21 August, 2011

Kisah rutin menjelang Syawal.

Oleh Muhd Amirul Faiz Ahmad
2011/08/21

KAJANG: “Mak cik terkilan hasrat nak menumpang untuk sepinggan nasi bersama anak seorang pun tidak kesampaian, lebih baik mak cik bawa diri ke sini daripada terus makan hati dengan sikap dia dan menantu,” luah Masitah (bukan nama sebenar) sambil menitiskan air mata yang tidak mampu ditahan.

Warga tua berusia 65 tahun dan berasal dari Taiping, Perak itu berkata sebelum menjadi penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK), dia mengambil upah bekerja di estet getah dan kelapa sawit selama lebih 30 tahun.

Berkat hasil titik peluhnya, dia mampu memiliki seutas rantai emas berharga RM4,000 untuk dijadikan satu-satunya harta miliknya.

“Selama 30 tahun mak cik kumpul sikit demi sikit duit nak membeli rantai itu, tapi anak perempuan mak cik dengan senang mengambilnya daripada mak cik. Bila mak cik tanya dia dan menantu, semua acuh tak acuh dengan menjawab ‘tak tahu’, mak cik tak bodoh, nak.

“Kenapa mereka buat perkara seperti itu, sembilan bulan makcik kandung dia, sebelum ini pun dia ada buat perkara menyinggung hati tapi mak cik maafkan, apa salah makcik,” katanya kepada Berita Minggu, semalam.

Sambil mengesat air matanya, Masitah dengan nada sebak berkata sanggup memaafkan kesalahan anak perempuan tunggalnya itu jika dia datang menjenguknya di RSK, namun anaknya yang tinggal di ibu negara itu tidak pernah menyusun tangan memohon maaf apatah lagi mempelawanya pulang ke rumah.

Ditanya apakah dia mengharapkan anaknya akan datang menjenguk pada Aidilfitri ini, Masitah sambil air matanya bergenang, menjawab ‘mak cik tidak kisah kerana di sini, saya senang dan gembira bersama rakan lain.’

“Kalau dia nak datang, datanglah. Kalau tidak datang pun makcik dah tidak kisah, mak cik hanya fikirkan satu benda saja, iaitu nak mati. Selain itu, mak cik sudah tidak ambil peduli,” katanya.

Masitah yang menjadi penghuni RSK sejak 2008 berkata, anak dan menantunya tidak pernah menghantarnya ke rumah perlindungan terbabit, tetapi dia sendiri meminta untuk menjadi salah seorang penghuni di sini kerana terkilan atas sikap serta layanan anak dan menantunya.

Dia juga menasihatkan masyarakat agar sentiasa menjaga hati ibu dan ayah kerana kasih sayang yang dilimpahkan kepada mereka tiada tolak bandingnya dan tetap kekal sampai ke akhir hayat.

No comments:

Post a Comment

(Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.