ALOR SETAR 11 Jun - Kerajaan negeri perlu  melakukan penjenamaan 
semula terhadap Kolej  Universiti Insaniah (Kuin) bagi memastikan 
kelangsungannya termasuk menjadi institusi  pengajian tinggi terkemuka 
dunia.
Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu  Semenanjung (GPMS) Kedah, Shamsul 
Bahar  Abd. Rani berkata, Kuin seperti awal  penubuhannya harus 
memberikan penumpuan  dalam bidang tertentu agar penjenamaan baharu  itu
 dapat dijanakan dengan berkesan.
Katanya, kolej universiti itu mempunyai kekuatan  tersendiri menerusi
 penawaran khusus dalam  bidang tertentu termasuk pembangunan  
penyelidikan.
''Kuin tidak perlu menawarkan khusus yang terlalu  banyak, sebaliknya
 memberikan tumpuan dalam  bidang tertentu yang mana apabila orang  
bercakap tentang Kuin, akan terbayangkan  perkara itu dan inilah 
kekuatan Kuin. 
''Tidak perlu terlalu banyak kursus kerana ini akan  membantutkan 
penjenamaan semulanya,''  katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau menambah, Kuin merupakan imej dan  reputasi pendidikan di 
Kedah yang bukan sahaja  perlu dipertahankan, malah diangkat menjadi  
universiti tersohor dunia.
Katanya, GPMS juga mencadangkan agar  pengurusan Kuin memberikan 
keutamaan kepada  rakyat Kedah untuk mengisi jawatan utama, selain  
pensyarah dan pentadbir.
''Mereka yang berstatus pakar yang berasal dari  Kedah juga perlu 
diberi peluang untuk berkhidmat  dan memberikan idea kepada pembangunan 
Kuin.  GPMS yakin ramai dalam kalangan profesional  yang berada di luar 
Kedah sedia membantu  memajukan Kuin,'' katanya.
Katanya, GPMS mengalu-alukan sebarang usaha  kerajaan negeri 
memastikan Kuin terus kekal  beroperasi dan seterusnya  melahirkan 
graduan  berkualiti.
''GPMS mengalu-alukan tindakan kerajaan negeri  menubuhkan 
jawatankuasa untuk mencadangkan  penambahbaikan untuk kemajuan Kuin dan 
kita  sedia berkerjasama dalam memberikan buah  fikiran berkaitan.
''Jawatankuasa tersebut perlu diberikan tempoh  masa tertentu untuk 
melakukan kajian agar tidak  mengambil masa terlalu lama,'' katanya.
Kata beliau, pihaknya berharap kerajaan Kedah  mengambil tindakan 
bijaksana dan proaktif dalam  menguruskan beban hutang Kuin sebanyak  
RM330 juta agar tidak membebankan kerajaan  negeri. - UTUSAN ONLINE
 
 
