29 March, 2010

PERKASA mempamirkan 3G.

Sejak melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO Tun Mahathir tidak lagi kelihatan berucap di hadapan perhimpunan Melayu yang ramai. Hanya perhimpunan-perhimpunan kecil diadakan atas jemputan tertentu sahaja.

Tetapi pada 27/3/2010 Tun Mahathir kelihatan berucap hebat dalam perhimpunan Pertubuhan Peribumi Perkasa atau PERKASA.

Walaupun menurut beliau ada beberapa pihak yang menasihati supaya beliau jangan hadir di dalam perhimpunan itu tetapi ternyata Tun M tidak makan nasihat. Mungkin beliau lebih pengalaman kerapkali yang merosakan pemimpin hari ini ialah kerana mendapat nasihat yang tidak sihat. Pak Lah adalah contoh yang terbaik yang mendapat nasihat yang salah dari menantu sehingga Melayu hari ini berpecah-belah seperti apa yang diucapkan oleh Tun M dalam perhimpunan Perkasa.

Mungkin atas nasihat juga Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Fuad Hasan tidak hadir dalam perhimpunan ini. Beliau terpaksa akur kerana beliau adalah penjawat awam sekarang, sebagai Ketua Pengarah JASA dan mungkin pihak yang lebih atas menasihati beliau agar jangan hadir.

PERKASA ditubuhkan pada 12/9/2009 dan berusia 1 ½ tahun telah berjaya mengumpulkan sehingga 10,000 orang yang hadir pada hari itu. Ternyata Melayu hari ini dahagakan penyatuan. Mereka telah sedar bahawa Melayu sekarang telah berpecah, hak-hak mereka semakin hangus dan terhakis. UMNO yang berusia 64 tahun pula ternyata telah tua dan tidak bertenaga lagi. Luka-luka perpecahan di dalam UMNO masih belum sembuh sepenuhnya. Untuk menghimpunkan 10,000 perwakilan UMNO memerlukan belanja jutaan ringgit. Tidak akan cukup dengan kuih ringan hidangan petang tetapi mesti dihidangkan santapan lima bintang jika tidak ramai yang merungut, merajuk dan maki hamun Ketua Bahagian.

Hari ini ternyata PERKASA bebas untuk bersuara hak-hak peribumi, tidak seperti UMNO yang telah diikat dengan 1Malaysia. UMNO akan dilabel rasis jika bersuara hak-hak Melayu. UMNO akan dilabel penganas jika menghunuskan keris.

Hakikatnya perhimpunan PERKASA yang lepas telah mempamirkan 3G.GEGAR, GERUN DAN GAGAH.