MERBOK – “Ia satu kelainan yang tak pernah dibuat oleh orang lain. Saya rasa seronok apabila melihat respons penduduk dan terasa seperti nak anjur lagi masa akan datang,” kata Ahli Parlimen Merbok, Datuk Rashid Din.
Beliau berkata demikian ketika turun padang untuk menyampaikan sumbangan kepada penerima terpilih di kawasan Parlimen Merbok diiringi Angkatan Muda Keadilan Cabang Merbok dan Majlis Ketua Kampung/Komuniti yang dijalankan dalam waktu sahur dengan kerjasama Sinar Harian Utara.
Melihatkan reaksi penerima sumbangan yang jelas gembira dengan kehadiran kami walaupun jam menunjukkan 2 atau 3 pagi, membuatkan skuad Jom Sahur lebih bersemangat walaupun terpaksa mengetuk pintu dalam keadaan gelap dan sunyi.
Destinasi pertama setelah berkumpul di Petronas Bandar Laguna Merbok jam 12.30 tengah malam, kami terus ke Kampung Bukit Acheh, Merbok untuk melawat dua keluarga termasuk dua beranak yang berstatus ibu tunggal iaitu keluarga Aishah Nur, 93, dan anaknya Chahina Ibrahim, 52, serta keluarga Mohd Zahir Abdullah, 41, bersama isteri dan empat anak.
Mohd Zahir berkata, ini merupakan sejarah pertama yang pernah dialami iaitu wakil rakyat turun padang menyampaikan sumbangan dalam waktu sahur.
Kemudian, konvoi meneruskan perjalanan ke rumah pasangan Sariah Senapi, 55, dan Kamaradin Abd Rahman, 57, di Kampung Merbok.
Kamaradin yang bertugas memandikan jenazah mempunyai lapan orang anak bersyukur dengan kehadiran pemimpin dan :Sinar Harian: yang diketuai Pengurus Kanan Operasi Sinar Harian Utara, Rusmin Fadzil selain berhasrat akan mencuba keenakan kurma rangup tajaan Kurma Abdul Ghaffar yang disumbangkan kepada mereka.
Seterusnya konvoi bertemu Zawati Ismail, 47, dan Nazir Abu Bakar, 47, bekerja sebagai penjual ikan di samping melakukan kerja sampingan sebagai mekanik motosikal klasik.
Nazir berkata, kunjungan yang dilakukan jam 2.09 pagi itu adalah sesuatu yang luar biasa namun gembira kerana terpilih dalam program berkenaan.
“Elok juga datang waktu malam dalam bulan puasa sebab waktu siang semua orang sibuk dengan hal masing-masing keluar bekerja dan ke sekolah.
“Kami juga ucapkan terima kasih dengan kehadiran konvoi membawa buah tangan yang cukup bermakna,” katanya.
Konvoi Jom Sahur dan Penyampaian Sumbangan yang mendapat kerjasama daripada Petronas Tok Kangar, AZ-one Marketing dan Kurma Abdul Ghaffar itu seterusnya terus ke destinasi terakhir iaitu melawat seorang tukang urut warga emas yang juga berstatus ibu tunggal menetap seorang diri di Kampung Merbok.
Penerima, Robiah Husin, 81, berkata, kunjungan itu amat bermakna kerana di samping dapat mengenali antara satu sama lain, ia juga boleh dijadikan medan meluahkan masalah penduduk secara langsung.
“Saya kematian suami sejak 25 tahun lalu dan mempunyai seorang anak lelaki yang juga telah meninggal dunia.
:“Kini hanya berkongsi suka-duka bersama menantu, tujuh cucu dan 13 cicit yang datang sesekali menjenguk,” katanya.
Dalam pertemuan sama, Robiah juga memohon kepada Rashid untuk membaik pulih bumbung yang sudah lama bocor.
Konvoi yang ditaja oleh Ahli Parlimen dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Merbok itu turut menikmati sahur di rumah Robiah berlaukkan telur masin, kerang bakar, gulai ikan, papadum, udang masak kunyit dan pekasam goreng yang cukup menyelerakan.
Sebelum bersurai, peserta program sempat merakamkan gambar kenangan di rumah Robiah sebelum beredar jam 4 pagi. (SH)