26 August, 2011

Apa cerita dengan UMNO Bahagian Padang Serai, Kedah?

PADANG SERAI: Ketua Umno Bahagian Padang Serai Abdul Rahman Mahamud telah melepaskan jawatannya itu baru-baru ini selepas dinasihatkan berbuat demikian.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata Abdul Rahman telah melepaskan jawatan itu berikutan nasihat pucuk pimpinan parti atas sebab-sebab kepentingan parti tetapi masih kekal sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Merbau Pulas.

Ahmad Bashah bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai sebab-sebab yang membawa kepada peletakan jawatan itu.

"Inilah satu keindahan pada pentadbiran Umno, tiada penyisihan sepenuhnya terhadap bekas ketua bahagian itu kerana pucuk pimpinan masih menghargai khidmat dan dedikasi beliau terhadap rakyat dan parti selama ini," katanya kepada Bernama selepas majlis Iftar Ramadan dan penyampaian bantuan Aidilfitri anjuran Umno Bahagian Padang Serai di Masjid Sungai Karangan di sini malam Khamis. (sumber mStar)

22 August, 2011

Umur 16 tahun sudah pandai berkhalwat

LANGKAWI: Dua pasangan di bawah umur telah ditahan di sebuah hotel di sini baru-baru ini kerana didakwa berkhalwat.

Pasangan yang berusia 16 tahun di tangkap di dalam bilik sebuah hotel pada jam 03:45 pagi hari Jumaat berdekatan pejabat Jabatan Agama Islam Langkawi.

Pegawai penyiasat Muhammad Hidayat Halim berkata kedua kanak-kanak lelaki masih bersekolah di tingkatan empat di salah sebuah sekolah menengah di sini manakala dua kanak-kanak perempuan tersebut adalah pelajar tercicir.

"Mereka pada mulanya mendakwa menunggu untuk bersahur tetapi kemudian mengakui bahawa mereka telah mengadakan hubungan seks," katanya.
(sumber NST)

21 August, 2011

Kisah rutin menjelang Syawal.

Oleh Muhd Amirul Faiz Ahmad
2011/08/21

KAJANG: “Mak cik terkilan hasrat nak menumpang untuk sepinggan nasi bersama anak seorang pun tidak kesampaian, lebih baik mak cik bawa diri ke sini daripada terus makan hati dengan sikap dia dan menantu,” luah Masitah (bukan nama sebenar) sambil menitiskan air mata yang tidak mampu ditahan.

Warga tua berusia 65 tahun dan berasal dari Taiping, Perak itu berkata sebelum menjadi penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK), dia mengambil upah bekerja di estet getah dan kelapa sawit selama lebih 30 tahun.

Berkat hasil titik peluhnya, dia mampu memiliki seutas rantai emas berharga RM4,000 untuk dijadikan satu-satunya harta miliknya.

“Selama 30 tahun mak cik kumpul sikit demi sikit duit nak membeli rantai itu, tapi anak perempuan mak cik dengan senang mengambilnya daripada mak cik. Bila mak cik tanya dia dan menantu, semua acuh tak acuh dengan menjawab ‘tak tahu’, mak cik tak bodoh, nak.

“Kenapa mereka buat perkara seperti itu, sembilan bulan makcik kandung dia, sebelum ini pun dia ada buat perkara menyinggung hati tapi mak cik maafkan, apa salah makcik,” katanya kepada Berita Minggu, semalam.

Sambil mengesat air matanya, Masitah dengan nada sebak berkata sanggup memaafkan kesalahan anak perempuan tunggalnya itu jika dia datang menjenguknya di RSK, namun anaknya yang tinggal di ibu negara itu tidak pernah menyusun tangan memohon maaf apatah lagi mempelawanya pulang ke rumah.

Ditanya apakah dia mengharapkan anaknya akan datang menjenguk pada Aidilfitri ini, Masitah sambil air matanya bergenang, menjawab ‘mak cik tidak kisah kerana di sini, saya senang dan gembira bersama rakan lain.’

“Kalau dia nak datang, datanglah. Kalau tidak datang pun makcik dah tidak kisah, mak cik hanya fikirkan satu benda saja, iaitu nak mati. Selain itu, mak cik sudah tidak ambil peduli,” katanya.

Masitah yang menjadi penghuni RSK sejak 2008 berkata, anak dan menantunya tidak pernah menghantarnya ke rumah perlindungan terbabit, tetapi dia sendiri meminta untuk menjadi salah seorang penghuni di sini kerana terkilan atas sikap serta layanan anak dan menantunya.

Dia juga menasihatkan masyarakat agar sentiasa menjaga hati ibu dan ayah kerana kasih sayang yang dilimpahkan kepada mereka tiada tolak bandingnya dan tetap kekal sampai ke akhir hayat.

17 August, 2011

Ahli Parlimen Merbok turun padang

MERBOK – “Ia satu kelainan yang tak pernah dibuat oleh orang lain. Saya rasa seronok apabila melihat respons penduduk dan terasa seperti nak anjur lagi masa akan datang,” kata Ahli Parlimen Merbok, Datuk Rashid Din.

Beliau berkata demikian ketika turun padang untuk menyampaikan sumbangan kepada penerima terpilih di kawasan Parlimen Merbok diiringi Angkatan Muda Keadilan Cabang Merbok dan Majlis Ketua Kampung/Komuniti yang dijalankan dalam waktu sahur dengan kerjasama Sinar Harian Utara.

Melihatkan reaksi penerima sumbangan yang jelas gembira dengan kehadiran kami walaupun jam menunjukkan 2 atau 3 pagi, membuatkan skuad Jom Sahur lebih bersemangat walaupun terpaksa mengetuk pintu dalam keadaan gelap dan sunyi.

Destinasi pertama setelah berkumpul di Petronas Bandar Laguna Merbok jam 12.30 tengah malam, kami terus ke Kampung Bukit Acheh, Merbok untuk melawat dua keluarga termasuk dua beranak yang berstatus ibu tunggal iaitu keluarga Aishah Nur, 93, dan anaknya Chahina Ibrahim, 52, serta keluarga Mohd Zahir Abdullah, 41, bersama isteri dan empat anak.

Mohd Zahir berkata, ini merupakan sejarah pertama yang pernah dialami iaitu wakil rakyat turun padang menyampaikan sumbangan dalam waktu sahur.

Kemudian, konvoi meneruskan perjalanan ke rumah pasangan Sariah Senapi, 55, dan Kamaradin Abd Rahman, 57, di Kampung Merbok.

Kamaradin yang bertugas memandikan jenazah mempunyai lapan orang anak bersyukur dengan kehadiran pemimpin dan :Sinar Harian: yang diketuai Pengurus Kanan Operasi Sinar Harian Utara, Rusmin Fadzil selain berhasrat akan mencuba keenakan kurma rangup tajaan Kurma Abdul Ghaffar yang disumbangkan kepada mereka.

Seterusnya konvoi bertemu Zawati Ismail, 47, dan Nazir Abu Bakar, 47, bekerja sebagai penjual ikan di samping melakukan kerja sampingan sebagai mekanik motosikal klasik.

Nazir berkata, kunjungan yang dilakukan jam 2.09 pagi itu adalah sesuatu yang luar biasa namun gembira kerana terpilih dalam program berkenaan.

“Elok juga datang waktu malam dalam bulan puasa sebab waktu siang semua orang sibuk dengan hal masing-masing keluar bekerja dan ke sekolah.

“Kami juga ucapkan terima kasih dengan kehadiran konvoi membawa buah tangan yang cukup bermakna,” katanya.

Konvoi Jom Sahur dan Penyampaian Sumbangan yang mendapat kerjasama daripada Petronas Tok Kangar, AZ-one Marketing dan Kurma Abdul Ghaffar itu seterusnya terus ke destinasi terakhir iaitu melawat seorang tukang urut warga emas yang juga berstatus ibu tunggal menetap seorang diri di Kampung Merbok.

Penerima, Robiah Husin, 81, berkata, kunjungan itu amat bermakna kerana di samping dapat mengenali antara satu sama lain, ia juga boleh dijadikan medan meluahkan masalah penduduk secara langsung.

“Saya kematian suami sejak 25 tahun lalu dan mempunyai seorang anak lelaki yang juga telah meninggal dunia.

:“Kini hanya berkongsi suka-duka bersama menantu, tujuh cucu dan 13 cicit yang datang sesekali menjenguk,” katanya.

Dalam pertemuan sama, Robiah juga memohon kepada Rashid untuk membaik pulih bumbung yang sudah lama bocor.

Konvoi yang ditaja oleh Ahli Parlimen dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Merbok itu turut menikmati sahur di rumah Robiah berlaukkan telur masin, kerang bakar, gulai ikan, papadum, udang masak kunyit dan pekasam goreng yang cukup menyelerakan.

Sebelum bersurai, peserta program sempat merakamkan gambar kenangan di rumah Robiah sebelum beredar jam 4 pagi. (SH)

11 August, 2011

Hari ini perompak dan penyamun sudah tidak kira siapa.

SUNGAI PETANI - Ketua UMNO Bahagian Merbok Datuk Tajul Urus Md. Zain kerugian RM6,000 apabila cermin kenderaan Toyota Harrier miliknya dipecahkan pencuri yang kemudian melarikan beberapa barangan berharga dalam kejadian di luar pagar rumahnya di Lagenda Heights di sini pagi ini.

Selain kerugian akibat cermin kereta yang dipecahkan, beliau turut kehilangan sebuah komputer riba, kamera dan iPad 2 yang diletakkan dalam kenderaan itu.

Tajul Urus memberitahu pemberita di rumahnya hari ini bahawa beliau menyedari kejadian itu pada 7 pagi tadi ketika menemani anaknya yang hendak ke sekolah keluar rumah.

Katanya, beliau telah memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumahnya dan mendapati kejadian kecurian itu dilakukan oleh dua individu yang tidak dikenali pada 6.39 pagi tadi.

"Dua lelaki itu keluar dari sebuah kereta, seorang memakai topi keledar untuk tutup muka dan seorang lagi memakai pakaian serba hitam, oleh itu saya tidak dapat mengecam muka mereka.

"Mereka pecah cermin belakang kereta saya dan cermin sebelah tempat pemandu. Saya percaya kecurian ini didalangi oleh tiga orang semuanya sebab seorang lagi hanya tunggu dalam kereta sebagai pemandu,” katanya.

- Bernama

10 August, 2011

Bukan semua Professor itu cerdik berpolitik

Seorang Professor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Prof Dr Ariffin Omar telah mengambil keputusan untuk menyertai DAP.

Katanya DAP adalah sebuah parti yang berjuang untuk semua kaum. "Saya telah mengkaji sejarah parti itu selama beberapa dekad. Saya percaya masa depan Malaysia adalah selamat dengan pihak seperti DAP" katanya lagi.

Dalam sidang yang sama Setiausaha agung parti, Lim Guan Eng berkata kemasukan Prof Ariffin adalah salah satu kejayaan usaha DAP untuk merekrut lebih ramai Melayu menyertai DAP. Apakah Guan Eng ingin memelayukan DAP?

Nampaknya bukan semua Professor itu cerdik. Ada juga yang bertitlekan Professor gagal dalam berpolitik kerana melihat terlalu ramai orang kampung yang bodoh dan mereka sahaja yang bijak.

02 August, 2011

Tokak menokak dalam UMNO Kedah tidak ada noktah

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

BARU-baru ini dalam satu pertemuan, seorang pemimpin veteran UMNO memberitahu penulis bahawa Kedah merupakan salah sebuah negeri yang Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk merampasnya kembali daripada pembangkang.

Pelbagai kemelut yang melanda pentadbiran kerajaan negeri di bawah Pas kini memungkinkan BN mempunyai harapan untuk meraih kembali sokongan rakyat di negeri Jelapang padi tersebut.

Namun begitu persoalan yang bermain di fikiran banyak pihak termasuk pemimpin veteran tersebut ialah sejauh manakah pemimpin-pemimpin UMNO dan BN di Kedah benar-benar bersedia untuk melunaskan misi berkenaan.

Semua orang Kedah tahu, Pas yang dibantu oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tidaklah sehebat mana di negeri berkenaan.

Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kedah, pada Khamis lalu dikatakan banyak menyuntik semangat dan memberikan isyarat kepada rakyat Kedah bahawa mereka perlu menyokong BN.

Keprihatinan Perdana Menteri yang bersedia meluangkan masa melakukan tinjauan mesra dan meluluskan peruntukan sebagai RM1.12 juta bagi membina sebuah masjid di Taman Wira Mergong, di Alor Setar turut membantu meningkatkan imej BN.

Tetapi soalnya, sejauh manakah UMNO dan BN Kedah di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Bashah Md.Hanipah mampu merebut peluang untuk memastikan sokongan rakyat kembali kepada parti berkenaan.

Ketika berbual-bual dengan seorang pemimpin UMNO Kedah di Kuala Lumpur baru-baru ini, penulis mendapati terlalu banyak kelemahan yang perlu diperbaiki oleh Ahmad Bashah dan pemimpin parti berkenaan jika mereka mahu menegakkan kembali panji-panji BN di negeri itu.

Perkara yang paling ketara ialah sehingga kini biar pun Kedah sudah jatuh ke tangan pembangkang masih belum ada kesedaran di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO untuk berhenti berpolitik sesama mereka.

Sama ada hendak diakui atau tidak berdasarkan maklumat yang diterima oleh penulis, daripada keseluruhan 15 bahagian UMNO di Kedah, 10 daripadanya bermasalah. Ia berpunca daripada politiking sesama sendiri - satu 'penyakit' yang tidak pernah mampu diubati dalam UMNO sejak dulu lagi.

Mungkin akan ada pemimpin UMNO akan menganggap tulisan ini ibarat membuka pekung di dada atau satu rekaan tetapi hakikat tetap hakikat, fakta tetap fakta.

Pemimpin-pemimpin UMNO Kedah perlu insaf bahawa mereka bukan pemerintah di negeri berkenaan tetapi pembangkang, oleh itu sikap dan tindakan serta semangat perlu berteraskan kepada keazaman untuk merampas kembali negeri itu daripada Pas, PKR dan DAP.

''Masalah utama ialah hendak mencari calon, kita kena akui sampai sekarang belum ada calon yang paling sesuai bagi memenuhi apa yang dipanggil 'calon boleh menang' seperti mana dikehendaki oleh Perdana Menteri,'' kata pemimpin UMNO tersebut.

Keadaan menjadi bertambah rumit apabila masalah dalaman di 10 bahagian berkenaan masih juga tidak selesai-selesai, biar pun UMNO sudah jadi pembangkang di Kedah.

Masing-masing masih lagi hendak 'mempromosikan' diri sendiri dan merasakan paling layak untuk menjadi calon, biarpun ada antara mereka yang ditafsirkan, ''umum nama sahaja pun dah kalah.''

Kesudahannya di sesetengah bahagian yang bermasalah ini wujud sekurang-kurangnya enam 'war lord' yang mempunyai pengikut masing-masing iaitu ketua bahagian, timbalan ketua bahagian, naib ketua, ketua Wanita, ketua Pemuda dan ketua Puteri.

Justeru jika salah seorang dipilih sebagai calon belum tentu yang lain akan menyokong sebaliknya akan wujudnya apa yang orang Kedah panggil 'das kaki' atau orang Kelantan kata 'cah keting'.

Walaupun perbalahan ini tidaklah begitu ketara 'di permukaan' tetapi rakyat di kawasan-kawasan terlibat amat memahami kemelut yang berlaku justeru semua itu hanya merugikan UMNO dan BN.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila ada dakwaan bahawa Ahmad Bashah sebagai pengerusi perhubungan UMNO negeri tidak mempunyai cengkaman bagi mengatasi kemelut yang berlaku. Malahan Ahmad Bashah juga dikatakan terlalu bergantung kepada pucuk pimpinan parti untuk melaksanakan sesuatu program.

Ahmad Bashah dan seluruh kepimpinan Kedah perlu menunjukkan kesungguhan untuk merampas negeri itu daripada Pas.

Setakat ini kita memuji kelantangan UMNO Kedah mendedahkan kepincangan pentadbiran Kerajaan Pas tetapi ia belum mencukupi bagi menjana kemenangan, jika di dalam UMNO sendiri masih ada kelemahan yang tidak diperbaiki.

Kita yakin sebagai seorang yang cukup berpengalaman dalam berpolitik, Ahmad Bashah mampu mengendalikan keadaan, apa yang diperlukan daripada beliau ialah keberanian membuat keputusan dan bertindak.

Jika benar pemimpin-pemimpin UMNO dan BN di Kedah mahu menang dalam pilihan raya mereka perlu bersatu padu dan mengukuhkan perpaduan sesama mereka.

Tindakan bertelingkah dalam mesyuarat bahagian adalah sesuatu perbuatan yang memalukan kerana UMNO bukannya pemerintah tetapi pembangkang.

Kalau berada dalam kedudukan pembangkang pun masih belum mahu insaf lagi, apakah pemimpin UMNO Kedah hanya akan sedar apabila parti itu terus ditolak selama-lamanya di negeri berkenaan?

Oleh itu adalah wajar jika pemimpin-pemimpin UMNO Kedah memahami cabaran besar yang ada di hadapan mereka, bersatulah dalam satu barisan dan perkukuhkanlah kedudukan.

Banyakkan program-program untuk memenangi hati rakyat seperti mana diusahakan oleh Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Janganlah pemimpin UMNO Kedah hanya bijak mengatur strategi untuk menjatuhkan lawan politik daripada parti sendiri tetapi beku mindanya dalam menumbangkan pembangkang.

Satu fakta yang harus difahami ialah pembangkang tidaklah sekuat mana di Kedah dan senario 2008 tidak lagi menghantui BN sehingga memungkinkan rakyat akan terus menolak parti itu.

Justeru inilah kesempatan terbaik kepada UMNO Kedah untuk bangkit semula dan ia hanya akan tercapai jika pemimpin-pemimpin parti itu bak kata salah seorang daripada mereka menyingkirkan tindakan'marahkan dua ekor nyamuk, satu kelambu dibakar'.

Apakah maksud tindakan berkenaan? Terserahlah kepada pemimpin-pemimpin UMNO di Kedah memikirkannya, apa yang pasti selagi mereka tidak meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya, bukan kata 'kelambu', bilik tidur pun boleh hangus bersama-sama akibat 'panas bahang' politiking sesama sendiri.