari Mingguan Malaysia 9/8/2009 untuk renungan, pandangan dan jika mampu diamalkan.

Merbok Times pernah seketika dahulu keluar makan beramai-ramai bersama Datuk Zam, beliau pernah secara berseloroh digeletek soalan tentang poligami dan katanya dengan spontan "Kemampuan saya ada, kekuatan saya ada tetapi yang saya tidak ada ialah keberanian".

Kata-katanya disambut dengan gelak-ketawa rakan-rakan UMNO Merbok yang menyokong beliau ketika itu.

-------------------------------------------------------------------------------------------------
Membantu keluarga poligami

Oleh Hafizahril Hamid
mingguan@utusan.com.my

APABILA akhbar ini menyiarkan berita tentang penubuhan Kelab Poligami Ikhwan di Sungai Petani pada Ahad lepas pelbagai pandangan serta minat telah diutarakan oleh orang ramai. Kelab berkenaan yang menghimpunkan lelaki dan para isteri yang rela dimadu termasuklah di luar negara seperti Australia, Indonesia dan Thailand turut memberikan khidmat nasihat kepada orang ramai yang ingin memahami tentang amalan itu.

Setakat ini keahlian adalah terdiri dari pekerja di syarikat Global Ikhwan yang sebelum ini lebih dikenali sebagai Al-Arqam dan jika ramai ahli masyarakat yang berminat untuk menyertai kelab ini maka ia akan didaftar mengikut akta pertubuhan. Ahli kelab setakat ini terdiri daripada 300 suami, 300 isteri pertama dan 300 isteri kedua. Maka keahlian kini dianggarkan melebihi 1,200 orang

Mungkin ramai wanita di luar sana yang bimbang dan kurang senang dengan berita penubuhan kelab ini. Maka untuk memberi ruang dan berlaku adil kepada semua pihak penulis cuba mendapatkan pandangan dari pengasas kelab tersebut Hatijah Aam untuk mengulas mengenai penubuhan kelab poligami ini.

Ketika ditemui di ibu pejabat syarikat Global Ikhwan, di Bandar Country Homes, wanita berusia 54 tahun itu dengan tenang dan konsisten menerangkan apa sebenarnya matlamat penubuhan kelab berkenaan.

Bagi beliau kewujudan kelab ini bukan berniat untuk bermusuh dengan sesiapa dan bukan juga kehadiran mereka untuk mencari populariti.

''Tetapi kami berharap semua pihak faham terutama wanita bahawa poligami ini adalah satu jalan keluar yang yang dibenarkan dalam Islam,'' katanya.

Bagi mereka yang berminat, mereka akan diberikan kursus dan pemahaman tentang apa ertinya poligami. Kita perlu faham bahawa poligami bukan dilakukan untuk memenuhi tuntutan nafsu semata-mata, tetapi ia turut berkait dalam soal mendekatkan diri dengan Tuhan. Itu belum lagi mengambil kira soal kemampuan kewangan, mental, fizikal dan sebagainya.

''Pada awalnya tidak ada rancangan pun untuk buat kelab sehinggalah kami melihat adalah perlu satu alternatif diberikan kepada mereka yang memerlukannya.

''Ini kerana terlalu banyak kes-kes yang mengaibkan berlaku sekarang seperti rogol, sumbang mahram serta tumbuhnya rumah urut pusat pelacuran secara berleluasa. Maka kelab ini ditubuhkan sebagai satu alternatif dan jalan keluar," katanya.

Menurut Hatijah, jika dilihat masalah yang berlaku sekarang ini telah wujud sejak zaman jahiliah lagi maka Tuhan telah memberikan jalan bagaimana masalah ini dapat dihentikan. Maka apabila Rasulullah dan sahabat mempraktikkan poligami maka ia memberi pilihan kepada sesiapa yang mahu mengikutnya dan tidak ada paksaan dalam perkara ini.

''Maka adalah jelas kenapa orang jahiliah itu tenggelam dengan kejahilan mereka maka Islam sebagai sebuah agama yang lengkap membenarkan poligami. Jika kita melihat keadaan sekarang harus diakui dengan mengamalkan poligami mampu menyelesaikan sedikit sebanyak masalah sosial yang semakin menakutkan sekarang.

''Kegiatan pelacuran dapat dihentikan, masalah seperti sumbang mahram tidak berlaku dan orang ramai terutama lelaki tidak lagi perlu ke rumah urut kerana para isteri- isteri mereka memenuhi tuntutan yang mereka mahukan. Oleh itu, bagi orang Islam mereka mendapat satu jalan keluar kepada masalah sosial ini dan terpulang kepada mereka untuk mempraktikkannya,'' kata beliau.

Katanya lagi, kita sering sahaja mendengar tentang masalah antara seorang lelaki yang jatuh cinta kepada wanita lain tetapi pada masa yang sama tetap sayang kepada isterinya. Maka kedengaranlah masalah isteri tidak setuju tetapi lelaki dan wanita berkenaan tidak ada sebarang masalah untuk berkahwin. Maka timbul keadaan di mana semua pihak ini berada dalam dilema.

"Sebenarnya apakah tidak ada penyelesaian kepada masalah sebegini. Sebenarnya ada penyelesaian kepada masalah ini. Kenapa Rasulullah dan sahabat boleh melakukannya dan kita seolah-olah tidak faham dan melihat perkara ini dengan mendalam mesti ada sebab kenapa ia dibenarkan," katanya.

Ujar Hatijah lagi, terlalu banyak faedah yang diperolehi oleh mereka yang berminat menyertai kelab ini kerana kami melakukannya kerana Allah.

"Atas nama Islam, poligami ini ialah perkara yang halal dan indah. Untuk menghalang pihak lelaki daripada melakukan poligami adalah sukar, maka kelab ini adalah jalan terbaik untuk mereka yang memerlukannya.

"Bukanlah niat kami untuk mengajak semua orang menyertainya tetapi ada di antara mereka di luar sana yang memerlukannya dan pihak kami hanya mahu memberi panduan dan jalan untuk mereka,'' kata Hatijah.

Dari sudut kekeluargaan pula seorang ayah mempunyai ketokohan kepimpinan dalam keluarga dan jika ahli keluarga ramai maka ia akan membantu meningkatkan ekonomi. Dan itulah yang berlaku di Global Ikhwan di mana anak-anak hasil daripada perkahwinan poligami bertanggungjawab menggerak dan mengurus perniagaan.

Bagi Hatijah kelab itu mahu memperjuangkan poligami sebagai satu jalan keluar kepada masalah yang sering berkait dengan poligami serta masalah- masalah sosial yang berlaku sekarang.

''Selain itu kami bertanggungjawab untuk memberi kefahaman kepada isteri dan wanita bagaimana untuk menerimanya.

"Saya sendiri dan madu saya pun mula-mula dahulu bukannya boleh duduk dekat, tetapi kerana apa yang dilakukan ini untuk Allah maka kami diberikan hidayah untuk berkongsi dan bekerjasama antara satu sama lain.

"Namun saya faham bukan semua setuju tentang poligami namun bagi kami yang telah merasai kemanisannya, semua ini adalah hasil dari pendidikan, ilmu dan pengalaman yang akhirnya membuat kami mengubah tanggapan tentang poligami,'' katanya.

Namun beliau berasa hairan kenapa poligami ini yang dibenarkan dalam Islam dianggap sebagai sesuatu yang hina.

''Kenapa pusat maksiat seperti pelacuran, kelab malam rumah urut boleh dibenarkan beroperasi tetapi kami yang mahu memperjuangkan perkara yang dibenarkan dalam Islam dipandang serong dan tidak diberi laluan.

"Kami hanya mengajak mereka yang mahu mengamalkan poligami dan kami tidak memaksa sesiapa dan kami tidak berniat untuk menyakitkan sesiapa. Insya-Allah kami mengharapkan sokongan dari semua pihak masyarakat dari yang di peringkat atasan hinggalah masyarakat seluruhnya," ujarnya.

Menurut Hatijah, selepas majlis pelancaran kelab ini di Sungai Petani pada 2 Ogos, pelancaran kelab poligami peringkat Asia dijangka diadakan di Kuala Lumpur pada 16 Ogos depan.

''Kepada golongan masyarakat yang merasakan mereka memerlukan poligami, mereka boleh menyertai kelab ini bukan sahaja untuk mengetahui lebih lanjut tetapi mendapatkan nasihat dan pandangan bagaimana bahagianya poligami,'' katanya.

Bagi Hatijah, beliau percaya Tuhan bukan berniat jahat dalam membenarkan poligami diamalkan di kalangan umat Islam.

"Kita umpamakan ia seperti sembahyang, ada peraturan, teknik dan cara yang betul untuk mendapat keberkatan. Begitu juga dalam poligami ada caranya dan bukan semua mampu memenuhi tuntutan dan cara betul supaya diberkati,'' kata beliau.

Komen

Menurut Hatijah, banyak komen mengatakan tentang poligami, ia diamalkan kerana mengikut sunah nabi tapi dalam perkara lain yang diamalkan nabi kenapa mereka tidak mahu mengikutnya.

''Pihak lelaki yang mahu mengamalkan poligami haruslah terdiri daripada mereka yang bertanggungjawab serta dekat pula dirinya dengan perintah dan arahan Tuhan. Saya juga faham kenapa ada wanita yang rela tidak berkahwin dengan suami orang kerana takut dikatakan merampas suami orang.

''Dalam sejarah pun telah dinyatakan bagaimana Rabiatul Adawiyah menolak pinangan Imam Hassan Al Basri kerana takut terganggu urusan dan amalannya dengan Allah jika beliau berkahwin. Ini adalah satu contoh yang sangat hebat dan mungkin tidak ada lagi mereka yang mampu melakukannya,'' kata Hatijah.

Selain itu, beliau juga meminta mereka yang sering melaungkan hasrat dan tindakan memperjuang dan membela nasib wanita agar turut sama membantu usaha kelab poligami.

"Poligami ini bukanlah sesuatu yang keji dan tidak semua wanita yang terlibat dalam poligami tidak bahagia. Malah ramai di antara kami kini menemui kebahagiaan sebenar dalam hidup walaupun mereka ini terlibat dalam poligami dan semua ini berlaku dengan ketentuan Allah disertai usaha dan niat yang murni untuk menegakkan dan mencari keredaan Tuhan," kata Hatijah mengakhiri bicara.